Mahal dan Murah itu Bersifat Relatif. Betul ke Nasi Mandy Lamb Shank Chef Ammar Mahal?

Tanpa kita sedar, sebenarnya banyak perkara yang bersifat relatif. Relatif bermaksud satu-satu penilaian itu berkait atau berkadar dengan sesuatu yang lain, ia tidak boleh dilakukan secara terpencil.

Contohnya apabila kita membincangkan tentang dikotomi panas-sejuk, pantas-perlahan, bijak-dungu, dan besar-kecil, kita membincangkan sesuatu yang bersifat relatif.

Maksudnya, seorang penilai tak boleh label sesuatu sebagai panas atau sejuk, ataupun pantas atau perlahan tanpa membandingkan dengan sesuatu atau diri penilai itu sendiri.

Paling tidak pun, kita akan bandingkan dengan satu keadaan yang kita rasakan patut. Namun, apa yang dikatakan "patut" itu pun masih terbuka untuk tafsiran — tak mudah.

Jadi tak peliklah kalau kita masih berselisih pendapat tentang sesuatu walaupun kita berada di tempat yang sama, dan melakukan pemerhatian yang sama pada waktu yang sama.

Pengenalan Metrik Sebagai Ukuran

Bagi mengelakkan perselisihan, sebuah metrik perlu diperkenalkan sebagai ukuran. Contohnya seperti yang digunakan pada suhu (K), kelajuan (km/j), gred (A+), dan isipadu (m3). Ukuran ini bersifat absolute atau mutlak.

Jadi kalau ada sebuah kenderaan dibawa pada kelajuan 50 km/j, tak kisahlah kita rasa kereta tu perlahan atau laju, ia tak akan mengubah hakikat yang kenderaan tersebut dipandu pada kelajuan 50 km/j.

Nasi Arab Mandy Lamb Shank Chef Ammar Mahal?

Samalah kesnya dengan kes Chef Ammar baru-baru ni apabila ada seorang netizen mengatakan bahawa harga nasi arab mandy lamb shank chef ammar berharga Tel Aviv, atau dalam kata lain, mahal.

Kita tolak tepi dulu macam mana perkataan "Tel Aviv" boleh memberi kesan kepada perasaan seorang chef yang berdarah Palestin. Kita lihat bagaimana orang menilai mahal murah sesuatu benda.

Untuk permasalahan mahal murah, kita mempunyai metrik "RM" untuk mengukur harga. Dalam kes ni, nasi arab lamb shank chef Ammar dijual pada harga RM50, bagi korang mahal ke murah?

Selalunya kita akan membuat perbandingan, bergantung pada pengalaman masing-masing; dengan harga yang kita rasa patut. Mungkin kita rasa harga sepatutnya dalam lingkungan RM35 ke RM40, jadi kita rasa mahal.

Kualiti Bahan dan Servis


Tetapi, itu pengalaman kita. Apa yang kita perlu lihat dalam menilai harga yang dikatakan patut sebenarnya ialah kualiti pada bahan dan chef. Apa bahan yang digunakan, dan apa servis yang kita dapat daripada chef tersebut.

Jom kita buat pecahan pada harga nasi arab lamb shank chef Ammar menggunakan contoh yang paling mudah. Harga lamb shank sahaja boleh mencecah RM30-RM35, nasi arab kosong pula RM5-RM7, dan telur sebiji dalam RM2.

Itu belum ambil kira kualiti bahan seperti kacang dan safron yang digunakan, tak ambil kira kos sambal dan bekas lagi. Harga safron di Tesco/Lotus's pun dah cecah sekitar RM27 untuk 0.5 gram.

Chef Selebriti Terkenal

Jadi tak patutlah kalau kita nak suruh Chef Ammar jual pada harga RM40, tambah pula dia juga mempunyai nama dan status dalam industri ni, terkenal dengan trademark "masak dari hati, masak with iman".

Pergi tengok mana-mana restoran chef terkenal, Chef Wan ke Chef Zubir ke. Harga ayam masak merah sepiring pun dah RM36 di De. Wan 1958, mee rebus tulang rusuk pula RM27.90 di d'Global Cuisine.

Jadi rasanya tak perlu dah kita nak pertikai tentang harga RM25 untuk ayam, atau RM50 untuk lamb shank yang dijual oleh Chef Ammar. Kalau kita masih rasa mahal, itupun sebab kita bandingkan dengan kemampuan diri kita.

Samalah macam waktu penulis ke Lexis Suites Penang baru ni, bagi penulis harga biliknya mahal sebab penulis tak mampu. Tapi penulis tak pertikai sebab tempatnya memang berkualiti dan seronok.

Nilai vs Harga

Terpulang pada masing-masing, tepuk dada tanya selera. Tak kisahlah rasa mahal atau murah sekalipun, cuma jangan pertikai harga sesuatu barang atau servis kalau kita cuma bandingkan dengan kemampuan diri kita.

Kalau bahan yang digunakan Chef Ammar tak berkualiti atau servisnya teruk, dipersilakanlah untuk pertikai. Tapi kalau rasa mahal hanya sebab kita tak mampu, banyak lagi benda penting yang kita perlu buat.

Semuanya berbalik kepada perbandingan antara "nilai" dan "harga". Semua orang boleh lihat harga, tetapi kenapa tak semua boleh lihat nilai? Sebab untuk menilai kita perlukan ilmu.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top