Nasi Kandar Ayam Bawang di Nasi Kandar Beratur 786 Cawangan Bayan Lepas, Pulau Pinang

Ingat lagi baru ni penulis makan nasi briyani di Summerskye Residences, Bayan Lepas? Asalnya penulis nak makan nasi kandar di sebuah restoran berdekatan tapi ramai. Tak puas hati, jadi selepas check out dari Lexis Suites Penang penulis cuba pergi lagi sekali.

Kali ni lebih awal, betul-betul waktu kedai nasi kandar baru nak buka. Belum ramai dan tak perlu beratur, jadi memang tak lepaskanlah peluang untuk cuba nasi kandar di sana.

Nama pun restoran Nasi Kandar Beratur 786, memang beraturlah kalau datang pada waktu puncak lebih-lebih lagi sekitar 1 tengah hari. Pernah tertanya tak kenapa nombor 786?

Angka 786 ni selalunya digunakan oleh orang Islam di Pakistan dan India untuk menggantikan perkataan "Bismillah" atas sebab menjaga kesucian nama "Allah", "Ar-Rahman" dan "Ar-Rahim".

Nasi Kandar Beratur 786

Nasi Kandar Beratur 786 di Bayan Lepas ni bukanlah satu-satunya cawangan yang ada. Sebenarnya dah ada banyak cawangan restoran ni, boleh dikatakan juga antara yang top di Kuala Lumpur.

Sehingga ke tahun 2022 ada lebih kurang enam cawangan Nasi Kandar Beratur 786 yang terletak di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, dan Singapura. Mesti sedap kan?

Kedatangan penulis ke restoran Nasi Kandar Beratur 786 disambut pelbagai jenis lauk. Memang terliur tengok lauk, rata-ratanya gulai; yang likat dengan segala bahannya.

Ayam Bawang Potong Empat

Paling menarik ialah ayam bawang yang bertimbun disebalik dinding kaca kaunter lauk. Seperti biasa, penulis akan pesan kuah campur, kuah madu, ayam goreng bawang, dan kubis goreng.

Ayam bawang dipotong empat dan dimasak bersama bawang goreng dan daun kari, lebih kesar dan lebih kenyang. Memang penulis akan pilih ayam bawang berbanding ayam goreng kalau ada.

Selain daripada ayam, ada juga kambing, ikan bawal, merah, pari, keli, dan makanan laut lain seperti sotong, udang, dan ketam. Secara keseluruhannya, ada lebih daripada 30 pilihan lauk.

Rasanya macam mana pula? Bagi penulis ayam bawangnya sedap, bahagiannya pun besar dan rasanya sedikit manis. Kubisnya pun dimasak dengan elok, cuma satu perkara je yang kurang gemar.

Walaupun kuah campurnya sedap, ada kuah yang rasanya pedas tak tahulah kuah apa. Jarang-jarang penulis makan nasi kandar pedas walaupun gulainya kaya dengan rempah.

Itu je la yang penulis kurang gemar, selain daripada tu semuanya ok. Ikan keli goreng di sini pun saiznya besar dan sedap, kali pertama penulis makan nasi kandar dengan ikan keli.

Suasana Seperti Kafe

Cawangan Nasi Kandar Beratur 786 di Bayan Lepas bukan seperti kedai nasi kandar tipikal. Restorannya bersih dan mempunyai pendingin hawa, serupa seperti sebuah kafe.

Kalau nak tahu, di sini juga ada sediakan makanan barat seperti chicken chop, fish n chip, dan pasta.

Harga Menu Nasi Kandar Beratur 786

Bagi penulis, harga di sini bersesuaian dengan keadaan restoran yang bersih dan dingin. Rekaan dalamannya juga lebih moden berbanding kedai mamak yang kita biasa pergi.

Untuk nasi kandar lauk ayam bawang dan kubis goreng, harganya ialah RM10.60. Kalau cuma ambil ayam goreng harganya ialah RM7.60, masih berbaloi. Cuba tengok harga menu di bawah:

Menu Harga
Nasi Putih 1.60
Beriani Bombay 3.50
Beriani Ayam 11.50
Beriani Kambing 13.00
Ayam Goreng/Masak Pedas/Kari/Tiga Rasa 4.50
Ayam Bawang 1/4 7.50
Ayam Goreng 1/4 7.00
Ayam Kampung 8.00
Burung Puyuh 5.00
Daging Denggi 4.00
Kambing 7.00
Lamb Shank 500 g 29.00-32.00
Kepala Bawal 5.00-9.00
Kepala Ikan Merah 40.00-70.00
Ikan Bawal/Pari 5.00-7.00
Ikan Termenung 4.00
Ikan Keli 6.00-9.00
Ikan Masin 2.00
Bergedil 3.00
Telur Masin 1.50
Telur Ikan/Sotong 7.50
Sotong 5.00-10.00
Udang 7.00-12.00
Ketam 9.00-15.00
Ikan Goreng 5.00-7.00
Kerang 5.00
Pappadam/Sayur/Tauhu/Bendi 1.50

Berpatutan kan? Jadi tak rugi pun singgah makan di sini. Dah cuba nanti bolehlah bandingkan dengan nasi kandar Deen Maju, Hameediyah, dan Line Clear.

Sejujurnya, penulis lebih sukakan nasi kandar di Hameediyah. Tetapi harga di Hameediyah tidaklah semurah di Nasi Kandar Beratur 786. Kalau korang nak pilihan yang lebih murah boleh cuba datang ke sini.


Nasi Kandar Beratur 786 mempunyai dua cawangan di Pulau Pinang. Selain di Bayan Lepas, mereka juga mempunyai cawangan di Pusat Bandar Sunway, Seberang Jaya.

Nasi Kandar Beratur 786 cawangan Bayan Lepas dibuka bermula pukul 11 pagi sehingga 10 malam pada setiap hari.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top