Berkenaan Isu Abu Chin Peng dan Kecelaruan pada Retorik Abdul Kadir Jasin
Tidak lama selepas peristiwa kelakuan seorang pelajar UMS yang telah menyentuh sensitiviti mangsa-mangsa holokus Nazi Jerman berlaku, kita telah dikejutkan lagi dengan satu kisah yang menyentuh sensitiviti mangsa-mangsa keganasan dan kekejaman komunis pra dan pasca kemerdekaan.
Tidak lain tidak bukan ia berkenaan abu Chin Peng yang telah dibawa pulang ke tanah air Malaysia secara rahsia pada 16 September lalu. Apa yang lebih mengecewakan ialah respon dari pihak berwajib dan ahli-ahli politik yang seolah-olah memperkecilkan sensitiviti dan perasaan mangsa-mangsa keganasan komunis serta ahli keluarga mereka.
Persoalannya mengapa hal ini tidak ditangani dengan lebih holistik dengan mengambil kira keadaan politik, sentimen masyarakat dan sebagainya selain daripada hanya merujuk kepada Perjanjian Hatyai 1989 sedangkan Parti Komunis Malaya secara umumnya, dan Chin Peng secara khususnya mempunyai konotasi sejarah yang menyaingi, jika tidak melebihi; peristiwa hitam bersejarah 13 Mei 1969?
Ketidakcaknaan ataupun mungkin juga ketidakpedulian ahli politik terhadap sensitiviti sebilangan besar rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu ini juga boleh dilihat pada artikel Abdul Kadir Jasin yang bertajuk 'Kalaulah orang Melayu rajin membaca' yang diterbitkan di laman web Malaysiakini dan juga di blognya dengan tajuk yang berbeza, 'Isu Debu Chin Peng: Petanda Masyarakat Yang Keliru'.
Pertama sekali, A Kadir Jasin, sama seperti sebilangan ahli politik lain merupakan antara lalang yang mungkin atas sebab kepentingan karier politiknya, atau lupa ingatannya, telah mengeluarkan artikel berupa antitesis kepada artikel yang pernah dikeluarkannya pada tahun 2009 dahulu yang bertajuk 'Perihal Chin Peng Dan Pendatang Haram'.
A Kadir Jasin telah memperhambakan penulisannya kepada logik pramatang dengan menuduh sikap kurang membaca orang Islam, khususnya orang Melayu sebagai punca kepada kekeliruan dan ketidakrasionalan dalam perbahasan dan perbincangan berkenaan isu ini.
Adakah A Kadir Jasin bermaksudkan bahawa jika orang-orang Melayu mengetahui tentang Perjanjian Hatyai 1989 dan sejarah pembentukan Parti Komunis Malaya oleh penjajah inggeris, orang Melayu akan tunduk dan memaafkan seolah-olah keganasan-keganasan lampau itu tidak pernah terjadi?
Penulisan A Kadir Jasin juga telah banyak menyimpang daripada perkara sebenar yang perlu dibahaskan. Semua pembaca yang berakal fikiran akan tahu bahawa pengetahuan orang-orang Melayu berkenaan Perjanjian Hatyai 1989 bukan permasalahan utama yang seharusnya dibahaskan.
Abu Chin Peng yang dirahsiakan kepulangannya ke Malaysia September lalu secara tidak langsung menunjukkan bahawa Perjanjian Hatyai 1989 bukan permasalahan utamanya, tetapi sentimen dan sensitiviti masyarakat terhadap Chin Peng yang terhasil kesan daripada peristiwa-peristiwa keganasan komunis suatu masa dahulu.
Andai kata itu merupakan permasalahan utama sekalipun, A Kadir Jasin sepatutnya memberi tekanan dan pencerahan terhadap isi kandungan perjanjian tersebut untuk dibahaskan. Namun ini tidak berlaku, jadi apa tujuan sebenar artikel tersebut?
Mungkin A Kadir Jasin yang sebenarnya keliru. Menurutnya, ketakutan dan kebencian terhadap abu Chin Peng dan perkara-perkara abstrak ini merupakan simptomatik atau petunjuk kepada sebuah masyarakat yang lemah sejarah. Mungkin A Kadir Jasin boleh jelaskan siapa yang takutkan abu Chin Peng, atau itu hanya tuduhan yang bersifat abstrak? Dan kalau masyarakat benar-benar lemah sejarah, mana mungkin akan benci pada abu Chin Peng.
Manusia yang gagal memahami ketegasan rakyat terhadap Chin Peng, dan memandang abu Chin Peng hanya sebagai abu, merekalah yang sebenarnya lemah sejarah. Memang benar, abu Chin Peng tidak dapat berbuat apa, dia sudah mati. Jadi kenapa masih ada yang berkeras hendak membawanya pulang?
Sedangkan usaha orang-orang yang hendak membawa Chin Peng pulang itu boleh difahami A Kadir Jasin, kenapa dia tidak berupaya memahami usaha orang-orang yang hendakkan sebaliknya? Tidak boleh faham atau tidak mahu faham?
Post a Comment