Ikan Gergasi dan Rangka Ikan Paus di Akuarium Tunku Abdul Rahman, AkuaTAR Pulau Pinang
Kita tak perlu pun keluarkan duit yang banyak untuk lihat haiwan laut di Akuarium. Aquaria KLCC bukan satu-satunya akuarium yang ada di Malaysia, di Pulau Pinang pun ada akuarium tau.
Berbanding Aquaria KLCC, akuarium di Pulau Pinang jauh lebih murah. Kalau poket tak cukup tebal, anak-anak nak tengok ikan, bolehlah ke Akuarium Tunku Abdul Rahman di Batu Maung, Pulau Pinang.
Akuarium Tunku Abdul Rahman
Harga tiket masuk ke AkuaTAR Pulau Pinang sangat murah. RM5 bagi dewasa, dan RM2 untuk kanak-kanak. Manakala untuk warga emas dan OKU pula, masuk adalah percuma.
Disebabkan harganya yang murah, jangan pula harapkan pengalaman yang sama seperti di Aquaria KLCC. Namun, tak rugi pun datang ke sini untuk kenal dan lihat hidupan laut.
Katanya ada lebih daripada 100 spesies hidupan laut di sini, betul ke tak penulis pun susah nak nilai sebab penulis tengok ikannya hampir serupa walaupun spesies yang berbeza.
Seni Aquascaping
Masuk je ke dalam AkuaTAR Pulau Pinang, kita boleh lihat akuarium-akuarium kecil yang memperagakan seni aquascaping. Boleh lihat macam mana akuarium dihiaskan dengan rumpai, kayu, tumbuhan, dan batu.
Terus terang penulis tak kenal pun kebanyakan hidupan laut yang ada di sini. Antara yang penulis kenal ialah ikan kerapu, ikan karang, ikan buaya, penyu, dan udang galah.
Kenali Spesies Invasif
Selain melihat hidupan laut, kita juga boleh belajar sedikit sebanyak berkenaan dengan hidupan yang ada. Contohnya, ikan buaya ialah spesies invasif yang tidak seharusnya dilepaskan di mana-mana perairan kita.
Kalau terlepas di perairan kita, ia akan memberikan impak yang negatif terhadap ekosistem dan biodiversiti. Spesies invasif boleh mengakibatkan kepupusan spesies asli di kawasan tertentu.
Selain daripada hidupan laut yang masih hidup, kita juga boleh melihat replika bentuk rangka seekor dugong dan ikan paus. Penulis sebut replika sebab penulis tak pasti rangka sebenar ataupun tak.
Auditorium Dengan Ikan Gergasi
Berhampiran susur keluar bahagian dalam AkuaTAR ada sebuah auditorium dengan akuarium yang besar. Di sinilah terletaknya ikan-ikan bersaiz giga atau gergasi, boleh tengok sambil berehat di tempat duduk.
Kalau bernasib baik, boleh lihat orang beri makan atau lakukan kerja pembersihan akuarium di auditorium tadi.
Di bahagian luar AkuaTAR pun ada ikan bersaiz gergasi. Di sinilah terletaknya rangka ikan paus dan sekumpulan kura-kura. Dalam perjalanan keluar pula kita akan lalu di sebuah medan selera.
Malang sungguh sebab penulis lupa nak ambil gambar rangka ikan paus untuk dimuat naik ke blog Hari3Aku sebab terlalu sibuk ambil gambar kura-kura.
RM5 Yang Sangat Berbaloi
Bagi penulis, memang seronok walaupun tempatnya tidak terlalu besar. Kalau kita cuma jalan dan lihat kesemua ikan tanpa teliti setiap maklumat, tak sampai setengah jam pun kita dah keluar.
Sesuailah dengan harganya yang murah, jadi tak bolehlah nak bandingkan dengan Aquria KLCC. Sebenarnya penulis sendiri pun tak pernah ke Aquaria KLCC lagi, mungkin lain kali.
AkuaTAR Pulau Pinang terletak di Jalan Batu Maung, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang. Dibuka pada setiap hari kecuali rabu bermula pukul 10 pagi sehingga 4 petang.
Post a Comment