Lebih daripada 10,000 Pilihan Buku Elektronik atau E-Book Percuma daripada Perpustakaan Negara Malaysia menggunakan Libby/Overdrive

Siapa sangka pada tahun 2020 kita semua akan diuji dengan pandemik Covid-19 yang pada ketika blog ini ditulis telah, walaupun selepas diambil kira segala langkah pencegahan yang diambil; meragut nyawa lebih 2 juta manusia, 733 daripadanya merupakan rakyat Malaysia.


Untuk kekal berada di rumah, walaupun agak sukar; merupakan satu langkah yang tepat untuk mencegah penularan Covid-19. Tetapi tahu tak yang kita juga boleh ambil kesempatan ini untuk membaca buku di rumah, secara percuma?


Sebenarnya penulis dah tahu dari tahun lepas lagi, tetapi penulis yakin masih ramai yang belum tahu dan manfaatkan peluang ni. Jadi, bersempena dengan PKP 2.0 ni penulis akan kongsikan kepada semua bagaimana caranya untuk dapatkan bahan bacaan secara percuma.


Untuk pengetahuan, Perpustakaan Negara Malaysia ada menyediakan lebih daripada 10,000 buah buku elektronik (atau e-buku atau e-book) yang boleh diakses secara percuma dalam talian. Selain itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor juga ada menyediakan perkhidmatan yang sama untuk lebih daripada 1,000 buah buku.


Buku-buku tersebut boleh dilayar dan dibaca menggunakan Overdrive. Overdrive merupakan sebuah platform yang digunakan oleh perpustakaan-perpustakaan seluruh dunia untuk menyediakan perkhidmatan sewaan bahan-bahan digital seperti e-buku dan buku audio.


Untuk pengguna Android dan iOS, Overdrive boleh diakses menggunakan aplikasi Overdrive atau Libby. Libby merupakan sebuah aplikasi yang juga dibangunkan oleh Overdrive, dan bagi penulis lebih mudah digunakan.


Libby boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store. Untuk pengguna kali pertama, aplikasi Libby akan bertanyakan sama ada kita mempunyai kad perpustakaan (library card) atau tidak. Mana nak dapatkan kad perpustakaan? Teruskan membaca.


PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA (PNM)

Untuk Perpustakaan Negara Malaysia, teruskan dengan menjawab ya atau 'yes'. Kemudian pada layar seterusnya pilih carian sendiri atau 'I'll Search For A Library'.


Pada ruang yang disediakan seterusnya, lakukan carian dengan menaip 'National Library of Malaysia'. Kemudian, log masuk menggunakan nombor kad perpustakaan atau 'library card number'. Untuk ahli perpustakaan, boleh gunakan nombor kad sendiri.


Bagi mereka yang bukan ahli perpustakaan, boleh gunakan salah satu dari 999 nombor kad perpustakaan yang disediakan secara umum ini: PNM001 - PNM999 (contohnya pnm666). Nombor kad perpustakaan ini kita akan kongsi dengan orang lain jadi tolong gunakan dengan penuh bertimbang rasa.


Setelah pengesahan nombor kad perpustakaan selesai, kita akan dapat mengakses ribuan buku dari Perpustakaan Negara Malaysia -- meminjam dan membaca secara atas talian melalui aplikasi Libby.


PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR (PPAS)

Untuk mengakses Perpustakaan Awam Selangor menggunakan Libby, kita perlu lakukan pendaftaran di laman web http://ppas.celex.com.my/ untuk dapatkan nombor kad perpustakaan. Selepas selesai pendaftaran, pengguna perlu log masuk pada laman web yang sama. Nombor kad perpustakaan akan dipaparkan. 


Untuk menambah akses perpustakaan, pengguna Libby boleh menekan ikon di bahagian penjuru kanan atas, dan tekan 'Add a Library'. Lakukan carian 'Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor', kita akan dibawa ke portal Overdrive PPAS.


Cari dan klik 'Enter Library Account Details', kemudian gunakan nombor kad perpustakaan yang diberikan untuk log masuk.


PERPUSTAKAAN-PERPUSTAKAAN LAIN

Pada waktu blog ini ditulis, antara perpustakaan lain yang boleh diakses melalui Libby ialah Perpustakaan Negeri Sabah dan Penang Digital Library. Untuk lihat senarai perpustakaan lain di Malaysia, hanya perlu lakukan carian 'Malaysia' ketika ingin menambah akses perpustakaan.


Mudah bukan? Jadi gunakanlah kesempatan yang ada sekarang untuk menambah sedikit ilmu pengetahuan dari buku-buku yang ada. Tidak terhada kepada bahan bacaan yang berat, komik dan buku untuk kanak-kanak pun ada.


p.s. Bill Gates, pengasas Microsoft membaca lebih kurang 50 buah buku setiap tahun. Dalam kata lain, lebih kurang sebuah buku dalam masa seminggu 😲. Hebat bukan?

2 Comments

To Top