Enaknya Mi Kari dan Mi Kicap di Restoran Mee Kari Ramli Bidor, Perak
Kebiasaanya, kalau kita bergerak dari utara ke selatan, atau selatan ke utara melalui lebuh raya khususnya PLUS kita mesti akan berhenti di RNR untuk berehat dan makan.
Tak dinafikan makanan di RNR seperti jagung cawan, kacang rebus, dan buah-buahan pun sedap juga. Di RNR Tapah arah utara pula, kita boleh makan kuetiau sup dan mi wantan yang sedap.
Mee Kari Ramli Bidor
Tetapi, kalau kita rajin untuk keluar dari lebuhraya sekejap untuk makan di restoran, contohnya restoran Nasi Bamboo Sungai Klah; atau warung yang tak jauh pun dari susur keluar lebuhraya tadi, kita boleh makan sesuatu yang lebih sedap dan murah.
Di Bidor, ada satu restoran menjual Mi Kari yang terletak tak jauh dari susur keluar Bidor. Keluar dari lebuhraya, ambil arah kanan selepas tol, kita akan jumpa restoran Mee Kari Ramli Bidor di sebelah kanan.
Mi Kari, Mi Kicap, dan Yong Tau Fu boleh dikatakan specialty atau kepakaran restoran Mee Kari Ramli Bidor. Kalau datang ke sini, wajib cuba kedua-dua mi kari dan mi kicap.
Mi Kari Berlemak
Berbeza dengan mi kari lain yang penulis pernah makan, mi kari di restoran Mee Kari Ramli Bidor lebih bersantan dan berlemak. Mi kari di sini juga menggunakan bahan-bahan yong tau fu sebagai isi.
Kita juga boleh pilih bahan-bahan yong tau fu, seperti fish cake, filet ketam, sosej, tauhu, dan bebola ikan; untuk dimakan bersama mi kari. Setiap mi kari juga dihias dengan taugeh yang rangup, dan daun bawang yang segar.
Mi Kicap Bersama Sup
Pada pengalaman penulis berkunjung ke Mee Kari Ramli Bidor, ramai juga pelanggan yang memesan mi kicap. Jadi memang rugilah kalau penulis sendiri tak cuba untuk rasa sendiri keistimewaanya.
Mi kicap di sini tidak menggunakan mi wantan atau mi telur, tetapi mi kuning. Kita juga boleh memilih sama ada hendak makan mi kicap bersama dengan sup ataupun kuah mi kari.
Sama seperti mi kari tadi, mi kicap juga dihias dengan taugeh dan daun bawang. Kicap yang digunakan sedap dan tidak memuakkan, mungkin dicampurkan dengan bahan lain juga.
Mi Kari vs Mi Kicap
Antara mi kari dan mi kicap di restoran Mee Kari Ramli Bidor, agak susah untuk penulis buat pilihan mana yang lebih sedap. Sebabnya penulis boleh je makan mi kicap bersama kuah mi kari.
Yang pasti, kuah mi kari di sini sangat sedap dan berlemak. Harga pun tak mahal, cuma RM4 untuk mi kari dan mi kicap. Mungkin harga mi kari berbeza sedikit kalau kita pilih bahan sendiri.
Setanding Mi Kicap di Ipoh?
Dengar cerita, mi kicap memang popular di Ipoh. Siapa dari selatan tak perlu dah pergi sampai ke Ipoh untuk makan mi kari dan mi kicap yang sedap, boleh singgah di Bidor je.
Selain mi kari dan mi kicap, ada juga mi udang, roti bakar, nasi goreng, dan nasi lemak. Restoran Mee Kari Ramli Bidor dibuka bermula 7 pagi sehingga 1 petang pada setiap hari kecuali Selasa.
Post a Comment