Pembahagian Hari dan Waktunya: Bila Waktunya Pagi, Tengah Hari, Petang dan Malam?
Photo by freepik via freepik
Jam menunjukkan pukul 1:30PM ataupun jam 13:30. Dalam perjalanan ke sebuah restoran, terserempak pula dengan seseorang yang kita kenal. Niat di hati hendak menyapa, tapi bagaimana?
Untuk yang beragama Islam, kita boleh menyapa dengan mengucapkan "assalamu'alaikum". Bagi yang bukan beragama Islam pula, menggunakan perkataan "selamat sejahtera" kedengaran agak janggal.
Selalunya kita akan menyapa dengan mengucapkan "selamat petang", tetapi betul ke 1:30PM tu dikira petang? Mestilah petang sebab dah lepas tengah hari kan? Kan..? Kan...?
Sistem 24 Jam
Untuk mengelakkan kekeliruan penulis tak akan gunakan sistem AM-PM, tetapi penulis akan gunakan sistem 24 jam. Untuk melakukan pertukaran antara sistem AM-PM atau 12 jam kepada 24 jam cuma perlu gunakan formula J:mAM=J:m atau J:mPM=J+12:m (J-jam, m-minit).
Boleh lihat jadual dibawah untuk penukaran antara sistem AM-PM, 24 jam, dan ketenteraan (Ten).
AM | 24 Jam | Ten |
---|---|---|
12:00AM | 00:00 | 0000 |
1:00AM | 01:00 | 0100 |
2:00AM | 02:00 | 0200 |
3:00AM | 03:00 | 0300 |
4:00AM | 04:00 | 0400 |
5:00AM | 05:00 | 0500 |
6:00AM | 06:00 | 0600 |
7:00AM | 07:00 | 0700 |
8:00AM | 08:00 | 0800 |
9:00AM | 09:00 | 0900 |
10:00AM | 10:00 | 1000 |
11:00AM | 11:00 | 1100 |
PM | 24 Jam | Ten |
---|---|---|
12:00PM | 12:00 | 1200 |
1:00PM | 13:00 | 1300 |
2:00PM | 14:00 | 1400 |
3:00PM | 15:00 | 1500 |
4:00PM | 16:00 | 1600 |
5:00PM | 17:00 | 1700 |
6:00PM | 18:00 | 1800 |
7:00PM | 19:00 | 1900 |
8:00PM | 20:00 | 2000 |
9:00PM | 21:00 | 2100 |
10:00PM | 22:00 | 2200 |
11:00PM | 23:00 | 2300 |
Beza antara sistem 24 jam dan ketenteraan ialah pada pengasingan antara jam dan minit menggunakan tanda baca kolon (:).
Pembahagian Hari dan Waktunya
Balik kepada persoalan asal, 1:30PM ataupun 13:30 itu dikira petang ataupun bukan? Penulis dah kumpulkan definisi setiap bahagian daripada hari, boleh rujuk jadual di bawah:
Bahagian | Waktu |
---|---|
Pagi | 00:01 - 11:59 |
Tengah Hari | 12:00 - 13:59 |
Petang | 14:00 - 18:59 |
Malam | 19:00 - 23:59 |
Merujuk kepada jadual di atas, maksudnya pukul 1:30PM sebenarnya masih dikira sebagai tengah hari. Jadi adalah lebih tepat untuk kita menyebut selamat tengah hari berbanding selamat petang.
Tafsiran Berbeza Dalam Bahasa Inggeris
Kalau diterjemah, pagi, tengah hari, petang dan malam masing-masing bermakna morning, noon, evening dan night dalam bahasa inggeris. Tetapi terjemahan ini sebenarnya kurang tepat.
Dalam bahasa inggeris, noon merujuk kepada jam 12:00, manakala afternoon pula boleh jadi tengah hari ataupun petang. Evening pula boleh jadi petang atau malam. Kenapa ye?
Bawah merupakan jadual pembahagian hari dan waktu dalam bahasa inggeris menurut Britannica:
Bahagian | Waktu |
---|---|
Morning | 05:00 - 11:59 |
Noon | 12:00 |
Afternoon | 12:01 - 16:59 |
Evening | 17:00 - 20:59 |
Night | 21:00 - 03:59 |
Kalau perasan ada satu bahagian yang kita tak tahu sama ada morning ataupun night — 04:00 - 04:59. Sebab negara-negara yang menggunakan bahasa inggeris datang dari pelbagai benua.
Jadi, morning boleh bermula lebih awal atau lebih lewat bergantung pada kedudukan geografi sesebuah negara. Dalam bahasa melayu, jam 00:01 pun dah dikira pagi walaupun 7 jam sebelum matahari terbit.
Maksudnya kalau jam menunjukkan pukul 4:00PM ataupun jam 16:00, kita boleh gunakan selamat petang dalam bahasa melayu, dan good afternoon dalam bahasa inggeris.
Afternoon = Tengah Hari + Sebahagian Petang
Pada mulanya agak janggal, sebab kita dah biasa dengan tejemahan langsung dari bahasa melayu ke bahasa inggeris. Sedangkan kalau afternoon bermaksud tengah hari, pukul 4 pun boleh dikira tengah hari mengikut tafsiran bahasa inggeris.
Yang penting, hari ni kita belajar yang tengah hari rupa-rupanya bemula daripada jam 12:00 sehinggalah sebelum 14:00. Kalau masih ada yang belum tahu, boleh kongsikan artikel ni.
Post a Comment