Sate Kajang: Sate Arnab dan Perut Tembusu di Sate Emas Kajang, Medan Sate Kajang
Bercerita bab sate Kajang, tak dapat dinafikan lagi popularti sate Haji Samuri, sate Willy, dan sate Haji Rono. Ketiga-tiga gerai atau restoran sate inilah yang sering menjadi perbualan orang ramai apabila bercakap mengenai sate Kajang.
Kedua-dua gerai sate Haji Samuri dan Haji Rono bermula di sebuah medan selera di pekan Kajang, kini dikenali sebagai Medan Sate Lama. Sate Haji Samuri dan Haji Rono juga ada membuka cawangan luar dari Medan Sate Lama, termasuklah di Medan Sate Kajang yang baharu.
Kelebihan sate Kajang bukan sahaja terletak pada perapan daging dan kuah kacang yang digunakan, keistimewaan sate Kajang juga ada pada sambal yang disediakan bersama dengan kuah kacang.
Namun, sate Kajang yang penulis ingat bukanlah sate Haji Samuri atau Haji Rono, tetapi satu lagi sate yang dijual di Medan Sate Kajang baharu yang terletak di Jalan Stadium bersebelahan Sungai Langat. Sate tersebut ialah Sate Emas Kajang.
Di Sate Emas Kajang, ada 16 jenis sate dijual. Antaranya ialah sate ayam piru, arnab, itik, dan rusa. Memang susah nak cari sate macam ni di tempat lain. Tetapi bagi penulis, yang istimewanya di sini ialah sate perut tembusu.
Bukan itu sahaja, malah Sate Emas Kajang juga sediakan kuah kacang bersama dengan sambal, sama seperti yang ada pada sate Haji Samuri. Sambalnya sedikit pedas, rasa terangkat bila disekalikan dengan kuah kacang.
Nasi impit di gerai Sate Emas Kajang dimasak dengan elok, tidak lembik. Memang sedap apabila dimakan bersama kuah kacang dan sambal. Kombinasi nasi impit, timun, sate, kuah kacang, dan sambal membuatkan hidangan menjadi lebih seimbang
Di gerai Sate Emas Kajang, kebanyakan sate ayam disediakan tanpa lemak atau kulit. Rasa perapan sate ayam lebih kepada rasa kunyit dan lengkuas, mempunyai profil rasa yang sederhana, dan tidak terlalu manis seperti perapan di Sate Famili Meru.
Sate daging di gerai Sate Emas Kajang memang lembut, mungkin menggunakan bahagian batang pinang. Rasa sate arnab agak manis, teksturnya antara daging dan ayam. Sate perut tembusu pula memang sedap dan lembut. Penulis lebih sukakan sate perut tembusu berbanding perut babat.
Bagi penulis, menu yang menjuarai menu-menu lain ialah sambal. Sambal yang disediakan menjadi pelengkap rasa kepada sate dan kuah kacang, menambahkan satu lagi dimensi rasa yang berbeza kepada hidangan.
Jangan segan untuk minta tambah kalau sambal dah habis. Lagipun itulah yang membuatkan sate Kajang, seperti gerai Sate Emas Kajang; istimewa dan lain dari sate yang ada di tempat lain.
p.s. Dengar cerita, banyak gerai sate berpindah sewaktu operasi pengubahsuaian dan pembersihan dilakukan di Medan Sate Kajang pada tahun 2019. Penulis tak tahu berapa banyak gerai yang buka semula selepas selesai pengubahsuaian, sebab penulis cuma nampak gerai Sate Emas Kajang pada awal April 2021.
Post a Comment