Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD): Gejala, Penyebaran, Rawatan dan Pecegahannya
Photo by James Heilman, MD
Covid-19 membuatkan kita semua lebih peka tentang penyakit berjangkit dan kesihatan awam. Walaupun Covid-19 mula beralih ke fasa endemik, kita masih perlu peka tentang penyakit-penyakit berjangkit yang lain.
HFMD, hand foot mouth disease ataupun penyakit tangan, kaki dan mulut merupakan salah satu penyakit berjangkit yang kita perlu tahu cara penularan, gejala dan pencegahannya kerana ia sering melibatkan kanak-kanak.
Di penghujung April 2022, kes HFMD di Selangor khususnya merekodkan peningkatan melebihi paras amaran epidemik, di mana 95% daripada bilangan kes melibatkan kanak-kanak di taska, prasekolah dan pusat jagaan harian.
Penyebab HFMD atau Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut
Penyakit tangan, kaki dan mulut selalunya berlaku kepada kanak-kanak terutamanya yang berumur 10 tahun ke bawah, majoritinya disebabkan oleh virus kumpulan Enterovirus seperti Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).
Walaupun kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak, HFMD sebenarnya boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina.
Gejala atau Simptom HFMD
Penghidap HFMD akan mengalami demam selama 1 ke 2 hari sebelum mula menunjukkan gejala lain seperti ulcer pada mulut, ruam atau lepuh pada tapak tangan, celahan jari, dan kaki.
Ruam (rash) atau lepuh (blister) juga boleh terjadi pada bahagian siku, lutut, dan punggung khususnya di kawasan sekitar lampin untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.
Kebiasaannya, penghidap HFMD akan mengalami gejala yang ringan atau sederhana seperti demam dan ruam yang akan sembuh dalam 7 ke 10 hari. Namun, untuk HFMD yang disebabkan oleh virus EV71, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk seperti:
- Dehidrasi.
- Sawan.
- Ketegangan pada leher.
- Jangkitan pada otak (encephalitis).
- Paru-paru berair (pulmonary edema).
- Bengkak jantung (myocarditis).
Bagaimana HFMD Merebak?
HFMD boleh ditularkan secara kontak dengan air liur, cecair dari lepuh, dan najis. Kiranya HFMD boleh merebak melalui batuk dan bersin, pergaulan yang melibatkan sentuhan, dan perkongsian peralatan atau permainan.
Walaupun hanya dengan menyentuh sebarang permukaan yang disentuh oleh penghidap HFMD, jangkitan boleh dan mudah berlaku. Penghidap boleh menjangkiti orang lain selagi ruam atau lepuhnya belum kering.
Tindakan Sekiranya Menghidap HFMD
Ibu bapa khususnya perlu peka dengan keadaan anak yang menghidap HFMD. Pemantauan perlu dilakukan sentiasa untuk melihat perubahan pada gejala, sikap, dan selera makan.
Kanak-kanak perlu dibawa ke klinik sebaik sahaja gejala ruam atau lepuh mula kelihatan untuk diperiksa, dan mendapatkan nasihat dan rawatan yang sewajarnya.
Untuk penghidap bergejala ringan atau sederhana seperti demam dan ruam, mereka akan diberikan rawatan sokongan untuk melegakan gejala seperti ubat demam (paracetamol), ubat ulcer, dan air yang mencukupi.
Untuk penghidap dengan komplikasi yang lebih berat seperti yang disenaraikan di atas tadi, boleh segera dibawa ke hospital untuk rawatan yang lebih rapi.
Langkah Pencegahan HFMD
Disebabkan oleh sifat HFMD yang mudah merebak, pesakit haruslah dikuarantin atau diasingkan walaupun bergejala ringan. Elakkan daripada menghantar anak-anak yang bergejala ke taska, prasekolah, pusat jagaan harian dan sekolah.
Elakkan juga daripada membawa penghidap HFMD ke tempat-tempat lain seperti taman permainan, pusat membeli-belah, dan majlis keramaian. Sikap ambil mudah ibu-bapa boleh merisikokan kesihatan kanak-kanak yang lain.
Sama seperti ketika pandemik Covid-19, kanak-kanak khususnya perlu diajar untuk kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun ataupun gunakan pembersih tangan atau hand sanitizer.
Sekiranya menguruskan penghidap HFMD di rumah, pembasmian kuman menggunakan bahan berasaskan chlorine seperti clorox untuk membasuh pakaian, peralatan dan tandas amatlah digalakkan.
Laporkan ke Pejabat Kesihatan
Sekiranya kes berlaku di taska, prasekolah, pusat jagaan harian ataupun sekolah, kes perlu dilaporkan ke pejabat kesihatan daerah berdekatan. Kes dikira sebagai wabak jika berlaku dua atau lebih kes di tempat yang sama.
Siasatan akan dilakukan, dan sekiranya perlu premis akan ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Semak Bilangan Kes Penyakit Berjangkit Dengan MySejahtera
Sejak awal mei 2022, MySejahtera telah memperkenalkan satu fungsi baharu menggantikan HotspotTracker yang membolehkan pengguna untuk menyemak bilangan kes penyakit berjangkit di sekitar pengguna.
Boleh akses fungsi Infectious Disease Tracker untuk semak bilangan kes penyakit seperti denggi, anjing gila, demam campak, tuberculosis, dan HFMD.
Ia akan menunjukkan bilangan kes HFMD di sekitar 5 km radius dari tempat yang kita pilih. Sekiranya kes tinggi, elakkan membawa kanak-kanak ke tempat yang menggalakan perkongsian barang seperti taman permainan.
Perkongsian barang seperti troli di pasaraya juga menyumbang kepada penyebaran penyakit berjangkit seperti HFMD.
Tanggungjawab Bersama Mencegah HFMD
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab dalam mengekang penularan HFMD. Walaupun kebanyakan kes HFMD di Malaysia hanya melibatkan gejala ringan, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Selepas 2 tahun berperang dengan Covid-19, kita sepatutnya lebih tahu dan sudah terlatih untuk mencegah penularan atau penyebaran penyakit berjangkit. Sayang sekali kalau kita tak belajar apa pun selama ni.
Post a Comment