Berbuka Puasa Dengan Ayam Goreng Karipulay dan Rusuk Lembu di Restoran 5 Bintang D'global Cuisine by Chef Zubir

Dalam banyak-banyak restoran yang penulis pergi, restoran yang penulis nak kongsikan kali ni mungkin yang paling mewah penulis pernah pergi. Dari segi harga makanannya, penulis boleh kategorikan sebagai mewah.

Tak tahulah kenapa, mungkin kerana air tangan seorang chef terkemuka, tidak pun kerana air tangan anak didiknya. Mungkin pada tatacara penyediaannya, ataupun persembahannya.

Kadang-kadang tertanya juga apa yang membuatkan sebuah restoran mewah, mewah. Untuk dapatkan jawapan kepada persoalan tadi, penulis pergi ke restoran D'global Cuisine di Eco Grandeur.

D'global Cuisine by Chef Zubir

Restoran D'global Cuisine yang penulis pergi ini dimiliki oleh Chef Zubir Zain, salah seorang juri MasterChef Malaysia dan MasterChef Selebriti Malaysia. Beliau juga pernah menjadi seorang sous-chef di hotel Le Meridien Kuala Lumpur.

Disebabkan restoran ni bertaraf 5 bintang, jangkaan penulis agak tinggi. Setiap sen yang penulis keluarkan untuk makan di sini, penulis mahukan sesuatu sebagai balasan.

Tak kisahlah sama ada rasa, rupa, atau servis, mesti ada sesuatu yang penulis boleh jadikan alasan untuk keluarkan duit yang lebih banyak untuk makan makanan yang penulis boleh dapatkan di tempat lain pada harga yang lebih murah.

Persembahan 5 Bintang

Disebabkan penulis datang pada bulan puasa, penulis pesan set berbuka puasa. Dalam set berbuka puasa ni, penulis akan dapat kuih, minuman, nasi bersama 3 jenis lauk, dan juga pencuci mulut.

Untuk minuman, penulis diberikan mocktail seperti punch. Warnanya merah seperti sirap, cuma bila minum rasanya seperti jambu batu merah. Sedikit masam disebabkan oleh lemon.

Untuk kuih, mereka sediakan kuih ketayap, kuih lapis dan kurma. Bagi penulis kuihnya sedap, manis tetapi tak terlalu manis. Antara kuih lapis dan ketayap tadi, penulis lebih sukakan kuih ketayap.

Untuk nasi pula, ia dihidang bersama telur masin, sayur campur, papadom, ulam, dan sambal belacan. Nasi ini juga berlaukkan sotong goreng tepung, daging rusuk masak hitam, dan ayam goreng berempah.

Lebih tepat lagi, seperti yang tertulis pada menu; lauknya ialah sotong raja goreng tepung rangup cicah sambal jawa, daging rusuk Australia masak jintan hitam manis haruman daun ketumbar, dan ayam goreng 'karipulay' Madras salut tujuh rempah.

Fancy betul nama lauknya, rasanya pula macam mana? Semuanya sedap, memang terasa rempah pada ayam goreng, daging rusuknya pula lembut, dan sotongnya pula rasa masam manis.

Paling sedap ialah daging rusuk. Walaupun penulis pernah makan daging yang lebih lembut, daging di sini pun mudah dimakan juga. Kalau terlalu lembut risau pula hilang teksturnya.

Untuk pencuci atau pemanis mulut, penulis diberikan kek lobak yang lembut dan sangat sedap, bersama buah-buahan seperti tembikai dan oren yang kelihatan sangat segar.

Penulis sangat sukakan frosting yang digunakan pada kek lobak, mungkin diperbuat daripada cream cheese; ada sedikit rasa masam seperti lemon. Pada kek yang sama juga terdapat kacang walnut.

Untuk set berbuka puasa, boleh pilih set untuk seorang ataupun dua orang. Untuk set dua orang, satu lagi portion nasi diasingkan dari dulang. Bagaimana pula dengan portion lauk dan bahan-bahan lain?

