Siapa Kata Kedai RM2 Tak Ada Kelas?

Kedai RM2 di Puncak Alam
Pernah tak pergi ke kedai yang jual semua barang dengan harga yang sama? Menggunakan konsep yang sama seperti 100 yen store di Jepun; contohnya Daiso, dan 1 dollar store di Amerika, semua orang mesti tahu di Malaysia ada kedai RM2 kan? 

Kali pertama penulis sedar tentang kedai RM2 waktu penulis masih di sekolah menengah, memang dah lama kedai RM2 ni bertapak di Malaysia, cuma pada waktu itu bilangan kedai RM2 tak sebanyak  seperti sekarang. Dulu kita kenal kedai RM2 sebagai kedai RM2, tetapi sekarang kedai RM2 pun dah dijenamakan, contohnya NT dan ECO.

Kucing
Hari ini penulis telah ditugaskan untuk membeli tisu basah di kedai RM2, tisu basah tu bukan untuk orang, tapi untuk kucing di rumah. Makanya, selepas penulis dah siapkan blog tentang Mi Samyang 2x Pedas, penulis pun capai kunci kereta Wira dan pergi ke kedai RM2 NT di Pusat Perdagangan Puncak Alam Jaya. Tak sampai 100 meter daripada kedai ni ada lagi satu kedai RM2 tetapi penulis tak singgah kedai tu.

Pokemon Go di Tepi Tesco
Sebelum ke kedai RM2, penulis ambil kesempatan untuk buka permainan Pokémon Go memandangkan laluan yang penulis lalui ada Pokestop. Bagi yang bermain Pokémon Go, berdekatan dengan Tesco Puncak Alam ada 2 Pokestop, 1 di tasik dan 1 lagi di masjid. Mesti ada yang tak faham kan? Tak faham tak apa, nanti penulis akan ambil masa untuk terangkan.

Zara Main Pokemon Go
Bila penulis sampai je ke kedai RM2, mulalah penulis cari tisu basah tetapi penulis jumpa pulak. Pusing punya pusing, besar jugak kedai RM2 sekarang, tak macam dulu, boleh sesat cari tisu basah pun. Bila dah tanya juruwang di kedai tu barulah penulis jumpa tisu yang dicari.

https://www.flickr.com/photos/37516317@N03/42952009112/in/album-72157697805079874/
Penulis beli sampai tiga tisu basah ni
Banyak barang kita boleh dapat daripada kedai RM2, tetapi betul ke barang di kedai RM2 ni tak berkualiti berbanding barang di kedai-kedai lain terutamanya kedai RM5 Daiso? Jadi kalau belanja dekat kedai RM2 ni tak ada kelas? 

Takkanlah sebabkan harganya murah terus bermaksud barangnya tak berkualiti. Penulis dengar ada orang yang buka kedai RM2 ni sendiri sebenarnya pembekal atau pemborong, jadi memanglah dia boleh jual dengan harga yang murah dan masih dapat untung.

Adakah sebab kedai RM2 ni tak ada aircond ataupun sebab harganya yang murah membuatkan orang fikir tak ada kelas berbelanja di kedai 2 ringgit? Memandangkan harganya sendiri 2 ringgit, jadi kita pun janganlah harapkan suatu yang premium daripada produk di kedai RM2. 

Kalau nak design atau rekaan yang lebih cantik menarik, ada kedai lain yang memberikan fokus pada rekaan yang menarik seperti Daiso, Yubiso dan Kaison. Tetapi tetap tak dapat dinafikan ada produk yang menarik dan berwarna-warni yang menjadi tarikan di kedai RM2.

Tetapi kalau kita lihat pada fungsi produk, tak ada masalah pun dengan kedai RM2. Penulis sendiri pengguna produk kedai RM2, pinggan, sudu dan bekas makanan semuanya tak ada masalah. Jadi celah mana yang kita kata tak ada kelas? Kedai RM2 ni ada kelasnya yang tersendiri, untuk barangan yang dijual dengan harga RM2, penulis rasa apa yang penulis dapat daripada kedai RM2 ni semuanya worth it (berbaloi).

Jadi eloklah kita ubah mentaliti kita, supaya kita adili sesuatu kena pada tempatnya, kalau kita adili seekor ikan dengan kita melihat keupayaannya memanjat pokok, sah-sah kita kata ikan tu tak berguna. Kita bukan bercakap tentang kedai RM2 sahaja, ini termasuklah makan di warung, membeli barangan di uptown atau pasar malam, ataupun bercuti di dalam Negara. Bukan tak ada kelas, tetapi ada kelasnya yang tersendiri.

Post a Comment

To Top