Mencuba Dakgalbi Chicken Deopbap di Myeongdong Topokki

Gara-gara video youtube Pyan Padu Beb makan makanan Korea berapa hari lepas, penulis rasa teringin pula nak makan makanan Korea harini. Siapa yang kenal penulis mesti tahu yang penulis ni penggemar makanan Jepun, tapi apa salahnya kalau sekali sekala bertukar arah ke makanan Korea bukan? 

Kalau di Kuantan, hanya ada beberapa sahaja restoran makanan Korea yang terkenal, contohnya seperti Seoul Garden Hotpot, Dubuyo dan Myeongdong Topokki. Untuk ayam goreng korea pula, ada restoran lain juga seperti Chicken+Honey. Jadi harini penulis ke restoran yang sama dengan Pyan Padu Beb pergi baru ni, iaitu Myeongdong Topokki.

Ini kali kedua penulis ke Myeongdong Topokki, Kuantan City Mall. Kali pertama penulis ke sini adalah pada tahun lepas untuk mencuba Bibimbap. Ada lebih daripada 30 menu menarik untuk dipilih di Myeongdong Topokki.


Pada asalnya, penulis agak berbelah bahagi sama ada hendak mencuba ramyun ataupun deopbap, sebab kedua-duanya nampak agak menyelerakan, tetapi akhirnya penulis pilih untuk mencuba deopbap yang merupakan nasi.

Deopbap yang penulis pilih ialah Dakgalbi Chicken Deopbap. Kalau tak silap penulis, dakgalbi bermaksud ayam masak pedas, jadi penulis menjangkakan yang ayamya pedas. Untuk set yang berharga RM20.05 termasuk cukai ini, makanan dihidangkan bersama dengan tiga makanan sampingan seperti ikan bilis, kimchi dan kacang panjang. Air teh hijau dan semangkuk kecil sup juga disediakan.

Penulis tidak tahu sama ada memang kebiasaan atau bukan, tetapi penulis telah menunggu lebih dari 20 minit untuk makanan siap. Walaupun bukan dikategorikan sebagai fastfood, bagi penulis agak lama sebab penulis datang bersendirian.

Nak dijadikan cerita, disebabkan penulis menunggu makanan agak lama, perut pun dah semakin lapar, penulis terus makan bila makanan dah siap. Jadinya, penulis cuma dapat ambil gambar air, terlupa nak ambil gambar makanan.

Sedar-sedar, makanan pun dah licin habis, jadi dapat ambil gambar mangkuk kosong sahaja lah. Secara keseluruhan memang sedap, ayam yang disediakan juga cukup banyak. Cuma sedikit kecewa kerana ia tidak pedas seperti yang penulis jangkakan.

Tetapi kalau penulis dipaksa untuk pilih antara makanan Korea dan Jepun, penulis akan pilih makanan Jepun. Mungkin penulis lebih biasa dengan kicap berbanding gochujang dan kimchi.

sumber gambar utama dari fb.com/myeongdongtopokki

Post a Comment

To Top