Perlukah Amalkan SOP Walaupun Sudah Selesai Suntikan Kedua Vaksin?
Photo by Artem Podrez from Pexels
Bergantung pada jenis vaksin, bilangan dos yang berbeza diperlukan untuk mencapai imuniti terhadap Covid-19. Tempoh masa antara dos juga berbeza, 3 minggu untuk Pfizer-BioNTech, 12 minggu untuk Astra Zeneca, dan 2 ke 4 minggu untuk Sinovac.
Jadi, adakah ini bermakna selepas suntikan kedua vaksin-vaksin tadi, kita boleh hidup seperti sebelum pandemik? — Tiada penjarakan fizikal, tiada pelitup muka.
Tidak, walaupun selepas suntikan kedua kita masih perlu amalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, dan mungkin amalan ini akan berterusan sehinggalah negara mencapai imuniti kelompok.
Terutamanya dalam masa beberapa minggu selepas selesai suntikan dos kedua, kerana badan memerlukan lagi beberapa minggu, bergantung pada jenis vaksin; untuk mencapai tahap imuniti yang disasarkan.
Photo by cottonbro from Pexels
Badan memerlukan masa selama dua minggu selepas suntikan kedua Sinovac untuk mencapai tahap keberkesanan (efikasi) vaksin antara 50 ke 90%. Bererti dalam tempoh 2 minggu tersebut, kita lebih mudah dijangkiti Covid-19.
Walaupun selepas dua minggu, risiko jangkitan Covid-19 masih ada walaupun lebih rendah dan lebih banyak melibatkan kategori 1 (tanpa simptom) dan 2 (begejala ringan).
Tambah pula, Covid-19 merupakan subjek yang masih belum sepenuhnya difahami, langkah jaga-jaga amatlah digalakkan. Dalam masa setahun setengah sahaja, lebih daripada lapan varian Covid-19 telah dikesan.
Malah, dengan terus mematuhi SOP kita bukan sahaja melindungi diri kita daripada dijangkiti varian Covid-19 baharu seperti Delta, tetapi juga melindungi golongan yang masih belum divaksin seperti kanak-kanak.
Photo by cottonbro from Pexels
Jadi selesai suntikan kedua bukanlah alasan untuk kita menjadi leka, kita masih belum menang walaupun vaksin sangat berkesan mengurangkan hospitalisasi dan kes kematian.
Mungkin sedikit kelonggaran dibenarkan apabila bersama-sama dengan orang yang sudah lengkap divaksin, tetapi apabila berada di tempat awam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengamati SOP.
Masih banyak persoalan belum terjawab berkenaan Covid-19, dan walaupun vaksin sudah terbukti berkesan dalam melindungi sebahagian besar daripada jangkitan, kita masih belum pasti berapa lama kita akan terus dilindungi
Adakah vaksin mempercepatkan mutasi virus Covid-19? Bolehkah vaksin menghapuskan Covid-19, atau sekadar membolehkan kita untuk terus hidup bersama virus tersebut? Sama-sama kita nantikan tahun 2022.
Post a Comment