3 Alternatif WhatsApp yang Selamat Untuk Tahun 2021

Memandangkan WhatsApp sering terpalit dengan isu privasi dan keselamatan setiap beberapa musim, mesti ramai yang risau dan mula mencari alternatif bagi WhatsApp kan? Lebih-lebih lagi selepas menerima berita tentang perkongsian data antara WhatsApp dan Facebook. Kalau nak tahu jenis maklumat yang WhatsApp kongsikan bersama Facebook, boleh ke sini.


Pada pendapat penulis, WhatsApp, sebagai sebuah aplikasi yang dimiliki oleh sebuah syarikat gergasi Facebook; mempunyai reputasi yang mereka perlu jaga. Ini bermakna, sebarang masalah dan isu akan diteliti dan ditangani, menurut perspektif keselamatan dan privasi mereka; dengan sebaiknya.


Walaupun WhatsApp mempunyai isu privasi dan keselamatannya yang tersendiri, ditambah pula dengan penyelesaian mereka yang kurang memuaskan, WhatsApp masih dikira sebagai sebuah aplikasi yang selamat berbanding kebanyakan alternatif yang ada. Jangan keliru antara isu keselamatan dan isu privasi.


Tetapi, kalau korang tetap nak cuba aplikasi selain WhatsApp, di sini penulis kongsikan 3 alternatif popular (mungkin bukan di Malaysia) dan terpercaya untuk dicuba.


1. Signal

Aplikasi ini mempunyai fungsi yang sama dengan WhatsApp, yang berbeza hanya bilangan data yang mereka kumpul dan simpan. Berbanding WhatsApp yang berkongsi pelbagai maklumat peribadi bersama Facebook, aplikasi Signal hanya menyimpan maklumat nombor telefon yang digunakan untuk membuka akaun.


Lihat dasar privasi Signal untuk maklumat lebih lanjut.


2. Telegram

Dengan 500 juta pengguna, Telegram merupakan antara alternatif WhatsApp yang terbaik. Rasanya peralihan daripada WhatsApp kepada aplikasi Telegram juga lebih mudah memandangkan Telegram juga agak popular di Malaysia.


Telegram hanya mengumpul data yang diperlukan untuk fungsi aplikasi seperti nama, nombor telefon, alamat e-mel, id pengguna, dan maklumat kenalan. Walaupun semua mesej disimpan di awan, Telegram tidak dapat mengumpul dan mengakses mesej tersebut kerana ia telah disulitkan hujung ke hujung.


Lihat dasar privasi Telegram untuk maklumat lebih lanjut.


3. Threema

Sehingga 2020, Threema mempunyai 8 juta pengguna. Walaupun tidak popular seperti Telegram dan WhatsApp, aplikasi ini merupakan antara yang terbaik dari segi keselamatan dan privasi. Threema tidak akan mengumpul sebarang maklumat peribadi kerana pendaftaran tidak memerlukan sebarang nombor telefon ataupun e-mel — kecuali apabila diberikan secara sukarela.


Namun, untuk menggunakan Threema pengguna perlu membeli aplikasi ini pada harga antara 1.99 sehingga 3.49 Euro bergantung pada platform. Pengguna android boleh dapatkan pada harga RM12.99.


Lihat dasar privasi Threema untuk maklumat lebih lanjut.


Alternatif-alternatif Lain

Kalau mahukan privasi dan keselamatan, bolehlah cuba salah satu dari ketiga-tiga aplikasi tadi. Ada banyak lagi alternatif lain sebenarnya, cuma ketiga-tiga aplikasi tadi adalah yang terbaik dalam menjaga keselamatan dan privasi pengguna.


Kalau privasi bukan prioriti utama, boleh cuba aplikasi seperti Bip, Snapchat, Viber, Keybase, dan Discord. Walaupun dasar privasi aplikasi-aplikasi ini tidaklah setegas Signal, Telegram dan Threema, maklumat yang dikumpul oleh aplikasi tersebut adalah kurang berbanding WhatsApp.


Kesesuaian Penggunaan Alternatif

Penggunaan alternatif adalah lebih sesuai bagi penggunaan bersama rakan dan keluarga. Tetapi, untuk penggunaan perniagaan mungkin perlukan lebih penelitian kerana tujuan peniaga menggunakan aplikasi pemesejan segera adalah untuk berhubung dengan pelanggan. Jadi sudah tentu aplikasi yang digunakan seharusnya bersesuian dengan aplikasi yang digunakan ramai pelanggan.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

2 Comments

To Top