Kemajuan dan teknologi yang digunapakai sekarang telah menjadikan barat diangkat sebagai sebuah kelompok yang moden dan terkehadapan. Eropah dan Amerika Syarikat juga dianggap sebagai pelopor kepada teknologi dan kemodenan yang bermula sejak daripada revolusi industri.
Kini, negara-negara dari timur seperti Korea Selatan, Cina dan Jepun juga telah mula menyaingi barat. Hasilnya, bukan hanya teknologi German atau Russia sahaja yang diyakini kualitinya, teknologi dari Jepun dan Cina juga telah mula membawa nada yang positif.
Malangnya bagi negara-negara Islam, banyaknya sering dikaitkan dengan kontroversi dan isu seperti terorisme, kemunduran dan pergolakan. Bukan itu sahaja, malah sebahagian media barat pula telah menyalahgunakan peluang ini untuk membawa salah faham terhadap Islam dan melahirkan islamofobia.
Hakikatnya, beberapa abad yang lalu, sumbangan tamadun Islam terhadap teknologi dan keilmuan telah menjadi jambatan yang menghubungkan tamadun-tamadun sebelum ini dengan tamadun manusia sekarang.
Namun, sejarah kegemilangan itu seolah-olah tenggelam dan ditenggelamkan oleh kejahilan orang-orang Islam sendiri yang tidak peka dan tidak gemar untuk mengambil peduli tentang perkara-perkara yang telah berlalu.
Beberapa minggu yang lalu penulis telah berkesempatan untuk singgah di Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur sebelum ke
Rumah Kebun Residence. Kali terakhir penulis ke sana ialah sewaktu penulis masih bersekolah rendah.
Harga tiket untuk dewasa ialah RM14, manakala bagi pelajar, kanak-kanak dan warga emas pula RM7. Bagi penulis, harganya amat murah, terutamanya untuk seorang pelajar. Ianya lebih murah berbanding harga tiket di pawagam.
Lawatan penulis ke Muzium Kesenian Islam Malaysia sedikit sebanyak telah menyedarkan penulis bahawa Islam pernah berada di zaman kegemilangannya sewaktu barat berada di zaman kegelapannya. Di muzium ini, kita akan dapat lihat kemajuan tamadun Islam dari segi keilmuan, persenjataan, seni bina dan juga kesenian.
Walaupun demikian, tujuan utama memperingati sejarah ketamadunan Islam bukanlah untuk dibanggakan semata-mata. Antara rencah yang menjadikan Islam satu tamadun yang gemilang suatu masa dahulu adalah rasa cinta pada keilmuan, filsafat dan kesenian, tiga perkara yang semakin hilang dari jiwa manusia sekarang.
Penulis percaya segala yang berlaku di atas dunia ini ada sebabnya. Sepertimana apa yang kita ada sekarang merupakan hasil daripada penciptaan enjin wap atau enjin stim, apa yang kita pernah ada dahulu pula merupakan hasil daripada usaha pengumpulan dan penterjemahan sumber-sumber keilmuan.
Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur
Rating: ★★★★★
Post a Comment