Shell Out Bersama Lobster dan ABC ala Kakigori di Port Seafood Penaga

Restoran Port Seafood Penaga
Selain daripada menggunakan bahan mentah yang segar, kuah dan sambal juga merupakan faktor yang mempengaruhi rasa makanan laut. Peranan kuah juga amat besar untuk masakan laut seperti shell out.

Sebab itulah shell out seharusnya disediakan dengan beberapa pilihan kuah — contohnya pedas, manis, masam, dan berlemak. Lagipun selera setiap pelanggan adalah berbeza.

Shell Out di Port Seafood Penaga, Pulau Pinang

Menu Port Seafood Penaga
Di Penaga, Sebarang Perai Utara Pulau Pinang ada sebuah restoran dengan nama Port Seafood. Kedai ni baru je dibuka, dan katanya kepakaran mereka ialah shell out. Di Port Seafood Penaga, korang boleh pilih daripada empat jenis pilihan kuah.

Ada pilihan kuah Melayu, Thai, Cina, dan Eropah. Untuk kuah melayu rasanya lebih kepada sambal tumis dan sedikit pedas, untuk eropah pula lebih berlemak dan kurang pedas.

Harga untuk satu set shell out ialah RM39.90, boleh dimakan antara 2 ke 3 orang. Dalam setiap shell out ada siput lala, kupang, ketam, udang, sotong, jagung, dan sayur seperti lobak, kobis bunga dan brokoli.

Shell Out Port Seafood Penaga
Kalau sukakan kuah yang pedas, memang sesuai sangat cuba kuah melayu. Kuahnya pun tak terlalu ceroi, kelikatannya lebih ke arah sambal tumis, memang sedap apabila dimakan bersama nasi.

Kalau datang beramai-ramai boleh pesan dua set shell out, ataupun pesan je set shell out bersama dengan ikan siakap pada harga RM69.90

Shell Out bersama Lobster atau King Crab

Lobster Port Seafood Penaga
Istimewanya shell out di Port Seafood ni, kita boleh dapatkan set shell out bersama dengan lobster atau king crab. Penulis dah cuba shell out bersama dengan lobster, boleh tahan besar juga lobsternya.

Lobster yang telah dimasak disediakan bersama dengan buah-buahan seperti oren, kiwi, dan epal. Ia juga dibelah dua dan diisi dengan keju mozzarella, kemudian dilimpahi sos keju.

Harga bagi set bersama lobster adalah antara RM144.90 ke RM164.90. Harga bagi set bersama king crab pula antara RM359.90 ke RM379.90

ABC Ala Kakigori

ABC Honeydew Snow Port Seafood Penaga
Ingat lagi waktu penulis cuba makan kakigori di MyKori? Di Port Seafood pun ada jual ABC dengan gaya yang sama tau. Contohnya seperti ABC Honeydew Snow, ia dihidang menggunakan tembikai susu sebagai mangkuk.

Sama seperti kakigori di MyKori, isi tembikai susu dibentukkan menjadi bulat, dan dihiaskan di atas aisnya yang lebih halus berbanding ABC biasa. Di puncak aisnya pula diletakkan sesudu ais krim.

Harga Shell Out di Port Seafoood

Berikut merupakan antara senarai harga makanan di Port Seafood Penaga:
Menu Harga
Shell Out 39.90
Shell Out + Siakap 69.90
Shell Out + Lobster 144.90 - 164.90
Shell Out + King Crab 359.90 - 379.90
Nasi Putih 1.00
Nugget Tempura 5.90
Honeydew Snow 11.50

Shell Out Sedap dan Berbaloi

Nombor Meja Port Seafood Penaga
Bagi penulis, untuk RM39.90 dengan rasa kuahnya yang sedap memang berbaloi. Makanan laut nampak ok, cuma ada dalam beberapa siput lala je yang berselut. Lobster pula tak berbau hanyir, cuma jangan datang dan harapkan lobster yang betul-betul segar.

Ada juga menu-menu sampingan seperti fries dan nugget untuk kanak-kanak. Cuma pada waktu penulis ke Port Seafood baru ni, tak ada pula dijual makanan panas seperti nasi goreng.

Nugget Tempura Port Seafood Penaga
Dari segi pengurusan dan servis boleh diperbaiki lagi. Kalau ada perubahan pada waktu perniagaan, pastikan diberitahu dengan jelas melalui saluran-saluran utama seperti laman web dan media sosial.

Asalnya dibuka bermula 1 petang, tetapi sekarang telah diubah kepada 3 petang. Jadi kalau nak datang ke sini, Port Seafood dibuka dari 3 petang sehingga 10 malam, pada setiap hari kecuali selasa.


Ketika menulis artikel ni, info berkaitan waktu mula operasi Port Seafood di laman Facebook dan Google Maps adalah berbeza — 3 petang pada Facebook, 1 petang pada Google Maps.

Nak elakkan kesesakan, penulis nasihatkan untuk datang pada waktu petang. Untuk dapatkan info-info berkaitan Port Seafood Penaga, boleh ke laman facebook Port Seafood.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top