Dari segi portion lauk untuk set dua orang, bagi penulis masih boleh diterima. Cuma harap portion sambal belacan dan sayur dilebihkan lagi. Kalau tengok dari gambar yang penulis ambil pun, portion sambal belacan dan sayur untuk set seorang dengan dua orang tak jauh sangat bezanya.

Kalau diteliti, lauk yang disediakan bukan jenis berkuah. Maksudnya kalau tak makan nasi dengan sambal belacan atau sayur campur memang rasa kering. Kalau ada kicap manis atau sedikit kuah lemak lagi terangkat.

Harga Makanan di D'global Cuisine

Untuk sebuah restoran mewah bertaraf 5 bintang, harganya memang tinggi ke bintang juga. Untuk set berbuka puasa dua orang ialah RM95.90, untuk seorang pula RM49. Set kanak-kanak (5 ke 10 tahun) pula RM29.

Berikut merupakan harga beberapa menu lain dalam bulan Ramadhan:
Menu Harga
Japanese Sencha/Egyptian Chamomile/Organic English Breakfast/Earl Grey 8.00
Espresso 6.50
Javanese Mee Rebus Tulang Rusuk 27.90
Thai Prawn Salted Egg Linguine 27.90
Maguro Sashimi (Tuna) 16.90
Salmon Sashimi 15.90
Wild Mushroom Soup 15.90
Rib Eye Steak 49.90/69.90
Sirloin Steak 46.90/49.90
Tenderloin Steak 65.90
Wagyu Beef Burger 39.90
Rainbow Cake 15.90

Harga mungkin berbeza (mungkin lebih tinggi) pada bulan-bulan lain.

Perkhidmatan Pelanggan Yang Baik

Penulis datang ke restoran D'global Cuisine secara berkumpulan. Pengurusnya sangat membantu dalam menguruskan tempahan dan susur atur kerusi meja. Jadi kalau datang secara beramai-ramai, boleh bincang dulu dengan pengurus restoran.

Kalau nak adakan candle light dinner, ataupun sambutan ulang tahun perkahwinan atau hari jadi, boleh juga hubungi dan bincang dengan pihak restoran terlebih dahulu.

Kalau ada masalah, boleh tanya pelayan atau pengurus. Ayam yang penulis makan ada bahagian yang isinya mentah, dan restoran tukarkannya dengan yang baru walaupun penulis cuma minta pelayan untuk panaskan semula. Bagus kan?

Restoran Yang Selesa

Pencahayaan di sini cukup baik, cukup cerah untuk berjalan dengan selamat. Rekaan dalamannya pula berkonsepkan taman dengan hiasan tumbuhan dan pokok bunga, memang sejuk mata memandang.

D'global Cuisine cawangan Eco Grandeur mempunyai tiga aras, dua aras utama untuk pelanggan awam, aras paling atas pula khas untuk private meeting. Surau juga disediakan di aras teratas.

Ruang makan bersofa disediakan di aras yang kedua. Penulis tak berkesempatan nak duduk atas sofa tu, nampak macam selesa dan santai je untuk adakan perbincangan.

Kalau ada satu perkara yang penulis kurang selesa cumalah suhu di aras kedua. Pendingin hawa yang digunakan tak dapat sejukkan ruang makan apabila menampung pelanggan yang ramai. Sedikit panas ketika makan.

Kalau berminat nak cuba makanan hasil air tangan atau didikan Chef Zubir, boleh datang ke d'Global Cuisine. Ada dua cawangan, yang penulis pergi ni di Eco Grandeur, Puncak Alam. Satu lagi cawangan terletak di Setia Eco Park.


Restoran dibuka pada setiap hari bermula 2 petang sehingga 10:30 atau 11 malam. Restoran ni berkonsepkan fine-dining, jadi dinasihatkan untuk jaga tatacara pemakaian dan kelakuan.

Selain daripada D'global Cuisine, Chef Zubir juga membuka beberapa restoran lain seperti Wangsa Grill, Andorra, Pastries Gallery & Bistro, dan Laman Grill

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top