Kambing Buluh Addarowish 99. Kambing Bakar Buluh Sedap dan Murah di Tikam Batu, Kedah

Sebelum ni, penulis pernah beberapa kali ke Sungkai untuk makan nasi bamboo atau nasi buluh. Kali ni penulis telah ke utara pula untuk cuba satu lagi hidangan yang juga disediakan menggunakan buluh. Agak-agak apa lagi ye makanan yang boleh disediakan menggunakan buluh? Petunjuk, bukan lemang.

Di sebelah utara Malaysia ada satu hidden gem atau permata tersembunyi yang agak tersorok di Kampung Simpor Besar, Tikam Batu, Kedah. Di kawasan kampung ini ada satu gerai, Kambing Buluh Addarowish 99 yang menyediakan hidangan kambing buluh.

Kambing Buluh Addarowish 99

Ya kawan-kawan, kambing buluh. Sebaik tiba di gerai Kambing Buluh Addarowish 99 kita akan nampak puluhan buluh yang sedang dibakar dari tepi jalan, pemandangan yang kebiasaannya kita lihat pada bulan puasa dan raya. Menggiurkan bukan?

Selain daripada kambing, di sini juga ada ayam dan daging lembu. Kedua-dua daging lembu dan ayam juga dibakar menggunakan buluh. Ketiga-tiga pilihan ayam, daging lembu atau kambing boleh dibeli secara set atau ala carte.

Baca juga:
Repeat Order: Kambing Buluh Addarowish 99 di Tikam Batu, Kedah

Set Kambing, Lembu, dan Ayam Buluh

Untuk pembelian secara set, kambing, lembu dan ayam bakar masing-masing berharga RM30, RM25 dan RM20 sebatang. Setiap set datang bersama dengan nasi putih, ulam, sambal belacan, sos lada hitam, dan juga sambal bilis tempe.

Setiap set sesuai untuk dimakan seramai tiga orang. Kalau hendak berkongsi lebih dari tiga orang, setiap nasi tambah akan dicas sebanyak RM1 untuk setiap orang.

Apa yang lebih menarik, selain daripada dibakar dalam buluh makanan di sini juga disediakan secara hidang di atas meja yang dialas plastik. Bagi yang biasa makan makanan laut ala-ala shell out, mungkin dah biasa dengan cara makan hidang begini.

Macam mana nak makan lauk dari buluh? Jangan risau, setiap lauk akan dihidang oleh pelayan-pelayan yang mesra dan teliti. Kita cuma perlu tunggu, lihat, dan semuanya akan terhidang untuk kita nikmati bersama keluarga atau kawan-kawan.

Penulis dah cuba ketiga-tiga kambing, lembu dan ayam. Daging tak terlalu liat, boleh dikunyah, dan sos lada hitam yang disediakan pula memang sedap. Antara ketiga-tiga tadi, penulis sukakan kambing dan ayam. Bagi penulis, kalau daging dapat disediakan lebih lembut, memang terbaik.

Satu perkara penting yang kita perlu tahu, disebabkan daging-daging tadi dibakar menggunakan buluh, rasanya sedikit berbeza dari daging yang dibakar secara terus. Ia lebih lembap dan tidak hangit, kerana ia telah direbus dan dimasak bersama lemak dan jusnya sendiri di dalam buluh.

Penulis bukanlah peminat ulam-ulaman dan ikan masin, cuma sekali sekala teringin juga. Ikan masin boleh jadi penambah perisa kepada nasi, ulam pula dapat memberikan bau dan tekstur yang lebih menarik.

Kegemaran peribadi penulis dari lauk-lauk yang ada ialah sambal bilis tempe. Bagi penulis, sambal bilis tempe di gerai Kambing Buluh Addarowish 99 telah disediakan dengan cukup baik. Memang rugilah siapa yang tak makan tempe.

Makanan dan Minuman Lain

Selain dari kambing bakar, ada juga makanan lain seperti bihun sup, kuetiau sup dan laksa pada harga RM4 setiap satu. Dahaga? Ada banyak pilihan minuman yang istimewa seperti teh ais komtar (RM5) dan sunquick laici komtar (RM5). Jangan tanya penulis macam mana bentuk air-air tadi sebab penulis sendiri belum cuba.

Kalau sukakan minuman yang lebih manis boleh pesan ABC (RM4). Disebabkan penulis kurang berkenan air yang terlalu manis, penulis lebih sukakan air kelapa. Sebiji air kelapa pandan kampung berharga RM4.

Pada kebiasaannya, gerai Kambing Buluh Addarowish 99 ini dibuka pada setiap hari kecuali khamis dan jumaat bermula dari pukul 12:30 tengah hari sehingga 5:00 petang.

Kambing Buluh Addarowish 99 ini juga boleh didapati di tapak pasar malam sekitar Sungai Petani dan Kepala Batas. Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan gerai ini boleh layari laman FB Kambing Bakar Addarowish 99.


Berbaloi ke harga RM30 untuk tiga orang? Bagi penulis memang ok sangat dah, siap dengan ulam, sambal bilis tempe dan ikan masin lagi. Kalau nak jimat kongsilah empat orang, cuma tambah lagi RM1 je. Kalau nak jimat lagi, makanlah dulu Maggi Pedas giler.

Kalau berminat bolehlah ke Kampung Masjid Batu, Kampung Simpor Besar, Tikam Batu, Kedah. Dah cuba nanti boleh kongsi pengalaman korang di sini.

azizinet00 | Hari3aku

p.s. waktu dan kaedah operasi mungkin berbeza sewaktu perintah kawalan pergerakan, jadi pastikan ke laman FB Kambing Buluh Addarowish 99 terlebih dahulu untuk dapatkan maklumat terkini.

Post a Comment

To Top