Makan Nasi Kandar Ipoh (Nasi Ganja atau Nasi Vanggey) dan Roti Naan di Restoran Nasi Vanggey

Nasi Vanggey
Siapa yang pernah ke Ipoh, Perak mesti tahu tentang satu nasi kandar terkenal yang dijual di sebuah kedai kopi cina, Kedai Kopi Yong Suan. Nasi kandar ini juga dikenali sebagai nasi kandar Ipoh, nasi kandar ayam merah, nasi ganja, dan nasi vanggey.

Perkataan 'vanggey' berasal dari bahasa tamil yang bermakna 'mari'. Kenapa dinamakan nasi vanggey? Sebab penjual nasi ganja atau nasi kandar ni suatu masa dahulu memanggil pelanggan dengan melaungkan "vanggey! vanggey! vanggey!" yang bermakna "mari! mari! mari!".

Restoran Nasi Vanggey di Kuantan
Kalau berada luar dari Ipoh mana nak cari nasi ganja, nasi kandar Ipoh atau nasi vanggey ni? Salah satu restoran yang ada jual nasi vanggey ialah Restoran Nasi Vanggey yang mempunyai banyak cawangan di dalam dan luar Perak.

Di Kuantan contohnya, ada dua cawangan Restoran Nasi Vanggey, di Bandar Indera Mahkota dan Jalan Teluk Sisek. Kemaskini: Restoran Nasi Vanggey di Indera Mahkota dah tutup, sekarang cuma tinggal cawangan Jalan Teluk Sisek.

NASI VANGGEY

Satu Set Nasi Vanggey
Satu set nasi vanggey berlaukkan ayam goreng vanggey, telur masin dan timun berharga RM8.50. Harga lebih mahal berbanding nasi kandar di tempat lain yang penulis boleh dapatkan dalam harga RM7 ke RM8 dengan lauk dan saiz hidangan yang sama.

Apa bezanya antara nasi vanggey dengan nasi kandar di tempat lain? Selain daripada kari campur, nasi vanggey juga ada sediakan sambal vanggey dan sambal kelapa. Memang bikin ketagih sambal vanggey yang digunakan, tak jumpa pada nasi kandar lain.

Lauk di Restoran Nasi Vanggey
Di Restoran Nasi Vanggey ini juga ada sediakan macam-macam lauk selain daripada ayam goreng vanggey dan telur masin, antaranya ayam goreng madu, ikan bawal goreng, ikan tenggiri goreng, kari kambing, sayur bayam, peria, bendi dan kubis

NASI GORENG VANGGEY

Nasi Goreng Vanggey
Kalau tak nak makan ayam goreng vanggey dengan nasi putih, boleh pesan nasi briyani, ataupun nasi goreng vanggey. Nasi goreng vanggey pun sedap juga, ada ayam goreng vanggey, keropok, timun dan tomato.

ROTI NAAN GARLIC

Naan Garlic Cheese Restoran Nasi Vanggey
Satu lagi makanan kegemaran penulis di Restoran Nasi Vanggey ialah roti naan, terutamanya roti naan garlic. Sebabnya pada roti naan garlic yang mereka jual ada juga letakkan lada benggala atau 'capsicum'.

Roti Naan Garlic Cheese Restoran Nasi Vanggey
Bukan sahaja ia dipotong seperti pizza, rasa roti naan garlic ini juga seakan-akan pizza. Lebih-lebih lagi kalau kita makan roti naan garlic cheese. Bezanya pizza dimakan bersama sos tomato, tetapi ini dimakan dengan kari dan kuah pudina.

Antara ketiga-tiga makanan tadi, penulis paling suka nasi vanggey. Kalau bukan dengan telur masin, penulis akan makan dengan petola atau peria goreng. Kalau ayam goreng vanggey habis, penulis akan makan dengan ayam goreng madu. 

Nasi Vanggey Bungkus
Kalau korang jenis yang suka nasi kandar yang kembang dengan kuah, boleh beli bungkus. Sambal vanggey dan kelapa wajib ambil. Kalau tak ada dua sambal ni tak jadi la nasi vanggey atau nasi kandar ipoh.

Waktu di Kuantan dulu, penulis akan ke sini paling kurang seminggu sekali untuk makan nasi vanggey. Kalau ada di Kuantan, boleh ke cawangan Indera Mahkota 7 yang terletak di lot kedai One Suria, bersebelahan dengan Burger King.

Katanya 'Ipoh best nasi kandar', agak-agak boleh cabar populariti nasi kandar Ipoh di Kedai Kopi Yong Suan tak?

Post a Comment

To Top