Pameran MAHA 2022 Bakal Berlangsung Pada 4 - 14 Ogos, Menjangkakan Kunjungan 1.1 Juta Pengunjung

MAHA 2022
Pameran Pertanian, Holtikultur dan Pelancongan Agro Malaysia, MAHA kembali lagi selepas banyak tahun ditunda akibat pandemik Covid-19, kali terakhir pameran MAHA diadakan adalah pada tahun 2018.

Program dwitahunan ini akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos 2022. Kali ini dengan tema "Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan", sesuai dengan krisis harga makanan sekarang.

Menjangkakan 1.1 Juta Pengunjung

Bertempat di MAEPS Serdang, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, MAFI menjangkakan kunjungan seramai 100,000 orang pengunjung sehari, atau 1.1 juta selama pameran diadakan; dengan hasil jualan melebihi RM250 juta.

Jika dibandingkan dengan MAHA 2016, bilangan pengunjung adalah seramai 3.7 juta dengan hasil jualan sebanyak RM380 juta. MAHA 2018 pula merekodkan seramai 3.3 juta pengunjung dengan hasil jualan sebanyak RM215 juta — penurunan berbanding 2016.

Pada pendapat penulis, jangkaan 1.1 juta agak rendah lebih-lebih lagi apabila MAHA 2022 merupakan antara acara atau pameran yang ditunggu-tunggu ramai sejak beberapa tahun yang lalu.

Pameran Fizikal dan Virtual

Pameran MAHA 2022 yang diadakan secara hibrid menyediakan ruang pameran secara fizikal dan virtual. MAHA juga menyediakan sebanyak 1500 ruang pameran kepada pempamer yang berminat.

Pameran melingkungi, tetapi tidak terhad kepada; produk-produk berkaitan pertanian, kejuruteraan, makanan sejuk beku, tenusu, dan kesihatan.

Tarikan Selain Pameran

Selain daripada pameran produk, jualan, dan makanan di kawasan dewan, di MAHA juga, khususnya sekitar kawasan MAEPS ada banyak lagi laman-laman yang menarik. Contohnya seperti laman padi, laman nenas, laman kelulut, laman bunga, dan laman ternakan.

Kali terakhir penulis ke MAHA, ada akuarium ikan dan pameran lembu sado. Di Pavilion Negeri bersebelahan tasik pula ada pameran kraftangan dan makanan dari setiap negeri, memang meriah.

Trem Percuma

Pihak MAHA juga menyediakan Trem Secara percuma untuk kita bergerak dari satu zon ke satu zon yang lain. Sangat berguna untuk mereka yang berumur atau mempunyai masalah sendi.

Laluan trem ada pelbagai, boleh semak laluan trem nanti. Pada MAHA 2018, ada lima laluan trem, salah satunya laluan ekspres yang cuma akan berhenti di Laman Tiba 1 dan Laman Tiba 2.

Pintu 1 dan Pintu 2

Laluan masuk ke MAEPS Serdang ada dua, melalui Pintu 1 atau 2. Pintu 1 berada berdekatan dengan kawasan dewan pameran, Pintu 2 pula berhampiran dengan laman-laman penulis sebutkan tadi.

Dari pengalaman penulis, ruang parkir berhampiran Pintu 1 lebih luas. Jarak antara Laman Tiba 1 dan Laman Tiba 2 juga lebih kurang 2.2km, jadi kalau nak ke dewan pameran dari parkir Pintu 2 agak jauh dan perlu naik trem.

Kalau larat, boleh berjalan di MAHA bermula dari satu Laman Tiba, ke Laman Tiba yang satu lagi, kemudian ambil trem untuk balik ke tapak parkir.

Shuttle Dari MAEPS ke KTM Serdang

Penulis tak pasti sama ada perkhidmatan shuttle percuma antara MAEPS dan KTM Serdang akan beroperasi sepanjang MAHA 2022. Ketika MAHA 2018, ada perkhidmatan shuttle, jadi agak mudah untuk ke MAHA menaiki pengangkutan awam.

Jom ke MAHA 2022

Mesti ramai yang tak sabar nak ke MAHA 2022 untuk cuci mata tengok anak pokok dan pokok bunga. Kanak-kanak pula mesti tak sabar nak tengok haiwan dan bermain dengan arnab.


Penulis pula, tak sabar nak tengok produk-produk baharu yang ada di pasaran, terutamanya dari syarikat SME. Setiap kali ke MAHA, mesti akan ada produk yang kita tak pernah tengok di pasaran.

MAHA 2022 akan diadakan pada 4 sehingga 14 Ogos 2022 bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang MAHA.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top