Kejayaan Azizulhasni Awang, dan Sejarah Perlumbaan Berbasikal Keirin
Siapa tak kenal Datuk Azizulhasni Awang? Selepas memenangi pingat perak dalam kejuaraan lumba basikal dunia di Melbourne, Australia pada tahun 2009, nama anak kelahiran Terengganu ini tidak asing lagi dalam dunia sukan berbasikal.
Walaupun demikian, kemuncak populariti beliau adalah pada tahun 2016 apabila beliau merangkul pingat gangsa dalam acara Keirin pada Olimpik 2016 di Rio. Beliau juga kemudiannya menjuarai Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017 dalam acara yang sama.
Kejayaan tidak datang bergolek, pada tahun 2011 Azizulhasni Awang terlibat dalam satu kemalangan mengerikan yang mengakibatkan betisnya tertusuk serpihan kayu. Namun beliau tidak berputus asa, meneruskan perlumbaan, dan meraih gangsa dalam sebuah kejohanan di Manchester.
Terbaharu, Azizulhasni Awang, juga digelar "The Pocket Rocketman" kerana susuk tubuhnya yang kecil dan pantas; mengharumkan lagi nama negara apabila memenangi pingat perak dalam acara Keirin pada Olimpik Tokyo 2020.
Namun, disebalik sanjungan dan penghormatan yang diberikan terhadap seorang tokoh yang lebih mesra dengan panggilan Jijoe, tahukah kita tentang sejarah perlumbaan Keirin?
Sejarah Keirin
Paulkeller via Wikimedia Commons
Keirin dimulakan di Jepun pada tahun 1948 sebagai sukan pertaruhan atau perjudian, dan format yang sama telah dikekalkan untuk perlumbaan Keirin walaupun selepas 70 tahun ia dimainkan.
Di Jepun, syarat yang lebih ketat diletakkan untuk acara Keirin disebabkan oleh statusnya sebagai sukan pertaruhan. Setiap pelumba menggunakan kelengkapan dan basikal satu gear tanpa brek yang hampir sama.
Seramai 6 sehingga 9 pelumba akan mengekori seorang perentak, atau pacer secara dalam barisan di awal perlumbaan. Kedudukan dalam barisan ditentukan oleh cabutan sebelum dari perlawan.
Pacer berbasikal atau bermotor akan memecut secara berperingkat sehingga ke kelajuan 50 km/h, dan akan melepaskan pelumba untuk memecut dalam 700 meter terakhir. Secara total, jarak perlumbaan adalah antara 1.5 ke 2 km.
Paulkeller via Wikimedia Commons
Dalam 700 meter terakhir, para pelumba akan memecut dan berasak untuk mendapatkan tempat mengelilingi velodrom. Disebabkan jarak antara pelumba amat dekat, hanya beberapa inci dari satu sama lain, perlanggaran adalah suatu yang biasa dalam Keirin.
Bukan sahaja pecutan dan asakan saat-saat akhir menjadikan Keirin acara berbasikal yang ditunggu-tunggu, tetapi juga strategi-strategi asas perlumbaan Keirin seperti senko, makuri, dan oikumi.
Senko, makuri, dan oikumi merujuk kepada strategi pecutan dalam perlumbaan Keirin.
Senko: Memecut seawal 700 ke 400 meter dari garisan penamat.
Makuri: Memecut pada jarak 300 meter dari penamat.
Oikumi: Memecut pada jarak 150 meter dari penamat.
Keirin di Olimpik
Fernando Frazão/Agência Brasil
via Wikimedia Commons
Walaupun Keirin sudah melangkaui usia 70 tahun, ia hanya mula diperkenalkan ke dalam sukan Olimpik, dengan peraturan yang telah diubahsuai; pada tahun 2000 bermula dengan Olimpik London.
Tidak seperti perlumbaan Keirin asli, para pelumba di Olimpik menggunakan basikal yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian masing-masing. Bermakna kejuruteraan basikal akan memberi kelebihan kepada pelumba
Jadi tidak peliklah apabila basikal Azizulhasni Awang sendiri sudah berharga RM300,000. Untuk memampas, atau mengimbangi fizikal beliau yang jauh lebih kecil berbanding pelumba-pelumba lain, beliau memerlukan sebanyak kelebihan yang mungkin daripada sebuah basikal.
Kalau nak tahu lebih lanjut berkenaan Azizulhasni Awang, cabaran dan kejayaan beliau, boleh ke laman rasmi Olimpik. Boleh juga singgah di saluran YouTube Azizulhasni Awang.
Post a Comment