Crab Meat Soup dan Fillet Ikan 3 Rasa di Restoran Masakan Cina Muslim Mohd Chan
Sejarah sup boleh dikesan jauh sehingga ke tahun 20,000BC ketika manusia mula menggunakan tembikar di Gua Xianrendong, Cina. Sup pada asalnya mudah dimasak, murah, dan boleh dinikmati ramai tak kira miskin atau kaya.
Sekarang, ada bermacam jenis sup akibat daripada pengaruh budaya dan status. Sup kambing, sup gear box, cream of mushroom, samgyetang, dan tak lupa juga tomyam masing-masing membawa pengaruh yang berbeza.
Selalunya kalau ke restoran masakan panas atau thai, mesti akan pesan tomyam. Tapi kali ni penulis nak tukar selera, nak pergi makan sup di restoran masakan cina muslim pula.
Nama pun restoran cina muslim, dah tentulah bukan bak kut teh. Masih ingat lagi sup yang penulis ceritakan sebelum ni di restoran masakan nyonya Sri Pinang?
Crab meat soup atau sup isi ketam, kalau kena gaya memang terangkat. Bukan jenis ceroi, crab meat soup selalunya disediakan dalam keadaan yang lebih likat menggunakan tepung jagung.
Restoran Mohd Chan
Kali ni, untuk makan sup isi ketam penulis ke restoran masakan cina muslim Mohd Chan cawangan Seksyen 15, Shah Alam. Berdekatan je dengan restoran Sri Pinang dan Medan Selera MBSA.
Selain sup isi ketam, menu lain yang penulis pesan ialah tauhu sizzling, filet ikan masak 3 rasa, dan dim sum.
Crab Meat Soup With Abalone Slices
Seperti biasa, sup isi ketam di sini juga likat dan penuh dengan isi. Dengan mata kasar, nampak macam restoran Mohd Chan menggunakan isi ketam filet, tetapi kalau diteliti ada juga isi ketam sebenar.
Lebih sedap dimakan sewaktu panas, tak cukup semangkuk dua. Lagipun portion sup yang diberikan cukup banyak untuk dijamu berulang kali.
Tauhu Sizzling
Bagi penulis tauhu sizzling di sini biasa je, nampak agak kusam berbanding tauhu sizzling di restoran Sri Pinang. Tetapi, yang penting rasanya sedap dan tauhu yang diberikan pun cukup banyak.
Fillet Ikan 3 Rasa
Ni menu yang penulis tak sangka penulis akan suka. Dari perkataan "fillet" mesti ada yang fikir hidangan ni agak "mediocre" atau "inferior" berbanding kalau kita pesan seekor ikan kan?
Hidangan ni sebenarnya memang sangat kaya dengan bahan dan rasa. Ikan yang digunakan pun elok dan sedap. Kalau datang cuma berdua atau bertiga, lebih jimat kalau pesan fillet ikan.
Dim Sum
Kalau pesan dim sum enam biji, kita akan diberikan enam biji dim sum berlainan jenis. Memang sedap betul dim sum di sini, setiap jenis ada rasa yang sedikit berlainan.
Sebagai "condiment" atau perasa, kita akan diberikan sos cili dan kicap. Cuba rasa dulu sebelum gunakan perasa, dan jangan gunakan perasa secara berlebihan. Kita nak makan dim sum, bukannya sos atau kicap.
Nasi Ayam
Nasi Ayam, photo by Mohd Chan
Antara menu yang macam biskut di restoran Mohd Chan, kadang-kadang ada, kadang-kadang takde. Sewaktu ke cawangan Shah Alam baru ni, nasi ayam dan mi wantan tak ada.
Tetapi waktu penulis ke cawangan Klang beberapa bulan yang lepas, ada. Bagi penulis, antara nasi ayam yang sedap penulis makan, cuma penulis lebih sukakan nasi ayam di The Chicken Rice Shop.
Harga Makanan di Restoran Mohd Chan
Selalunya, harga makanan di restoran masakan cina muslim lebih mahal berbanding di restoran masakan panas atau ikan bakar. Samalah di restoran Mohd Chan pun, harganya boleh tahan mahal juga.
Jom tengok harga (pada Julai 2020) makanan yang penulis pernah makan di restoran Mohd Chan:
Menu | Harga |
---|---|
Crab Meat Soup with Abalone Slices | 28.00 |
Tauhu Sizzling | 18.00 |
Ikan Fillet 3 Rasa | 19.00 |
Dim Sum (6 Biji) | 9.60 |
Nasi Ayam (Original/BBQ) | 9.90 |
Thai Lemon Chicken Chop | 25.90 |
Nasi Putih | 1.60 |
Tetapi, harga yang mahal pun boleh jadi berbaloi kalau dipakejkan sekali dengan layanan yang baik, kualiti makanan yang tiptop, dan keadaan restoran yang bersih dan kondusif.
Pilih Cawangan Yang Betul
Untuk restoran yang ada banyak cawangan, amat susah untuk jaga kualiti servis setiap cawangan. Jadi setiap cawangan walaupun menggunakan resepi yang sama akan ada kelainan dari segi servis.
Penulis cuma pernah ke dua cawangan Mohd Chan, satu berhampiran Klang Sentral, satu lagi di Seksyen 15 Shah Alam. Dari pengalaman penulis, servis di kedua-dua cawangan sangatlah berbeza.
Servis dan keadaan restoran di cawangan Klang Sentral tidak sebaik di Seksyen 15. Jadi kalau nak ke restoran Mohd Chan, penulis sarankan pergi ke cawangan Seksyen 15, Shah Alam.
Boleh lihat menu-menu lain yang ada di sini pada laman sesawang restoran masakan cina muslim Mohd Chan.
Post a Comment