Taman Botani Negara Shah Alam: Berbasikal, Flying Fox, dan Banyak Lagi Aktiviti Lain

Paddle boat atas tasik di Taman Botani Shah Alam
Bagi yang bekerja, hujung minggulah masanya nak berehat dan bersantai-santai. Tapi, ada juga yang suka luangkan masa hujung minggu dengan aktiviti luar seperti berbasikal, jogging, dan sebagainya.

Macam penulis, kalau ada peluang memang suka berjalan di taman-taman dan tasik-tasik. Kadang-kadang rasa lemas telalu lama berada dalam rumah, nak juga tengok keadaan di luar.

Taman Botani Negara Shah Alam

Taman Botani Shah Alam
Contohnya seperti Taman Botani Negara Shah Alam, memang sesuai dijadikan tempat untuk kita tenangkan fikiran. Ada beberapa aktiviti, secara individu atau bersama keluarga; yang kita boleh buat di sini.

Dengan keluasan 817 hektar, mestilah Taman Botani Negara Shah Alam mempunyai tarikannya yang tersendiri. Dibangunkan pada tahun 1986 dengan nama Taman Pertanian Bukit Cherakah, di sini ada lebih kurang 422 spesies flora.

Peta Taman Botani Negara Shah Alam
Ada dua laluan, A dan B; yang akan bawa kita ke dua kawasan yang berbeza (rujuk gambar atas). Jom penulis kongsikan beberapa aktiviti yang kita boleh buat di sini.

Harga Tiket Taman Botani Negara Shah Alam

Penumpang bas atau trem TBNSA
Sebelum tu, penulis kongsikan dulu harga tiket masuk ke sini. Untuk dewasa ialah RM3.00, kanak-kanak dan warga emas pula RM1.00, manakala untuk kanak-kanak bawah 6 tahun dan OKU kemasukan adalah percuma.

Murah kan? Hasil daripada caj tiket akan digunakan untuk usaha konservasi taman ni, jadi tak bolehlah nak harapkan masuk secara percuma.

Flying Fox

Stesen flying fox TBNSA
Dengan harga serendah RM15, kita boleh dapatkan pengalaman menaiki flying fox merentasi sebuah tasik di Taman Botani Negara Shah Alam. Kanak-kanak pun boleh naik tau.

Penulis tak tahu berapa ketinggian sebenar flying fox, dari mata kasar nampak macam tinggi juga. Sesiapa yang takut pada ketinggian tu, boleh tengok jelah daripada bawah.

Paddle Boat dan Kayak

Paddle boat di TBNSA
Berhadapan dengan stesen flying fox ada paddle boat yang kita boleh kayuh sepanjang tasik. Boleh naik sampai 4 orang, 2 di depan dan 2 lagi di belakang; tapi cuma dua orang yang di depan je boleh kayuh.

Berat juga sebenarnya nak kayuh dan kemudi paddle boat ni, macam bersenam dah gayanya lebih-lebih lagi kalau cuma seorang je yang kayuh. Jadi pastikan kayuh berdua.

Penulis dah lupa berapa harga sewa paddle boat. Tetapi, kalau nak lebih seronok lagi boleh sewa kayak dengan harga RM15 sejam untuk dua orang.

Berbasikal

Basikal di TBNSA
Di Taman Botani Negara Shah Alam juga ada dua tempat yang menyewakan basikal, dan harga sewa bergantung pada jenis basikal. Basikal MTB yang penulis sewa cuma RM15 sejam pertama, dan RM1 untuk setiap jam tambahan.

Seronok juga berbasikal di sini, boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih bebas dan cepat berbanding menggunakan bas. Dalam masa yang sama boleh bersenam juga.

Pastikan basikal yang kita sewa berfungsi dengan elok, dekat dua kali jugalah penulis minta tukar basikal sebab ada masalah pada gear dan handle. Pastikan juga tayar ada angin.

Bas percuma di TBNSA
Cuma kena ingat yang jalan di sini berbukit, agak penat jugalah berbasikal di sini. Penulis tak buat satu pusingan pun, cuma kayuh sampai ke Kampung Idaman dan patah balik. Kalau nak santai-santai, naik je bas shuttle percuma yang disediakan.

Kalau tak silap penulis, boleh juga bawa basikal sendiri. Cuma tak pasti dikenakan bayaran atau tak.

Taman Haiwan

Taman Haiwan di TBNSA
Kanak-kanak sangat sukakan tempat ni, sebab ada haiwan seperti itik, ayam, arnab, rusa, kerbau, dan juga kuda. Kuda yang penulis tengok agak garang, takut pula nak pergi lebih dekat.

Berhampiran Taman Haiwan ini juga ada aktiviti lain seperti wall climbing, memanah, dan flying fox serta kayak seperti yang penulis kongsikan tadi. Ke dalam sedikit ada kolam renang yang masih belum beroperasi sewaktu penulis ke sini.

Fly Fishing di Empangan Air Kuning

Empangan Air Kuning
Jarak Empangan Air Kuning dari taman haiwan lebih kurang 1km, dan hanya umpan tiruan dibenarkan untuk aktiviti memancing, atau lebih tepat lagi fly fishing; di sini.

Walaupun namanya air kuning, air di empangan ni sebenarnya bewarna kehijauan. Ada pelbagai jenis ikan air tawar boleh dipancing di sini, antaranya tilapia, baung, patin, keli, dan toman.

Cumanya, ikan-ikan yang ditangkap perlu dilepaskan semula ke dalam air (catch & release). Bayaran yang dikenakan untuk dewasa ialah RM30 satu rod, untuk kanak-kanak bawah 12 tahun pula RM15.

Rumah Iklim Sederhana Empat Musim

Pernah menjadi sebuah tarikan utama di Taman Botani Negara Shah Alam, tetapi dah ditutup sejak berlakunya ribut pada tahun 2019 dengan alasan penyelenggaraan. Penulis tak berkesempatan lagi melawat tempat ni.

Kampung Idaman

Rumah Terengganu di Kampung Idaman TBNSA
Di sinilah terletaknya rumah-rumah dengan senibina tradisional mewakili beberapa negeri yang ada di Malaysia seperti Rumah Terengganu dan Rumah Melaka. Kita boleh lihat perbezaan senibina antara setiap negeri.

Lebih menarik lagi, rumah-rumah di Kampung Idaman sebenarnya pernah disewakan pada harga RM120 atau RM150 sehari. Sekarang ni penulis tak pasti sama ada kita masih boleh sewa atau tak.

Banyak Lagi

Tangga ke stesen Flying Fox di TBNSA
Ada banyak lagi yang kita boleh buat di Taman Botani Negara Shah Alam. Ada taman kaktus, ladang buah-buahan, laman rempah ratus, dan laman herba. Sebelum ni ada Skytrex Adventure Park tapi rasanya dah tutup.

Cuma malangnya, kebanyakan tarikan tak diurus dan diselenggara dengan baik, atas faktor-faktor yang mereka sendiri tahu, selalunya kewanganlah. Jadi akan ada aktiviti atau tarikan yang tak beroperasi.

Kuda di Taman Haiwan TBNSA
Penulis harap penambahbaikan dan penyelenggaran akan dilakukan supaya Taman Botani Negara Shah Alam boleh menambat hati lebih ramai lagi pengunjung untuk datang beriadah di sini.


Waktu operasi Taman Botani Negara Shah Alam adalah pada setiap hari kecuali Isnin bermula pada 7:30 pagi sehingga 4:30 petang. Boleh ke laman facebook Taman Botani Negara Shah Alam untuk info yang terkini.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top