Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu: Nasi Lemak Kukus Terbaik Kuala Lumpur?
Digelar hidangan kebangsaan Malaysia, Nasi Lemak ialah menu kebanggaan rakyat Malaysia. Nasi Lemak yang sempurna juga haruslah dihidang bersama dengan sambal, telur, timun, kacang, dan ikan bilis yang rangup.
Ketika melawat Kampung Bharu di Kuala Lumpur berapa minggu yang lepas, penulis mengambil kesempatan untuk mencuba Nasi Lemak di restoran Nasi Lemak Wanjo yang agak terkenal di Kampung Bharu
Nasi Lemak Wanjo
Bersebelahan je dengan restoran Nasi Lemak Antarabangsa, restoran Nasi Lemak Wanjo ni agak besar juga saiznya. Dari pemerhatian penulis, nampak macam boleh memuatkan ratusan pelanggan.
Di Nasi Lemak Wanjo, barisan pelanggan "dine-in" dan "take-out" diasingkan. Proses memesan makanan dan lauk juga agak cepat dan lancar disebabkan oleh bilangan staf yang agak ramai di kaunter makanan.
Lauk-pauk di Nasi Lemak Wanjo
Antara lauk yang ada di sini ialah ayam goreng, ayam rendang, ayam merah, daging rendang, sotong sambal, limpa rendang, paru goreng, kerang, begedil, telur dan tempe.
Setiap pesanan nasi lemak disediakan bersama sambal, timun, ikan bilis, dan telur rebus atau goreng — tanpa kacang. Harga nasi lemak bersama telur ialah RM4.00
Nasi Lemak Kukus Nombor 1?
Nasi Lemak di Nasi Lemak Wanjo dikukus, jadi nasinya berderai, tidak melekat atau berketul — sedap dimakan walaupun secara sendirinya tanpa sebarang sambal atau lauk.
Lauk yang penulis cuba seperti ayam merah, paru goreng, dan begedil semuanya sedap. Sambal nasi lemak pula tidak terlalu pedas, lebih kepada rasa manis, kanak-kanak pun boleh makan.
Boleh dikatakan antara nasi lemak terbaik penulis pernah makan, nasinya yang berderai mengingatkan penulis kepada Warung Nasi Dagang Kak Yah yang penulis pergi pada tahun lepas di Terengganu.
Dari segi harga, bagi penulis agak berpatutan selepas mengambil kira kedudukannya di tengah kota Kuala Lumpur. Portion asal nasi lemak yang diberikan kelihatan sedikit, namun memadai untuk seorang.
Senarai Harga Lauk Nasi Lemak Wanjo
Berikut merupakan senarai harga lauk-pauk di restoran Nasi Lemak Wanjo Kampung Bharu:
Lauk | Harga |
---|---|
Nasi Lemak + Telur | 4.00 |
Ayam Goreng | 5.00 |
Ayam Rendang | 5.00 |
Ayam Merah | 5.00 |
Daging Rendang | 5.00 |
Sambal Sotong | 4.00 |
Limpa Rendang | 4.00 |
Paru Goreng | 3.00 |
Kerang | 3.00 |
Begedil | 3.00 |
Telur | 1.00 |
Tempe | 1.00 |
Antara Nasi Lemak Wanjo dan Nasi Lemak Antarabangsa, mana yang lebih sedap? Penulis tak pasti sebab penulis pun dah tak ingat bila kali terakhir penulis makan Nasi Lemak Antarabangsa.
Apa pengalaman korang makan di Nasi Lemak Wanjo? Pernah ke dapat nasi mentah? Boleh komen di bawah.
Post a Comment