Mi Udang dan Mi Goreng Sotong di Warung Pak Tam Mee Udang, Pantai Teluk Bayu
Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan makanan seperti Char Kuetiau dan Laksa. Walaupun di negeri lain, mesti akan ada yang menjual char kuetiau "penang" atau laksa "penang".
Kita bukan nak berdebat tentang char kuetiau atau chu kuetiau dalam artikel harini. Sebabnya, di Pulau Pinang ada banyak lagi makanan lain yang sama terkenal dengan char kuetiau.
Salah satunya ialah mi udang dan mi ketam. Sebelum ni penulis pernah kongsikan tentang sebuah warung mi ketam di Cherok To'kun, hari ni penulis nak bawa kita semua ke Pantai Teluk Bayu pula.
Pak Tam Mee Udang
Selain daripada berkelah dan bermandi-manda, Pantai Teluk Bayu juga tempat yang kita perlu pergi untuk makan mi udang yang enak dengan harga serendah RM10 di warung Pak Tam Mee Udang.
Berhampiran je dengan gerai-gerai lain di Pantai Teluk Bayu, kita boleh nampak sebuah warung beratapkan zink atau asbestos dengan kain rentang yang tertulis "Pak Tam Mee Udang".
Udang, Sotong, dan Ketam
Di sini kita boleh dapatkan mi udang, sotong, atau ketam pada harga bermula RM10 sehingga RM20. Kita juga boleh pilih antara mi, maggi, kuetiau, dan bihun. Dengan harga RM15 pula kita boleh campur udang dan sotong.
Ini kali pertama penulis ke sini, jadi penulis nak cuba serba sedikit setiap satu menu yang berharga RM10. Kalau sedap, lain kali datang lagi mungkin boleh pesan portion yang lebih besar kan?
Sementara makanan siap disediakan, kita berkongsi cucur udang dulu sebagai pembuka selera. Cucur udang di sini sama je seperti di tempat lain, bolehlah sebagai kudap-kudapan.
Mi Kuah Udang
Jom kita ke hidangan utama, mi udang. Untuk harga RM10, memang ok sangat bila diambil kira portion hidangan yang disediakan — dalam lima ekor udang sepinggan.Udang yang digunakan segar, isinya tidak mendak.
Kuahnya tidak terlalu cair, terlalu pekat pun bukan juga, just nice. Rasanya tidak tawar, rasa manisnya cukup tidak sehingga memuakkan.
Mi Goreng Sotong
Mi goreng sotong di warung Pak Tam Mee Udang pun boleh tahan sedap juga. Mi gorengnya sedikit basah, sotong yang digunakan pula agak lembut walaupun saiznya boleh dikatakan sederhana besar.
Walaupun tidak mempunyai cucur, berbeza dengan mi goreng sotong ala mamak seperti di Hameed Pata; rasanya tetap sedap.
Kepah Masak Sos
Selain daripada mi kuah dan mi goreng, ada juga kepah masak sos. Untuk menu ni, penulis tak tahu nak komen macam mana sebab penulis tak cuba pun. Nampak menarik, mesti sedap kan?
Dari rupanya, ada cili ada limau, mungkin rasanya masam-masam manis dan sedikit pedas.
Menu Pak Tam Mee Udang
Menu | Harga |
---|---|
Mi/Maggi/Kuetiau/Bihun Seafood | 20/25/30 |
Mi/Maggi/Kuetiau/Bihun Udang + Sotong | 15 |
Mi/Maggi/Kuetiau/Bihun Udang/Ketam | 10/15/20 |
Mi/Maggi/Kuetiau/Bihun Bihun Sotong | 10 |
Kalau datang ke Pak Tam Mee Udang, penulis syorkan korang cuba mi kuah udang dan mi goreng sotong. Selepas makan pekena pula air kelapa, dapatkan semula tenaga yang dah hilang selepas bermain di pantai.
Warung Pak Tam Mee Udang dibuka setiap hari kecuali Khamis bermula jam 11:30 pagi sehingga 6:30 petang. Seeloknya datang awal untuk dapatkan parking pada hari cuti dan tak perlu beratur panjang untuk dapatkan meja.
Lebih baik lagi kalau boleh datang pada waktu pagi, berkelah dan berehat di tepi pantai sementara menuggu warung dibuka.
Post a Comment