Swedish Meatball dan Lamb Shank di IKEA Damansara
Siapa yang belum pernah dengar tentang IKEA? IKEA merupakan antara tempat yang paling terkenal bagi orang Malaysia, bukan sahaja kerana perabot-perabotnya tetapi juga disebabkan oleh makanan yang terdapat di sana.
Tak salah kalau penulis kata bahawa IKEA merupakan pelopor yang memperkenalkan meatball atau bebola daging kepada rakyat Malaysia. Suatu masa dahulu, kalau kita dengar meatball, kita akan ingat IKEA.
Berapa hari lepas penulis baru sahaja panjat bukit Setia Alam, keesokannya pula penulis makan di IKEA, bila agaknya nak kurus 😅. Kali ini, tujuan utama pergi IKEA bukannya untuk makan Swedish meatball, tetapi untuk makan lamb shank.
Lamb shank kebiasaannya terdapat di restoran-restoran makanan barat dan timur tengah, jadi persoalannya sekarang berbaloi ke cuba lamb shank di kedai perabot seperti IKEA? Nak tahu berbaloi atau tak, kita kena cuba dulu.
IKEA bukan sahaja menjual pelbagai jenis dan rekaan perabot, tetapi IKEA juga menjual pelbagai jenis makanan di restoran mereka, sebahagiannya makanan dari Sweden yang disesuaikan dengan citarasa orang Malaysia.
Selain daripada makanan berasaskan daging dan ikan, di sini juga ada makanan seperti salad, kek, dan roti. Antara yang terkenal di IKEA contohnya ialah ban kayu manis ataupun cinnamon bun, dan juga kek badam ataupun almond cake.
01 Swedish Meatball RM16.50. Seperti biasa, keunikan Swedish meatball dari IKEA terletak pada sos yang digunakan. Sos yang digunakan bukanlah sos lada hitam ataupun sos perang, ia lebih kepada sos krim dan juga jem lingonberry. Ia juga dihidang bersama dengan kacang pis dan kentang lecek (mashed potato).
02 Lamb Shank RM32.90. Ini kali pertama penulis makan lamb shank di IKEA. Untuk lamb shank pula, ia dilimpahi sos lada hitam, dan ia juga dihidang bersama dengan kacang pis dan kentang lecek. Dagingnya sangat lembut, isinya amat mudah terpisah daripada tulang. Saiz hidangannya juga agak memuaskan, boleh dimakan oleh 2 orang.
03 Cinnamon Bun RM2.60. Tak ada banyak yang hendak diperkatakan berkenaan cinnamon bun. Sudah jelas ia merupakan roti dengan serbuk kayu manis. Dari segi rasa, tak ada apa-apa yang unik, tetapi rotinya tetap sedap, padat dan mengenyangkan. Cuma ia sedikit liat mungkin kerana sudah sejuk.
Selain itu, penulis juga telah mencuba kepak ayam (RM16.50), salad caesar ayam (RM5.50), kek badam (RM6.30) dan juga sup cendawan (RM4.20). Penulis cadangkan korang semua untuk cuba salad caesar ayam, bukan sahaja ia hidangan yang lebih sihat, penulis amat sukakan perapan pada ayamnya.
Antara makanan lain yang menarik perhatian penulis ialah nasi lemak pandan bersama dengan rendang ayam (RM7.90). Korang boleh layari laman web IKEA untuk tengok sebahagian daripada menu dan promosi yang ada di restoran dan bistro IKEA berserta dengan harga.
Swedish Meatballs
Rating: ★★★★☆
Lamb Shank
Rating: ★★★★★
Cinnamon Roll
Rating: ★★★☆☆
Chicken Wings
Rating: ★★★★☆
Chicken Caesar
Rating: ★★★★☆
Almond Cake
Rating: ★★★★☆
Post a Comment