Adakah Adi Putra Benar-benar Seorang Genius Matematik?
~via mstar
Siapa tidak kenal Adi Putra, seorang remaja berumur 19 tahun yang telah mengejutkan rakyat Malaysia lebih daripada 10 tahun yang lepas sebagai seorang kanak-kanak dengan kemahirannya dalam bidang Matematik. Akibat daripada itu, dia telah mula digelar sebagai seorang yang genius dalam bidang Matematik, dan ini telah mengakibatkan sebilangan orang berasa tidak senang hati apabila panggilan 'genius' tersebut diberikan kepadanya.
Sering kali akan ada manusia yang memberikan jawapan kepada persoalan 'adakah Adi Putra seorang yang genius?' dengan jawapan bahawa kemahiran Adi Putra bukanlah sesuatu yang layak dikategorikan sebagai genius. Penulis sebenarnya agak bersetuju untuk mengatakan bahawa kemahiran Matematik Adi Putra masih belum dapat dikategorikan sebagai genius, tetapi penulis kurang bersetuju dengan kenyataan-kenyataan sokongan yang diberikan.
Baru-baru ini penulis terbaca sebuah artikel yang mengatakan bahawa Adi Putra tidak dapat menyambung pelajarannya kerana dia tidak mempunyai sebarang sijil SPM ataupun A-Level. Adi Putra yang suatu masa dahulu pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kini merupakan seorang manusia yang seakan-akan tidak diiktiraf. Dimanakah silapnya? Adakah pada saudara Adi sendiri ataupun pada sistem pendidikan yang sedia ada?
Dalam sistem pendidikan kita, kanak-kanak akan melalui beberapa fasa, ujian demi ujian untuk melihat tahap dan kemahiran mereka. Secara umum juga, tidaklah sehingga umur mereka mencecah 16 tahun barulah mereka akan disesuaikan ke mana-mana aliran berdasarkan kemahiran dan kemampuan masing-masing. Sistem yang digunapakai ini adalah untuk mengenal pasti kemampuan kanak-kanak yang ramainya tidak tahu menilai kemampuan diri sendiri.
-via senimatematik.blogspot-
Bagi Adi Putra, kemampuan dirinya telah diperlihatkan daripada seawal umurnya 6 tahun lagi, ini menjadikan sistem yang digunapakai tidak lagi releven malah menjadi suatu perkara yang akan menyekat potensi dirinya. Walaupun demikian, penulis tidak bersetuju dengan tindakan saudara Adi Putra yang berkeras tidak ingin melalui saluran yang dilalui pelajar-pelajar lain untuk meneruskan pembelajaran mereka, dalam hal ini SPM ataupun A-Level.
Tetapi ini tidak bermakna penulis tidak bersetuju untuk diwujudkan satu saluran, sistem atau proses yang khas untuk kanak-kanak seperti Adi Putra. Kisah kanak-kanak seperti Adi Putra adalah amat jarang sekali, malah sejak daripada Adi Putra, belum ada lagi 'Adi Putra' lain yang kita dengar. Oleh itu amat pelik sekali jika potensi seorang kanak-kanak seperti Adi Putra dipersiakan hanya kerana kita mahukan dia menjadi dan dilayan seperti kanak-kanak biasa, mengikut proses kanak-kanak biasa yang akhirnya menjadikan dia biasa.
Satu penghinaan?
Berbalik kepada persoalan 'adakah Adi Putra seorang yang genius?', penulis boleh katakan yang penulis tidak bersetuju sepenuhnya. Tetapi penulis boleh katakan bahawa dari segi konteks dan umur Adi Putra pada waktu dia mula dikenali ramai, benar dia seorang yang genius dalam bidang Matematik. Bagaimana pula ini akan menjadi satu penghinaan bagi ahli matematik di Malaysia? Melainkan kepada mereka yang gagal melihat Adi Putra pada konteksnya.
Suatu masa dahulu, seorang kanak-kanak bernama Gauss menjumpai satu cara untuk mencari hasil tambah satu kumpulan nombor dengan lebih cepat, beliau telah menunjukkan bibit-bibit kegeniusan beliau seawal waktu persekolahan. Apa yang dilakukan beliau merupakan suatu yang mudah, dan kita sendiri boleh lihat betapa mudahnya cara tersebut pada topik SPM janjang aritmetik. Tetapi beliaulah yang pertama sekali dapat mengenal pasti simetri yang sebelum ini gagal dilihat orang lain.
-via steemit.com-
Tetapi jika dilihat pada waktu sekarang, Adi Putra telah menjadi seakan-akan biasa. Jika dibandingkan dengan dirinya belasan tahun yang lalu, kita dapat lihat yang Adi Putra tidak dapat pergi jauh dalam bidang Matematik, dan ini merupakan kegagalan sistem pendidikan kita yang menjadi 'limiting factor' dalam menggilap potensi seorang kanak-kanak seperti Adi Putra. Selain itu, daripada sikap Adi Putra yang enggan melalui saluran yang betul untuk melanjutkan pelajarannya juga kita dapat lihat bahawa Adi Putra tidak dapat didikan yang sepatutnya.
Tanpa seorang mentor, potensi akan kekal sebagai potensi dan kemungkinan untuk Adi Putra pergi lebih jauh bersendirian adalah kecil. Malah tidak dapat dinafikan juga kemungkinan kelemahan yang ada dalam mengembangkan potensi Adi Putra telah menjadikan dia sekadar satu kesempatan yang diambil orang untuk menghasilkan wang melalui program-program dan bisnes-bisnes. Persoalan sebenarnya bukanlah samada Adi Putra seorang yang genius ataupun tidak, tetapi dimanakah Adi Putra sekarang jika dia telah diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai dengan potensi dirinya.
-via farehan-hjkhalid.blogspot-
Ramai perlu tahu bahawa konteks sebenar genius di Malaysia adalah prodigi, iaitu seorang yang berbakat luar biasa dan sering mendahului. Oleh itu, kisah Adi Putra merupakan satu kisah yang patut diraikan dan bukannya dimatikan oleh pemikiran seorang realis. Siapa lagi diantara kita yang dapat mengeluarkan buku Matematik seawal umur 11 tahun?
Selain daripada bijak dalam bidang Matematik, Adi Putra juga perlu bijak dalam membuat sebarang keputusan dalam mendapatkan pengiktirafan. Penulis tetap berpendapat apa yang berlaku adalah hasil daripada kelemahan kedua-dua sistem pendidikan kita dan Adi Putra sendiri. Mungkin gelaran 'genius' merupakan suatu yang berat bagi seorang kanak-kanak. Selain daripada memberikan dia satu reputasi yang dia perlu pertahankan, ia juga menjadikan Adi Putra terlalu yakin dengan kebolehannya yang telah membawa dia ke dalam keadaan yang dia berada sekarang.
Walau bagaimanapun, penulis berharap Adi Putra akan teruskan usaha menjadikan matematik sebagai satu subjek yang disukai dan mudah oleh kanak-kanak, dan harap juga dengan ilmu yang Adi Putra ada akan menjadikan Adi Putra seorang manusia yang lebih merendah diri.
Post a Comment