Membeli-belah dan Makan-makan di Arked Niaga Padang Besar dan Padang Waremart, Padang Besar.

Laluan masuk ke Arked Niaga Padang Besar
Perlis mungkin negeri terakhir dalam fikiran penulis bila bercerita bab tempat-tempat bercuti, makan, atau bersejarah di Malaysia. Dari kecil, seingat penulis cuma pernah ke perlis untuk membeli-belah di Arked Padang Besar.

Jangan salah faham, sebenarnya di Perlis khususnya Padang Besar ada juga tarikan lain selain Arked Padang Besar. Cuma penulis je tak pernah teroka, jadi kalau ada cadangkan tempat menarik lain di Perlis bolehlah kongsikan di ruang komen.

Seperti biasa, kunjungan penulis ke Perlis adalah untuk ke Padang Besar. Bukanlah nak membeli-belah sangat, cuma suka-suka menumpang orang lain yang nak ke sana. Sambil-sambil tu bolehlah cari makan juga.

Arked Niaga Padang Besar, Perlis

Tangga ke Arked Padang Besar
Perancangan awalnya nak ke Padang Besar dengan kereta api, tapi tak jadi disebabkan oleh beberapa faktor: Pertamanya sebab tak ada ETS untuk perjalanan dari Bukit Mertajam ke Padang Besar. Keduanya, sebab tak nak naik KTM Intercity.

Kalau datang dengan kereta api, kita perlu berjalan dalam 600 meter dari Stesen KTM Padang Besar untuk sampai ke Arked Niaga Padang Besar. Waktu pergi bukan masalah, waktu balik mungkin ada yang perlukan perkhidmatan teksi atau Grab.

Gerai buah bersebalahan arked niaga Padang Besar
Parkir terhad, jadi pastikan datang lebih awal untuk lebih mudah dapatkan parkir. Tambah lagi disekeliling Arked Niaga Padang Besar juga ada banyak lagi kedai-kedai lain.

Kalau datang lambat pada hujung minggu, kemungkinan besar kena letak kereta di bahu jalan dan menanggung risiko disaman.

Barang-barang di Padang Besar

Jadi apa yang kita boleh dapatkan di Arked Padang Besar? Di sini ada banyak pakaian, permainan kanak-kanak, peralatan dapur, kelengkapan bilik tidur, snek seperti kacang dan kerepek, dan bahan masakan.

Berdekatan dengan arked Padang Besar, ada sebuah lagi tempat membeli-belah dengan nama Padang Waremart. Jadi kalau masih belum puas membeli-belah, bolehlah ke Padang Waremart pula.

Contoh barangan yang kita boleh dapatkan di sini ialah:
  • Bahan masakan: Pes tomyam, sos cap labu, sos ikan, jeruk bawang putih, air limau, serbuk cili, dan lada sulah.
  • Snek: Aneka kacang, kerepek, dan biskut.
  • Peralatan dapur: Kuali, periuk, dan lesung.
  • Kelengkapan bilik tidur: Selimut, Bantal, dan Toto.
  • Pakaian: Jersi dan t-shirt bermotifkan kartun dan anime.
  • Aksesori: Kasut, beg, cermin mata, dan topi.

Bahagian hadapan Padang Waremart
Kedua-dua arked Padang Besar dan Padang Waremart menjual barangan yang hampir sama, cuma Padang Waremart lebih baharu, lebih luas, dan lebih tersusun.

Daging Bakar Danok dan Lokching

Daging Bakar Danok di warung hadapan Padang Waremart
Di sini juga sudah tentulah kita boleh dapatkan makanan dengan sentuhan siam seperti daging bakar Danok, lokching, khao mok gai, pulut ayam, pulut mangga, pad thai, kerabu kaki ayam, maggi kerabu, dan tom yam.

Lokching yang penulis maksudkan bukanlah sate ikan, tetapi sosej siam. Kalau korang peminat lokching, di sekitar Arked Padang Besar ada lebih banyak pilihan lokching, sebahagiannya penulis tak pernah cuba pun.

Nasi Goreng Ayam di warung hadapan Padang Waremart
Di sini penulis makan daging bakar danok, nasi goreng ayam, dan lokching. Daging bakar bercampur liat dan lembut, sedap kalau dimakan bersama dua jenis sos yang disediakan.

Nasi goreng biasa-biasa je, tetapi ayam gorengnya sedap. Rasa macam ayam goreng yang selalunya digunakan untuk khao mok gai dan pulut ayam. Lokching pula memang kegemaran penulis, no komen.

Penulis ada juga cuba ais krim kelapa, dan bagi penulis lebih kepada gimik je, ataupun mungkin penulis beli dari gerai yang salah. Lebih baik makan aiskrim kelapa di Hogoh de Coco ataupun Sangkaya.

Untuk cuba makanan-makanan yang penulis sebutkan tadi, boleh ke deretan gerai makan di hadapan Padang Waremart, ataupun ke Border Kitchen di Arked Padang Besar.

Perlu ke Membeli Belah di Padang Besar?

Lesung kayu di Padang Waremart
Sebagai sebuah tempat membeli-belah, agak jauh sebenarnya. Jadi kalau sekadar nak beli barang-barang yang kita boleh dapatkan di pasaraya, tambah pula dalam kuantiti yang kecil rasanya tak perlu pun ke Padang Besar.

Kalau hendak membeli dalam kuantiti yang banyak, contohnya untuk tujuan perniagaan, kenduri, atau apa-apa majlis, memang eloklah datang ke Arked Padang Besar. Untuk suka-suka mengisi masa lapang pun tak ada salahnya ke sini.

Penulis cadangkan, kalau nak ke Padang Besar, pastikan korang rancang juga untuk melawat tempat-tempat lain di Perlis contohnya Tasik Timah Tasoh, Ladang Nipah Kipli di Sanglang, dan Masjid Terapung Al-Hussain di Kuala Perlis.

Kacang dan kerepek di Padang Besar
Cuma bagi penulis, makanan di kawasan Arked Padang Besar dan Padang Waremart tidaklah terlalu istimewa. Sebabnya, kita dah boleh dapatkan makanan yang sama di karnival atau restoran tanpa perlu ke Padang Besar.

Bahkan, penulis pernah pergi ke sebuah warung di Penaga, Pulau Pinang yang juga menyediakan makanan siam yang hampir sama, atau mungkin lebih baik; dari segi rasa dan kualiti penyediaan.


Jadi penulis akan pergi ke Padang Besar lagi ke selepas ni? Why not, cuma penulis akan cuba cari tempat-tempat lain di Perlis yang penulis boleh lawat selain daripada Padang Besar. Dengar cerita Perlis ada banyak gua.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top