2.5 Kali Ganda Daging Lembu, Quarter Pounder McDonald's Kembali ke Malaysia
Siapa masih ingat burger Quarter Pounder dari McDonald's yang secara senyap telah hilang dari menu McD seluruh Malaysia pada tahun 2016 yang lalu? Penulis masih ingat, sebab penulis tak pernah makan Quarter Pounder sebelum ni, bila penulis nak makan dah tak ada.
Apa yang membezakan Quarter Pounder dengan burger daging McD yang lain adalah pada kepingan dagingnya yang seberat 1/4 atau suku paun, dalam kata lain ialah 113.4 gram. Berat tersebut adalah berat sebelum ianya dimasak.
Berat kepingan daging pada Quarter Pounder adalah hampir 2.5x (dua perpuluhan lima kali ganda) lebih berat berbanding kepingan daging pada burger lain seperti Cheeseburger dan Big Mac yang mana setiap kepingan dagingnya seberat sekurang-kurangnya 44 gram, atau puratanya pada 45.4 gram. Ini bermakna Quarter Pounder mempunyai lebih kandungan daging berbanding burger-burger lain yang mempunyai dua kepingan daging.
Kini, Quarter Pounder telah kembali ke Malaysia dengan harga promosi RM13.99 bersempena dengan pilihan raya McD 2019. Dari segi penyediaannya, ia tidak ubah seperti Cheeseburger. Ia disediakan bersama kepingan daging, keju, bawang dan juga jeruk timun. Perbezaan antara Quarter Pounder adalah pada saiz kepingan daging dan juga mungkin bilangan keju -- Quarter Pounder mempunyai 2 keping keju.
Penulis memang berpuas hati dengan saiz kepingan daging yang disediakan. Dari segi rasa pula, tidak ada apa yang baharu, sama sahaja seperti Cheeseburger ataupun Double Cheeseburger. Jadi kepada sesiapa yang ingin mencuba suatu rasa yang baharu, Quarter Pounder bukan jawapannya. Mungkin ini antara sebab kenapa jualan Quarter Pounder suatu masa dahulu tidak memuaskan sehingga mereka membuat keputusan untuk mengeluarkannya dari menu.
Ini merupakan kali yang pertama penulis mencuba Quarter Pounder. Sebelum ini, penulis menjangkakan Quarter Pounder akan disediakan bersama salad dan tomato seperti Whopper dari Burger King, tetapi itu sebenarnya Big N Tasty, bukannya Quarter Pounder.
Post a Comment