Mengapa Perlu Berjalan Untuk Mengecapi Keindahan Ibu Kota Kuala Lumpur

Tanggal 3 Oktober 2017, penulis telah ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi. Penulis telah membuat keputusan untuk memarkir kereta di tempat letak kenderaan MRT Sungai Buloh sebelum menyambung perjalan dengan menaiki MRT ke Kuala Lumpur. Pengguna MRT atau KTM hanya perlu membayar RM4.30 menggunakan Touch n Go (TnG) untuk memarkir kenderaan di sana, pastikan baki minima TnG sekurang-kurangya RM10.

Untuk sampai ke Kampung Baru, penulis perlu mengambil MRT Sungai Buloh sehingga ke Pasar Seni untuk menukar tren dan seterusnya menaiki LRT ke Kampung Baru. Walaupun demikian, setibanya penulis di Pasar Seni, penulis mengambil keputusan untuk ke KL Sentral terlebih dahulu memandangkan waktu masih lagi awal.

Untuk ke KL Sentral, penulis sepatutnya berhenti di stesen yang sebelumnya, iaitu stesen MRT Muzium Negara. Memandangkan penulis lewat membuat keputusan untuk ke KL Sentral dan sudah berada di Stesen Pasar Seni, penulis bercadang untuk ke KL Sentral dengan berjalan kaki.

Penulis pada awalnya beranggapan bahawa jarak antara dua stesen tidak jauh kerana stesen Muzium Negara hanyalah sebelum stesen Pasar Seni, tetapi sebenarnya penulis perlu berjalan sejauh 2.2KM untuk ke KL Sentral.

Walaupun demikian, penulis teruskan juga hasrat untuk berjalan kaki. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama 30 minit itu mengambil masa yang lebih lama kerana penulis perlu melintas jalan dan mengambil gambar.

Dengan berjalan kaki, penulis dapat lihat keadaan sekeliling bandar Kuala Lumpur dengan lebih teliti. Pernah tak dengar tentang prinsip ketidakpastian Heisenberg? Menurut prinsip tersebut, kita tidak akan dapat tahu kedua-dua posisi dan momentum sebuah zarah dengan tepat. Malah menurut prinsip tersebut juga, jika posisi zarah diketahui dengan lebih tepat, pengetahuan kita tentang momentum zarah tersebut akan berkurangan, begitu juga sebaliknya.

Hal ini juga sama apabila kita melakukan pergerakan. Apabila kelajuan pergerakan bertambah, kita akan lebih tertumpu kepada jalan di hadapan kita, ini menjadikan pengetahuan kita tentang persekitaran semakin berkurangan, begitu juga sebaliknya. Dengan kata lain, kita tidak boleh dapat kedua-duanya -- kelajuan dan pengetahuan, dalam masa yang sama. "The more accurate we know of things moving in front of us, the less accurate we know of things surrounding us".

Perjalanan daripada stesen Pasar Seni ke KL Sentral memberi peluang kepada penulis untuk melihat keadaan bandar Kuala Lumpur dari sudut yang penulis belum pernah lihat sebelum ini. Penulis dapat meneliti bangunan-bangunan di Kuala Lumpur seperti stesen KTM Kuala Lumpur, pokok-pokok, tanaman-tanaman di tepi-tepi jalan, dan juga gelagat manusia dalam perjalanan ke tempat kerja.

Jurang pendapatan atau ketidaksamarataan kekayaan juga dapat dilihat. Walaupun demikian, bersyukur kerana Malaysia sebuah negara yang masih aman walaupun rakyatnya datang dari pelbagai latar belakang kaum dan agama. Penulis percaya, keharmonian dapat dipupuk dengan sikap toleransi, hormat-menghormati dan sayang akan negara.

Tiba di KL Sentral, penulis berjalan-jalan di NU Sentral. Bukanlah untuk membeli sangat, sekadar mencuci mata melihat barangan-barangan yang ada. Penulis perasan bahawa ramai tidak gemar menggunakan tangga, termasuklah penulis. Mengapa ye? Adakah disebabkan peer pressure atau 'conformity', ataupun malas sebenarnya?

Waktu sudah menghampiri zuhur, penulis pun membuat keputusan untuk ke Kampung Baru. Di Kampung Baru, penulis bersolat di Masjid Jamek Kampung Baru yang jaraknya dalam 600 ke 700 meter daripada stesen LRT Kampung Baru.

Keadaan dalam masjid luas dan selesa, seperti kebanyakan masjid di Malaysia. Penulis fikir, memandangkan masjid itu sendiri naik hasil daripada sumbangan orang ramai, ada baiknya juga keselesaan dan ruang yang besar itu digunakan juga untuk aktiviti-aktiviti lain seperti kelas tambahan, seminar atau bengkel. Penulis teringat sewaktu penulis belajar di madrasah di Singapura sewaktu penulis berusia 5 tahun, kelas komputernya berada di tingkat atas masjid.

Cerita tentang kampung baru ni, memang banyak kedai makan yang popular contohnya Nasi Lemak Wanjo, Nasi Lemak Antarabangsa dan juga Suraya Seafood. Rata-rata harga makanan di gerai atau warung di Kampung Baru adalah berpatutan.

Plaza GM Kuala Lumpur -sumber caridestinasi.com-
Sementara menunggu, penulis berjalan-jalan sekitar kampung baru sehingga ke jalan Chow Kit. Sempat jugalah singgah jalan-jalan di Plaza GM Kuala Lumpur. Kalau tak silap pada waktu penulis ke sana ada pengubah-suaian pada bangunan, dan kawasan yang penulis masuk agak sempit berbanding di GM Klang.

Penulis sempat mengambil peluang untuk bersolat asar di Masjid Jamek Pakistan di Jalan Haji Hussein. Berbeza dengan masjid kebiasaan di Malaysia yang mendokong mazhab Shafi'i, Masjid Jamek Pakistan mulakan asar mereka lewat dalam 1 jam mengikut ajaran mazhab Hanafi

Selepas selesai urusan, memandangkan keadaan pun semakin gelap, penulis buat keputusan untuk pulang. Pada waktu malam kelihatan lebih banyak gerai dan warung dibuka di Kampung Baru, penulis tertarik dengan sebuah gerai yang menjual sate padang, penulis dengar sate padang tidak menggunakan kuah kacang.

Suasana di Kuala Lumpur pada waktu malam amat meriah dengan lampu-lampu di tepian jalan dan pada bangunan-bangunan pencakar langit yang ada. Menara Kuala Lumpur juga boleh dilihat dari Kampung Baru.

Bukan itu sahaja, dalam perjalanan ke stesen LRT Kampung Baru pula, menara berkembar Petronas yang merupakan antara menara tertinggi dunia ini juga dapat dilihat dalam keadaan yang terang. Cahaya putih yang dikeluarkan menjadikan ia kelihatan seperti kaca ataupun kristal yang bergemerlapan.

Itulah antara pemandangan terakhir yang penulis dapat lihat sebelum pulang ke stesen MRT Sungai Buloh. Memang benar kata orang, 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Walaupun demikian, tanpa masa yang cukup untuk kita teliti, pemandangan itu menjadi kabur. Oleh itu, untuk mengecapi keindahan sebenar mana-mana tempat yang kita pergi, contohnya seperti Kuala Lumpur, mungkin ada baiknya kita berjalan. 

Post a Comment

To Top