Sukiya Tokyo Bowls and Noodles: Mencuba Negitama Gyudon dan Volcano Chili Gyudon di Sukiya

Donburi, sebuah hidangan berasaskan nasi dari Jepun; selalunya dimakan bersama dengan lauk seperti ayam, daging, ikan, atau telur yang dijadikan sebagai topping, dan dihidang menggunakan mangkuk.

Bergantung pada jenis lauk, donburi dipanggil dengan nama yang pelbagai. Gyudon, sejenis donburi; dihidang bersama dengan daging lembu dan bawang yang direneh bersama campuran kicap dan dashi.

Sukiya Tokyo Bowls and Noodles

Di Malaysia ada beberapa restoran yang menyediakan donburi, salah satunya ialah Sukiya Tokyo Bowls and Noodles (Sukiya). Jangan keliru atau tertukar dengan Suki-Ya yang menyediakan hot pot Jepun.

Sukiya dan Suki-Ya ialah dua restoran yang berbeza. Sukiya (bukan Suki-Ya), dengan lebih 1900 cawangan di Jepun, dan 22 cawangan di Malaysia; merupakan rangkaian restoran terbesar di Jepun yang menyediakan gyudon.

Status Halal Sukiya Malaysia

Untuk pelanggan muslim di luar sana, boleh makan di Sukiya tanpa was-was sebab Sukiya merupakan pemegang sijil halal Jakim. Boleh lihat polisi halal Sukiya di laman sesawang mereka.

Gyudon

Kalau datang ke Sukiya, wajib cuba gyudon dan ramen. Malangnya waktu penulis ke Sukiya baru ni, ramen dah habis dan penulis cuma dapat cuba gyudon. Jadi, penulis buat keputusan untuk cuba Negitama Gyudon.

Negitama gyudon ialah gyudon yang dihidang juga bersama daun bawang dan telur. Negi bermaksud daun bawang, dan tama pula diambil dari perkataan tamago yang bermaksud telur.

Selain itu, ada juga gyudon yang dihidang bersama keju (Three Cheese Gyudon) atau cili (Volcano Chili Gyudon). Penulis juga dah cuba Volcano Chili Gyudon, rasanya taklah pedas, dan disebabkan penulis tak sukakan taugeh, penulis lebih sukakan Negitama Gyudon.

Yakiniku Don, Chicken Katsu Don, Unagi Don.

Di Sukiya juga ada yakiniku don. Berbeza dengan gyudon yang menggunakan daging yang dihiris halus, daging pada yakiniku don adalah lebih tebal dan manis. Lagi, daging pada gyudon direneh, manakala pada yakiniku don pula ia digril.

Kalau tak sukakan, atau tak boleh makan daging, tak ada masalah. Di Sukiya juga kita boleh dapatkan donburi ayam dan unagi. Untuk donburi ayam sahaja, kita ada 8 jenis pilihan untuk dipilih.

Takoyaki, Karaage, Gyoza

Bersama dengan donburi, kita juga boleh dapatkan makanan sampingan seperti takoyaki, karaage, chawanmushi, edamame, sup miso, dan gyoza goreng. Gyoza goreng dan karaage di Sukiya memang terbaik.

Penulis berpuas hati dengan makanan yang penulis makan di Sukiya. Gyudon menggunakan daging yang dihiris halus dan lembut, bahagian nasi dan dagingnya juga cukup banyak untuk saiz sederhana.

Cili hijau yang ada di Sukiya memang sedap. Cuma sedikit kecewa apabila kicap dan cili tidak dihidangkan di setiap meja. Kalau tak mahu sediakan di setiap meja, perlu sediakan sebuah kaunter untuk pelanggan dapatkan kondimen dsb.

Dari segi harga, sama seperti di restoran makanan jepun dan korea yang lain. Tidaklah murah, tetapi tidaklah terlalu mahal juga untuk makanan yang kita cuma makan sekali sekala.

Harga Makanan di Sukiya

Harga donburi bergantung pada lauk dan saiz. Untuk menu yang penulis pesan tadi, negitama gyudon dan Volcano Chili gyudon masing-masing berharga RM13.70 dan RM12.70 untuk saiz sederhana.

Berikut merupakan senarai harga menu-menu lain yang penulis cuba:

Menu Harga (RM)
Negitama Gyudon (M) 13.70
Volcano Chili Gyudon (M) 12.70
Mini Chicken Katsu Don 6.50
Takoyaki 4.80 (3pcs)
Gyoza 6.90 (5pcs)
Karaage 4.40 (2pcs)
Iced Green Tea
Fanta Grape
2.90
Petunjuk: M-medium, pcs-pieces.

Boleh lihat menu dan harga makanan selainnya di laman sesawang Sukiya.

Ini kali pertama penulis ke Sukiya, dan semestinya bukan kali terakhir. Penulis akan ke sini lagi, jadi menu apa lagi ye yang penulis perlu cuba selain daripada ramen?

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top