Ichiban Ramen: Signature Ichiban Ramen dan Mayo-Teriyaki Karaage Don

Ramen di Ichiban Ramen
Ramen, sama seperti ramyeon; berasal daripada perkataan Mandarin lamian yang bermaksud mi tarik. Ramen juga merupakan antara makanan Jepun yang paling dikenali dunia selain sushi.

Selalunya kita cuma makan ramen segera seperti Maggi, sekali-sekala teringin juga nak makan ramen segar di restoran makanan Jepun. Sebelum ni penulis pernah makan ramen di Sukiya, kali ni penulis cuba di restoran lain pula.

Ichiban Ramen

Menu Ichiban Ramen
Ichiban bermakna "number one" atau dalam bahasa melayunya nombor satu, yang pertama, atau terbaik. Kiranya Ichiban Ramen bermakna ramen yang terbaik, betul atau tak terbaik kita kena cuba dulu.

Ada lebih kurang 12 pilihan ramen di Ichiban Ramen antaranya Chicken Chashu Ramen, Seafood Ramen, Kimuchii Ramen, Sapporo Miso Ramen, Spicy Chicken Ramen, dan Nagasaki Ramen.

Ada juga makanan lain seperti donburi, udon, dan soba.

Status Halal Ichiban Ramen

Menurut pihak Ichiban Ramen, Ichiban Ramen ialah restoran yang mesra muslim, dan bahan dan protein yang digunakan adalah halal. Tidak ada sebarang alkohol atau bahan berasaskan khinzir digunakan.

Ichiban Ramen juga masih dalam proses mendapatkan sijil halal daripada JAKIM untuk setiap cawangan restoran mereka. Hasil carian di portal halal Malaysia menggunakan perkataan "Zensho" dan "Ichiban" menunjukkan mereka masih belum memperoleh sijil halal daripada JAKIM sehingga Jun 2022.

Kemaskini: Carian terbaru penulis pada 21 Jun 2022 menggunakan perkataan yang sama, "Zensho" dan "Ichiban"; menunjukkan rekod halal bagi syarikat "ZENSHO ICHIBAN MALAYSIA SDN BHD" dengan sijil halal yang bertarikh luput 31/05/2024.

Ichiban/Chicken Chashu Ramen

Ichiban Ramen Medium
Walaupun asalnya chashu menggunakan perut khinzir, di Ichiban Ramen mereka menggunakan daging ayam. Ichiban Ramen juga merupakan nama menu ramen yang paling asas ada di sini.

Beza antara Ichiban Ramen dan Chicken Chashu Ramen hanyalah pada bilangan chashu ayam yang ada pada ramen. Jadi kalau nakkan lebih chashu ayam boleh pesan Chicken Chashu Ramen.

Penulis sukakan mi-nya yang kenyal, dan supnya yang agak "rich". Bukanlah likat, tapi supnya kaya dengan rasa. Boleh lihat dari warna krim pada supnya, tak jernih macam sup yang kita biasa makan.

Ada sedikit rasa seakan-akan miso, sedikit rasa lada, dan sedikit rasa stok ayam. Tambah pula dimakan dengan daun bawang, wakame dan fungus hitam, sedapnya jauh meninggalkan mi segera.

Matcha Latte di atas meja
Di atas meja ada sediakan kicap masin, serbuk togarashi, dan lada putih untuk kita tambahkan pada ramen mengikut cita rasa masing-masing. Hati-hati kalau nak tambah kicap, sebab kicapnya memang betul-betul masin.

Cuma bagi penulis perlu diperbaiki lagi cara memasak ajitama, atau telur ramen walaupun apa yang penulis dapat masih boleh diterima. Telur kuning pada ajitama sepatutnya separuh masak, masih basah, dan tak kering.

Harga semangkuk Ichiban Ramen ialah RM14.90 untuk saiz sederhana. Kita juga boleh tambah topping seperti telur dan chashu ayam, ataupun add-on seperti gyoza dan buah tembikai.

Mayo-Teriyaki Karaage Don

Mayo-Teriyaki Karaage Don di Ichiban Ramen
Rasa tak kena pula kalau datang hanya untuk makan ramen sedangkan Ichiban Ramen juga menjual makanan lain seperti donburi. Jadi penulis pun pesanlah Mayo-Teriyaki Karaage Don.

Penulis dah biasa makan donburi di Sushi King, jadi bukanlah sesuatu yang baru bagi penulis. Tetapi ayam gorengnya, atau karaage; sangat rangup, dan nasinya pula dimasak dengan elok.

Cuma penulis harap dilebihkan sikit sos teriyaki dan mayo, lepas ni kena masukkan sebagai permintaan sewaktu melakukan pesanan menggunakan telefon. Harga semangkuk Mayo-Teriyaki Karaage Don ialah RM17.90

Matcha Latte

Matcha Latte di Ichiban Ramen
Ada banyak juga pilihan minuman di Ichiban Ramen, tetapi Matcha Latte juga menjadi pilihan hati sesuai dengan tema makanan Jepun. Matcha Latte yang penulis pesan adalah tanpa gula.

Boleh buat permintaan ketika membuat pesanan dari telefon, tulis je tanpa gula atau "no sugar". Rasa Matcha Latte seperti biasalah, rasa teh hijaunya je sebab tak ada gula.

Kalau rasa bingung tak tahu nak pesan air apa, boleh pesan matcha latte yang berharga cuma RM9.90. Tidak pun, pesan je ais kosong dengan harga RM1 secawan.

Gyoza

Gyoza di Ichiban Ramen
Untuk add-on kepada ramen tadi penulis pesan gyoza dan tembikai. Tembikainya dipotong nipis dan rangup, gyozanya pula dikukus bukannya digoreng — cuma bahagian bawah gyoza je digoreng.

Rasa halia pada gyoza sangat menonjol walaupun selepas dicecah dengan kicap, halianya lebih menonjol berbanding gyoza sejuk beku jenama figo yang penulis biasa masak dirumah.

Lebih Daripada 18 Cawangan

Ada lebih daripada 18 cawangan Ichiban Ramen di Malaysia, semuanya di semenanjung. Cawangan yang penulis pergi ialah cawangan terbaru di Setia City Mall yang terletak berhadapan dengan Sukiya.

Kalau ikutkan review di Google, ramai yang kata rasa ramennya biasa-biasa, dan ratingnya pun agak rendah. Penulis tak boleh nak bersetuju atau tak sebab penulis cuma pernah makan ramen di Sukiya dan Ichiban Ramen.

Mungkin penulis akan ke Seirock-ya atau Maruki Ramen pula selepas ni untuk cuba ramen di sana dan lakukan perbandingan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top