Makan Briyani Ayam, Lembu dan Kambing dalam Satu Talam di Jalil Tandoori & Briyani, Bayan Lepas, Pulau Pinang
Baru ni penulis ada ceritakan tentang Akuarium Tunku Abdul Rahman di Batu Maung, Pulau Pinang. Memang best tempatnya, berbaloi, lebih-lebih lagi dijadikan tempat persinggahan sebelum ke tempat lain.
Selesai berjalan di akuarium melihat hidupan laut mestilah rasa lapar kan? Di Pulau Pinang, kalau lapar mesti nak makan nasi kandar atau nasi briyani. Agak-agak penulis makan apa?
Asalnya nak makan nasi kandar, ternampak pula restoran Nasi Kandar Beratur 786 di Bayan Lepas. Malangnya, ramai sangat, jadi terpaksa tukar plan dan makan nasi briyani di restoran berhampiran.
Jalil Tandoori & Briyani
Selang beberapa kedai ialah restoran Tandoori Briyani Jalil ataupun Jalil Tandoori & Briyani. Tak ramai, jadi masih banyak tempat kosong walaupun restorannya hanya 1 lot.
Penulis tak tahu apa beza antara jenis-jenis briyani, tetapi di sini kepakarannya ialah briyani Lahore. Lahore ialah ibu negeri wilayah Punjab dan bandar kedua terbesar di Pakistan.
Siapa tahu beza antara briyani Lahore (Pakistan) dan Hyderabad (India)? Tekaan penulis, briyani Hyderabad lebih berempah dengan rasa yang lebih kuat berbanding briyani dari Pakistan.
Pelbagai Jenis Briyani
Di restoran Tandoori Briyani Jalil, nasi briyani dijual secara sepinggan ataupun set talam yang boleh dimakan oleh 3 (RM48), 5 (RM68), atau 7 (RM88) orang. Set talam disediakan bersama ayam, lembu dan kambing.
Selain dari ayam, lembu dan kambing, di sini juga ada briyani sayur, telur, ikan, tandoori dan udang. Harga bagi sepinggan briyani ialah antara RM9 ke RM20.
Menu Lain di Jalil Tandoori & Briyani
Bukan sahaja nasi briyani, ada juga kebab, tikka, chapati, naan, pizza, makanan barat seperti chicken chop, dan nasi goreng cina. Ada juga hidangan sampingan seperti ayam butter, keema lembu, dan vindaloo kambing.
Harga hidangan sampingan adalah antara RM12 ke RM25 untuk ayam dan lembu, dan RM15 ke RM26 bagi kambing. Penulis dah cuba naan keju dan ayam butter, kedua-duanya sedap.
Ayam butter di sini agak unik, sebab warnanya bukan kekuningan seperti di Ehsan's, tetapi warnanya kemerah-merahan. Rasanya tak terlalu pedas dan sedap dimakan bersama naan.
Sedap dan Berbaloi
Kalau ikutkan harga, kalau beli sepinggan briyani ayam, lembu dan kambing secara berasingan adalah lebih murah berbanding set talam. Tetapi, dengan set talam walaupun set untuk 3 orang kita boleh makan untuk 4 ke 5 orang.
Bukan sahaja menu yang ada di sini sedap, dagingnya pun lembut. Rasa nasi briyaninya lebih ringan berbanding yang penulis biasa makan, tetapi lebih kuat berbanding nasi minyak.
Bagi penulis, harganya masih berbaloi untuk sebuah restoran, bukannya kedai mamak. Harganya lebih kurang sama seperti di kedai nasi arab — mungkin juga lebih murah.
Kalau datang ke Bayan Lepas, dan teringin nak cuba nasi briyani bolehlah datang ke Jalil Tandoori & Briyani yang terletak di SummerSkye Residences, Jalan Sungai Tiram.
Restoran Jalil Tandoori & Briyani dibuka pada setiap hari bermula 11 pagi sehingga 11 malam. Boleh ke laman FB Jalil Tandoori & Briyani untuk maklumat lebih lanjut.
Post a Comment