Melon Kakigori, Boru Kakigori, dan Macaron di Mykori Dessert Cafe: Cair di Mulut, Sejuk di Tekak
Cuaca di Malaysia cuma dua, kalau tak hujan, panas; kalau tak panas, hujan. Tetapi, sepanjang tahun di Malaysia nampaknya lebih kerap panas berbanding hujan. Apa yang korang buat bila panas?
Penulis akan cari tempat atau sesuatu yang sejuk. Lebih nikmat kalau dapat berada di tempat yang sejuk, sambil makan sesuatu yang sejuk seperti ABC, laichikang, aiskrim atau cendol kan?
Itulah yang penulis buat beberapa hari lepas di Mykori. Lepak dalam kafe berpendingin hawa sambil menikmati pencuci mulut seperti ABC Jepun ataupun, lebih tepat lagi; kakigori.
Apa bezanya kakigori dengan air batu campur atau ais kacang yang kita biasa makan? Ais pada kakigori adalah lebih halus berbanding ais kacang yang mempunyai tekstur ais yang lebih kasar.
Untuk kunjungan kali pertama penulis ke Mykori, penulis berkesempatan mencuba Melon Kakigori, Boru Kakigori, dan tiga pilihan macaron. Untuk kakigori sahaja ada lebih daripada 20 pilihan.
Melon Kakigori
Melon kakigori merupakan antara "hot item" di Mykori. Cara penyediaan Melon Kakigori agak istimewa, kakigori bersama nata de coco dihidang di atas rock melon yang telah dipotong separuh.
Ia juga dihiasi dengan isi rock melon yang telah dikorek dan dibentukkan menjadi bola. Hirisan bijan juga ditabur di bahagian atas hidangan bagi membawa kelainan pada rasa dan tekstur.
Rasanya tidak terlalu manis, tidak seperti ais kacang yang kita biasa makan. Keharmonian antara nata de coco, kakigori, dan rock melon menjadikan hidangan ini tidak membosankan.
Boru Kakigori
Bagi siapa yang sukakan penyesuaian pada pesanan, kita boleh pesan Boru Kakigori. Dengan Boru Kakigori, kita berpeluang untuk memilih jenis ais, sos, bijirin atau "crunch", buah, dan aiskrim.
Boleh pilih antara ais susu atau yogurt, 6 pilihan sos, 9 pilihan bijirin atau "crunch", 7 pilihan buah, dan 8 pilhan aiskrim — 6048 gabungan perisa Boru Kakigori untuk pilihan sedia ada.
Boru Kakigori yang penulis cuba adalah hasil gabungan ais susu, krim, oreo crumbs, buah naga, dan aiskrim coklat.
Aneka Pilihan Macaron
Di Mykori juga ada jual pelbagai perisa macaron. Tiga yang penulis cuba ialah yam, raspberry, dan blueberry. Antara ketiga-tiga ni, penulis sukakan yam dan blueberry.
Ada 12 pilihan perisa Macaron, setiap satu berharga RM4. Kalau beli banyak, harganya RM11 untuk tiga, dan RM21 untuk enam.
Kakigori Cair di Mulut
Kakigori menggunakan ais yang agak halus, ia cair di mulut pada setiap suapan. Bagi penulis, ini merupakan pengalaman yang berbeza berbanding sewaktu penulis menikmati ais kacang.
Penulis faham kenapa Melon Kakigori merupakan "hot item" di Mykori. Tetapi, harganya agak "hot" juga, dan hanya disediakan dalam saiz besar. Harga bagi Melon Kakigori ialah RM26.
Untuk Boru Kakigori pula RM15, tetapi ada tambahan RM1 atau RM2 untuk ais yogurt dan beberapa pilihan aiskrim. Boleh tambah sehingga 6 topping ekstra, setiap tambahan topping berharga RM1.
Harga kakigori adalah antara RM20 dan RM26 untuk saiz besar, untuk saiz mini pula antara RM12 dan RM17. Selain kakigori, ada juga makanan lain seperti roti bakar dan taiyaki.
Amacam, terliur tak tengok Melon Kakigori tadi? Kalau dah teringin tu bolehlah dapatkan di salah satu daripada 75 cawangan Mykori berdekatan.
Post a Comment