Nasi Kandar Saddam Bandar Hillpark, Puncak Alam: Pastikan Kuah Campur
Walaupun nilai kalorinya tinggi, siapa boleh tolak nasi kandar yang betul-betul sedap? Kuah campurnya, ayam gorengnya, telur sotongnya, daging masak hitamnya, bagaikan candu bagi peminat nasi kandar.
Di Pulau Pinang memang senang nak jumpa nasi kandar yang sedap walaupun di restoran yang orang luar tak pernah dengar seperti di Nasi Kandar Beratur 786, tetapi kalau di Selangor kena berusaha lebih sikit.
Nasi Kandar Saddam
Walaupun bukan, atau mungkin jarang; dikategorikan sebagai 10 nasi kandar terbaik sekitar Kuala Lumpur, Nasi Kandar Saddam yang bermula di Segambut, KL mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Terbaharu, Nasi Kandar Saddam telah membuka satu lagi cawangan di Hillpark, Bandar Puncak Alam, besebelahan je dengan parkir Taman Tasik Hillpark. Jadi dah tak perlu ke KL.
Alamat: No 1, Jalan Mapel 7/1, Bandar Hillpark, 42300 Bandar Puncak Alam, Selangor.
Walaupun Hillpark terletak di Bandar Puncak Alam, ia sebenarnya bersebelahan dengan Eco World dan lebih hampir dengan bandar Saujana Utama.
Kuah Campur dan Ayam Goreng
Untuk penulis, setiap kali makan nasi kandar mesti penulis akan minta kuah campur dan berlaukkan ayam. Kadang-kadang ayam goreng, kadang-kadang ayam bawang, apa-apa lauk ayam yang istimewa mesti kena cuba.
Tetapi sewaktu penulis di Nasi Kandar Saddam cuma ada ayam goreng dan ayam madu, jadi penulis pesan dua nasi kandar, satu makan satu bungkus; berlaukkan ayam goreng.
Untuk makan, penulis minta kurangkan nasi dan tambah sayur kubis. Yang bungkus pula, nasi seperti biasa dan penulis minta tambah sayur bendi.
Kurang Nasi atau Nasi Kurang
Penulis minta kurangkan nasi dan kuah campur. Tetapi apa yang penulis dapat ialah nasi yang kurang daripada separuh dan kuah gulai kari. Mungkin sebab nasinya terlalu sikit jadi tak boleh letak banyak kuah.
Penulis biarkan je, ini peluang penulis untuk cuba apa bezanya antara nasi kandar dengan kuah kari semata-mata dan nasi kandar dengan kuah campur.
Kuah Campur All the Way
Selepas mencuba kedua-dua nasi kandar, kuah kari dan kuah campur; penulis boleh simpulkan yang nasi kandar memang sepatutnya dimakan dengan kuah campur. Kalau tidak, panggil je la nasi campur.
Cuma kalau tak suka manis, boleh minta supaya tak disekalikan kuah madu untuk kuah campur. Kadang-kadang tukang candi kuah tak tanya pun, jadi kita yang kena bagitahu.
Lauk Yang Lebih Ringkas
Dari apa yang penulis nampak, lauk di Nasi Kandar Saddam Hillpark agak ringkas. Pilihan yang ada tak terlalu banyak, tetapi cukup untuk sebuah hidangan nasi kandar.
Untuk nasi kandar, dah cukup kalau ada nasi, kuah campur, protein seperti ayam, daging atau sotong, sayur seperti kubis atau bendi, dan mungkin juga telur masin.
Tak Suka Kubis Tebal
Walaupun penulis selalu pesan nasi kandar dengan sayur kubis goreng kunyit, penulis tak berapa suka bahagian kubis yang tebal. Jadi penulis memang akan tinggal tepi.
Pastikan Kuah Campur
Selain daripada sebahagian kubis tebal dan kuah tak campur, penulis tak ada komen lain dah. Cuma harap tukang candi kuah akan campur kuah walaupun kurangkan nasi. Lagipun penulis bayar harga yang sama dengan nasi penuh.
Kedua-dua nasi kandar dengan kuah campur, ayam goreng, dan sayur berharga RM8 setiap satu seperti yang dituliskan di atas kertas. Harga masih berpatutan, rasa ayam goreng dan kuah campur pun sedap, memang penulis akan pergi lagi.
Post a Comment