Burger King: Kakiage Burger, Tri-Colour Fries dan Mozzarella Sticks
Penulis memang suka burger Hokkaido Salmon Mentaiko yang Burger King keluarkan sebelum ni. Sekarang, bertemakan makanan Jepun juga; Burger King Keluarkan pula burger Kakiage.
Kakiage ialah sejenis "agemono", lebih tepat lagi "tempura"; atau makanan "deep fried" Jepun yang digoreng bersama adunan tempura. Adunan tempura akan dicampurkan dengan pelbagai bahan seperti sayuran dan makanan laut sebelum digoreng.
Di Malaysia, makanan yang paling hampir dengan kakiage ialah cucur udang. Cuma untuk burger Kakiage, bahan yang digunakan hanyalah campuran sayuran antaranya seperti lobak dan lettuce.
Burger King: Kakiage Burger
Keistimewaan burger Kakiage ada pada sos yang digunakan. Mereka gunakan "honey soy sauce" atau sos kicap bersama madu. Mungkin perasaan penulis, mayonis yang digunakan juga rasa sedikit berbeza.
Ada pilihan antara patty daging dan ayam. Walaupun penulis rasa kakiage lebih sesuai dimakan dengan patty ayam sebab kedua-duanya digoreng, penulis lebih sukakan patty daging jadi penulis pesan daging.
Kombinasi sos, mayonis dan kakiage memang sedap. Lebih baik kalau makan sebelum sejuk untuk dapatkan rasa rangup kakiage, kalau bungkus mungkin kakiagenya dah lemau.
Kombinasi sos berasaskan kicap dan mayonis agak biasa dalam makanan jepun seperti takoyaki dan okonomiyaki. Jadi, rasa burger Kakiage ada sedikit persamaan dengan kedua-dua makanan tadi.
Memang berlemak rasanya kalau makan di bahagian yang banyak sos dan mayo, mungkin juga akan rasa sedikit muak.
Burger King: Mozzarella Sticks
Disamping burger Kakiage, penulis cuba juga Mozzarella Sticks. Iklannya tak tipu, memang boleh tarik sedepa kejunya. Luarnya rangup, kejunya pula sedap dan tak terlalu masin.
Yang ni memang kena makan secepat yang mungkin. Kalau dah sejuk memang kena goreng semula, cuma penulis tak jamin kejunya masih boleh ditarik. Kalau panaskan dengan "microwave" pula, luarnya tak rangup.
Burger King: Tri-Colour Fries
Penulis belum pernah cuba kentang goreng tiga warna, atau Tri-Colour Fries di Burger King walaupun menu ni dah pernah ada sebelum ni. Warnanya berbeza sebab menggunakan tiga jenis keledek yang berbeza.
Kebiasaannya kentang goreng atau "fries" menggunakan ubi kentang, tetapi Tri-Colour Fries gunakan "sweet potato" atau keledek. Keledek biasa yang berwarna oren ada, keledek ungu seperti yang dijual di Cameron Highlands pun ada.
Penulis tak pasti satu lagi warna dari keledek jenis apa. Yang pasti, rasa Tri-Colour Fries manis dan sedap walaupun dah sejuk, penulis paling suka yang berwarna ungu.
Tempoh Promosi Terhad
Burger Kakiage dan Tri-Colour Fries takkan ada lama di menu, jadi bolehlah cuba secepat yang mungkin. Lain kali, kalau berkesempatan penulis nak cuba patty ayam pula.
Agak-agak boleh ke tandingi burger Hokkaido Salmon Mentaiko?
Post a Comment