Terlalu Banyak Pilihan Sarapan? Ini 5 Sarapan Kegemaran Orang Malaysia
- via Pixabay by Free-Photos
Mesti kita pernah rasa buntu tak tahu nak makan apa untuk sarapan kan? Kebuntuan kita itu mungkin bukan disebabkan oleh ketandusan pilihan makanan untuk sarapan, tetapi disebabkan terlalu banyak pilihan sarapan yang kita boleh dapat di Malaysia. Terlalu banyak sehinggakan kita rasa tidak kena apabila sering bersarapan dengan hidangan yang sama.
"Semalam dah makan nasi lemak, takkan nak makan nasi lemak lagi, nak makan apa eh?", mesti pernah tertanya soalan seakan-akan ini bukan? Penulis pun sama. Bukan tidak ada makanan, tetapi kita hendak makan suatu yang lain. Bukan juga hendak kata tidak ada pilihan lain, tetapi terlalu banyak sehinggakan kadang kita tak tahu nak makan apa. Tetapi dalam banyak-banyak sarapan, mesti ada sarapan yang menjadi kegemaran kita, dan harapnya daripada 5 sarapan kegemaran kita yang penulis kongsikan ini, kita dapat rancang sarapan kita selepas ini.
Nasi Lemak
- via Pixabay by Faixal
Sebuah hidangan yang telah menjadi ikon bagi negara kita tidak lain tidak bukan ialah Nasi Lemak. Kalau tidak dapat Nasi Lemak rasa seperti tidak sempurna sarapan kita. Setiap gerai ada versi sambal masing-masing, ada yang manis, pedas dan yang betul-betul lemak. Pilihan lauk juga ada bermacam jenis, boleh pilih ikut selera masing-masing.Nasi Dagang
- via azhan.co
Sarapan yang amat terkenal di pantai timur, Nasi Dagang selalunya dihidang bersama jeruk sayur dan juga gulai ikan tongkol. Bagi penulis, rasanya sedikit seakan-akan pulut dan ia menjadi antara sarapan kegemaran penulis sejak penulis bertapak di Kuantan. Menurut wikipedia, Nasi Dagang yang paling popular berada di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, betul ke?Nasi Minyak
- via resepinannie
Makanan yang sinonim dengan kenduri kahwin ini juga boleh dijadikan sebagai hidangan sarapan. Kalau di pantai timur, memang dah biasa bersarapan dengan Nasi Minyak, dan kalau tidak silap lauk bagi Nasi Minyak ada variasinya juga. Nasi Minyak boleh dinikmati bersama gulai kari ayam, ayam masak merah ataupun ayam masak ros (daging kerutuk pun sedap juga).Roti Canai
- via Flickr by Geoff Peters
Yang ini siapa tak pernah makan? Penulis rasa di setiap negeri dalam Malaysia kita boleh dapat Roti Canai, dan tidak pernah lagi ada perbincangan Roti Canai negeri mana yang lebih sedap, cuma mungkin ada variasi yang boleh didapati hanya di sebahagian tempat, contohnya roti cobra (di Sabah), dan roti canai yang berwarna warni. Kuih Muih
- via Flickr by Ai-Suan Lee
Di Malaysia, kita bukan sahaja kaya dengan jenis-jenis nasi yang kita ada, kita juga ada bermacam jenis kuih. Ikutlah selera kita, tidak kira yang manis atau masin pasti ada kuih yang sesuai dengan selera kita. Kalau suka kuih yang manis bolehlah cuba kuih seperti keria dan ketayap, kalau suka yang masin pula boleh cuba kuih karipap dan cucur badak.
Jadi bagaimanakah hendak merancang sarapan kita? (1) Pertama sekali pastikan dahulu gerai-gerai yang menjual juadah sarapan disekitar kawasan perumahan atau sepanjang laluan ke tempat kerja. (2) Kedua pula kenal pasti jenis-jenis sarapan yang dijual. (3) Ketiga baru lah kita boleh mula susun jadual sarapan kita, kemudian ulang sehingga kita rasa kita perlu ubah jadual kita tu.
Rancanglah macam mana pun sarapan kita daripada banyak-banyak pilihan yang kita ada. Tetapi yang lebih baik pada pendapat penulis, untuk selangkan sarapan kita antara makanan yang dimasak dengan yang dibeli. Lebih sihat, lebih jimat.
Rancanglah macam mana pun sarapan kita daripada banyak-banyak pilihan yang kita ada. Tetapi yang lebih baik pada pendapat penulis, untuk selangkan sarapan kita antara makanan yang dimasak dengan yang dibeli. Lebih sihat, lebih jimat.
Post a Comment