Enam Tip Menulis Artikel Untuk Penulis dan Pengurus Blog Pemula: Boleh ke Jana Pendapatan dengan Blog?
Photo by rawpixel .com via freepik
Mungkin agak mudah untuk kita berkongsi atau memberikan komen di internet, menyiapkan hantaran di Facebook, berkongsi gambar di Instagram, ataupun menyiapkan ciapan di Twitter.
Tetapi, untuk menulis sebuah artikel ataupun karangan bukanlah sesuatu yang mudah. Inilah cabaran yang perlu dihadapi setiap orang yang ingin menguruskan blog mereka sendiri.
Menulis sebuah artikel di blog mempunyai cabarannya yang tersendiri, sama seperti menulis karangan "aku sebatang pensil". Bukan sahaja kita perlu kenal apa itu sebatang pensil, kita juga perlu berfikiran kreatif.
Kalau ada sepuluh orang yang menulis karangan dengan tajuk yang sama, tak mustahil setiap orang menulis dengan cara yang berbeza, membawa cerita yang berbeza, dengan pengakhiran yang berbeza.
Tetapi, mengurus sebuah blog tidak semudah menyiapkan sebuah karangan. Kita perlukan lebih banyak karangan atau artikel, penulis sendiri sehingga ke hari ni dah siapkan lebih daripada 250 artikel di Hari3Aku sejak Mei 2018.
Maksudnya, secara purata penulis menulis sebanyak 5 artikel dalam sebulan. Bagi penulis, menulis satu artikel setiap minggu merupakan sasaran yang realistik dan mampu buat.
Jadi hari ni penulis nak kongsikan enam tip yang boleh membantu penulis pemula mencapai sasaran yang sama.
TL;DR — Tulis apa yang kita minat, menggunakan artikel-artikel lain di internet sebagai rujukan untuk dijadikan rangka penulisan. Tidak perlu panjang, tak perlu juga terlalu sempurna. Silap dan kurang perkara biasa, cuma perlu belajar dan perbaiki.
1. Mula Dengan Minat
Mempunyai minat dan hobi sangat membantu dalam mencari idea penulisan dan artikel. Tambah pula, kalau ada sesuatu yang kita nak cerita atau kongsikan dengan orang lain, mestilah sesuatu yang kita sendiri suka.
Tak kisahlah minat apa sekalipun, fotografi, makanan, travel, sukan, teknologi ataupun automotif, semuanya boleh dijadikan bahan untuk artikel. Artikel boleh berbentuk informasi, pendapat, pengalaman, ataupun tutorial.
2. Baca dan Selidik
Sekarang dah tahu apa yang kita minat dan nak kongsikan ke orang lain, kita perlu buat sedikit bacaan. Buat carian tentang topik yang kita hendak tulis, cuba semak dan baca 5 pautan paling utama.
Ambil sedikit inspirasi daripada artikel-artikel lain, cara penulisan, isi-isi penting, apa yang istimewa, apa yang kurang. Cara ni lebih baik daripada mula menulis tanpa sebarang rujukan.
3. Sediakan Rangka Penulisan
Sebelum kita mula menulis, kita perlu sediakan rangka penulisan. Pada asasnya, sudah mencukupi kalau kita ada
- Pendahuluan,
- Isi 1,
- isi 2,
- isi 3,
- Penutup.
Untuk isi, mungkin dua daripada tiga kita boleh cari dari artikal-artikel lain. Satu isi lagi kita boleh cuba fikir sendiri, lagipun artikel kita perlukan sentuhan idea daripada kita juga.
Untuk merangka isi dan membuat huraian, kita boleh gunakan soalan-soalan seperti "apa", "siapa", "mana", "kenapa", "bagaimana" dan "bila" — sangat membantu.
4. Keep it Short
Sebagai permulaan, ada baiknya menulis artikel yang pendek terlebih dahulu. Mula dengan artikel sepanjang 200 ke 300 patah perkataan, sedikit demi sedikit kita cuba capai 500 patah perkataan.
Kadang-kadang sebuah artikel tak perlu panjang pun, asalkan menarik. Ikut kesesuaian topik dan pembaca sasaran. Kalau sasaran kita kanak-kanak atau pelajar, tak bolehlah nak tulis panjang-panjang.
5. Ketepikan Kesempurnaan
Ramai yang berhenti kerana terlalu mengejar kesempurnaan. Apabila terlalu mengejar kesempurnaan kita akan rasa diri kita serba kekurangan, dan hilang keyakinan terhadap penulisan kita.
Tetapi, kalau kita terlalu risaukan tatabahasa yang berterabur, gambar yang kurang cantik, isi yang tak berapa padat, sampai bila pun kita tak akan boleh kongsikan apa yang kita tulis.
6. Perbaiki Kelemahan
Setiap artikel atau penulisan merupakan pengalaman yang diperlukan untuk memperbaiki kelemahan dan menambah baik penulisan kita. Tanpa melakukan kesilapan, kita takkan belajar apa-apa.
Bukan sahaja perlu belajar daripada kelemahan sendiri, kita juga boleh belajar daripada kelemahan orang lain dengan membaca artikel mereka.
Pendapatan Daripada Blog?
Betul, kita boleh jana pendapatan melalui blog. Tetapi ia datang dengan cabarannya yang tersendiri, dan boleh meletakkan tekanan tambahan kepada penulis kalau ia dijadikan tujuan utama menguruskan blog.
Dua kaedah yang sering digunakan untuk menjana pendapatan daripada blog adalah dengan meletakkan iklan atau melakukan affiliate marketing. Dua platform yang penulis gunakan ialah Adsense dan Involve Asia.
Perkara yang penting untuk jana pendapatan melalui blog ialah trafik, dan untuk dapatkan trafik yang tinggi kita perlukan artikel yang menarik, berkualiti dan konsisten. Tanpa minat yang mendalam, ini agak sukar.
Namun, ini tak bermakna kita perlu tunggu sehingga kita dapatkan 1000 pengunjung blog sehari. Kita dah boleh cuba membuka akaun Adsense untuk meletakkan iklan selepas menulis 10 artikel.
Proses membuka akaun Adsense memerlukan masa, dan beberapa prasyarat juga perlu dipatuhi seperti yang tertulis di sini dan sini. Kalau gagal boleh cuba lagi.
Perjalanan Menjadi Seorang Penulis
Menjadi seorang penulis adalah sebuah perjalanan, satu dua hari tak cukup untuk jadi seorang penulis yang baik dan berbakat. Walaupun selepas menulis 200 artikel, masih ada perkara yang perlu diperbaiki.
Jadi jangan malu, jangan segan melakukan kesilapan, banyak yang kita boleh belajar. Walaupun demikian, ini tak bermakna kita boleh ambil sambil lewa soal etika penulisan.
Pastikan apa yang kita tulis itu disemak kesahihannya dan bukannya hasil plagiarisme atau ciplak. Tak ada masalah mengambil idea atau isi daripada artikel lain, tetapi perlu diparafrasa atau diubah suai.
Post a Comment