Perkara Perlu Tahu dan Tips Dalam Persiapan dan Perancangan ke Pulau Tioman.

Pulau Tioman
Korang tahu tak yang Malaysia ni pun sebenarnya ada pulau-pulau yang amat cantik, contohnya seperti Pulau Redang, Pulau Kapas, dan Pulau Tioman. Malah Pulau Tioman juga pernah disenaraikan sebagai pulau tercantik di dunia oleh majalah TIME.

Kalau nak cari tempat yang tenang, menyejukkan mata, dan jauh dari kesibukan dunia, bolehlah ke Pulau Tioman. Penulis pergi ke Tioman pada bulan September, memang cantik. Kalau korang nak ke Pulau Tioman, boleh teruskan baca blog ni.

Bila Waktu Terbaik Untuk ke Pulau Tioman?

Bahagian dalam feri ke Tioman
Kalau nak ke Pulau Tioman, sebaiknya antara bulan Mei ke September, luar dari musim monsoon, tengkujuh atau hujan. Taburan hujan pada bulan-bulan tersebut selalunya lebih rendah, menjadikan keadaan laut lebih selamat dan tenang.

Pengangkutan ke Pulau Tioman

Feri Wawasan 1 ke Tioman
Untuk ke Pulau Tioman, kita boleh mengambil feri atau speedboat dari jeti Tanjung Gemok atau Mersing. Untuk feri, ada dua syarikat feri yang beroperasi, Cataferry dan juga Bluewater. Harga tiket bermula dari RM70 untuk perjalanan dua hala.

Di luar waktu promosi, harga feri Bluewater adalah lebih murah berbanding Cataferry. Bilangan feri dan waktu perjalanan yang disediakan oleh Bluewater juga lebih banyak. Namun, bagi korang yang mahukan lebih keselesaan, penulis syorkan Cataferry.

Jeti Kg Genting, Tioman
Tempoh perjalanan dari jeti ke Pulau Tioman memakan masa selama 2 jam. Bagi mereka yang sering mengalami mabuk yang teruk, disarankan untuk mengambil ubat anti-mabuk seperti Novomin sebelum naik feri.

Namun demikian, perlu diingatkan juga yang Novomin, dan juga ubat anti-mabuk lain mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk dan keletihan, tidak sesuai untuk mereka yang memandu kenderaan.

Penginapan dan Kampung-kampung di Pulau Tioman

Pelancong di Pulau Tioman
Sebelum cari penginapan, kita perlulah kenal kampung-kampung yang ada di Pulau Tioman. Antara kampung yang korang boleh pergi di Pulau Tioman ialah kampung Salang, Paya, Tekek, Air Batang, Genting, dan Juara.

Jeti Kg Tekek
Pilih elok-elok kampung mana yang korang nak pergi, sebab cara yang selamat untuk gerak dari satu kampung ke kampung lain cuma dengan menaiki bot atau 4WD. Untuk pengetahuan juga, saiz Pulau Tioman adalah 7 kali lebih besar dari Pulau Pangkor.

Booking.com

Setiap kampung ada kelebihan masing-masing, contohnya kampung Tekek merupakan kampung utama di Pulau Tioman yang mempunyai lebih banyak kedai dan restoran, kedai bebas cukai di sini juga jauh lebih besar. Kalau mahukan pantai yang lebih cantik pula, boleh ke Salang ataupun Juara.

Pengangkutan di Pulau Tioman

Speedboat Aman Tioman Beach Resort
Di Pulau Tioman, contohnya di Tekek; kita boleh sewa motosikal pada harga RM15 sejam atau RM20 sehari. Boleh dapatkan minyak di kedai runcit, sudah tentu pada harga yang lebih mahal. Selain motosikal, basikal juga boleh disewa pada harga RM5 sejam atau RM20 sehari.

Untuk bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain, perkhidmatan speed boat juga disediakan bermula dari harga RM20 seorang. Untuk pergi ke kampung Juara dari Tekek, boleh naik 4WD sejauh lebih kurang 8 km yang akan mengambil masa dalam setengah jam.

Makanan di Pulau Tioman

Nasi goreng
Makanan di Pulau Tioman, sama seperti di tempat-tempat peranginan yang lain adalah lebih mahal. Walaupun Pulau Tioman terletak di tengah-tengah laut, harga makanan laut agak 'kebabom!' juga. Kalau nak jimat, elakkan makanan laut.

Ikan siakap dan tomyam
Walaupun demikian, makanan-makanan lain yang ada seperti nasi lemak, nasi goreng dan sebagainya boleh didapati hanya dalam RM2 ke RM3 lebih mahal berbanding biasa. Jadi kalau ada rancangan nak ke Pulau Tioman, masukkan sekurang-kurangnya RM10 seorang untuk setiap waktu makan ke dalam bajet percutian.

Homestay di Pulau Tioman

4WD RN Global House
Kalau nak masak sendiri tapi tak mahu bawa dapur sendiri, ataupun nak ke Pulau Tioman dalam kumpulan yang ramai, bolehlah tinggal di homestay ataupun inap desa. Memandangkan homestay tak banyak di Pulau Tioman, eloklah buat tempahan lebih awal. Salah satu homestay yang penulis sendiri pergi dan syorkan ialah RN Global House.

Restoran Featherlight
Di RN Global House ada disediakan perkhidmatan menyewa motosikal, kelengkapan BBQ, surau dan juga restoran dengan nama Featherlight Restaurant. Sarapan di sini sedap juga, bolehlah layan roti telur dan limau suam pagi-pagi.

Aktiviti di Pulau Tioman

Pulau Rengis, Tioman
Sebagai sebuah tempat peranginan, sudah tentunya Pulau Tioman ada sediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang bercuti di pulau ni. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah berbasikal, mandi di air terjun Asah di Kampung Mukut, jungle trekking, memancing dan sudah semestinya aktiviti-aktiviti air seperti berenang, berkayak, menyelam (diving) dan snorkeling.

Harga pakej aktiviti di Tioman
Untuk snorkeling, ada beberapa pilihan pakej. Setiap pakej berbeza dari segi bilangan dan tempat hentian. Harga pula bergantung pada kawasan penginapan, di Tekek contohnya harga untuk servis snorkeling boleh didapati pada harga antara RM60 ke RM130 seorang.

Percutian Secara Pakej atau Sendiri?

Tayar penghadang kapal
Jadi macam mana? Untuk percutian ke Pulau Tioman yang akan datang, nak rancang sendiri atau gunakan pakej? Kalau mahukan lebih cabaran, boleh cuba rancang percutian sendiri. Untuk jimatkan masa dan tenaga pula, bolehlah cari pakej-pakej percutian ke Pulau Tioman.

Pakej percutian yang disediakan oleh ejen-ejen atau chalet-chalet di Pulau Tioman bermula daripada RM350 seorang untuk 3 hari 2 malam, harga tersebut merangkumi penginapan, aktiviti dan juga makanan.

Apa lagi aktiviti yang menarik di Pulau Tioman? Makanan apa yang sedap? Bolehlah kongsi di ruangan komen ye.

azizinet00 | Hari3aku

2 Comments

To Top