Kuetiau Sup Bersama Ayam Pencen di Gerai Sup Ketapang, Gelugor, Pulau Pinang

Minyak bawang putih pada kuetiau sup di gerai Sup Ketapang, Gelugor
Kalau dibandingkan dengan mi, bihun, dan laksa, penulis jauh lebih sukakan kuetiau. Tak tahulah kenapa, mungkin juga sebab penulis selalu dibawa ke sebuah gerai kuetiau sup yang sedap di Pulau Pinang.

Dengar cerita, gerai yang penulis selalu pergi waktu kecil setiap kali pulang ke kampung dah mula menjual kuetiau sup pada tahun 1980. Penulis pula lahir pada tahun 1993. Kedai kopi cina sebelahnya pun lama juga.

Sup Ketapang D' Gelugor

Penulis tak pernah tahu apa nama gerainya sebelum ni, baru-baru ni je penulis dapat tahu yang namanya Sup Ketapang D'Gelugor. Selama ni penulis cuma panggil sebagai kuetiau sup bawah jambatan.

Berbeza dengan kuetiau sup yang kita biasa makan, gerai sup ketapang sediakan kuetiau th'ng (disebut theng) yang selalunya menggunakan bahan seperti sengkuang, halia, bawang putih, lada, gula batu, dan pati ayam.

Warna sup pada kuetiau theng lebih jernih, lebih kurang macam sup bebola ikan ataupun sup yang kita makan dengan mi wantan. Yang buatkan rasanya berbeza dengan sup gaya utara ialah bawang putih dan halia.

Menggunakan Ayam Pencen

Kuetiau sup special dihiasi potongan cili dan daun bawang
Dari apa yang penulis tahu sebelum ni, ayam yang digunakan gerai Sup Ketapang untuk menu kuetiau sup mereka ialah ayam pencen atau ayam tua. Telur ayam pencen pun ada jual.

Isi ayam pencen, sama seperti ayam kampung; sedikit liat, tetapi lebih manis walaupun harganya lebih murah berbanding ayam pedaging.

Biasa atau Special?

Disebabkan penulis cuma pernah makan kuetiau sup special di gerai Sup Ketapang, penulis tak pasti apa yang ada pada kuetiau sup biasa. Mungkin bezanya ada pada kuantiti bahan dan saiz ayam.

Untuk kuetiau sup special, kita akan dapat bebola ikan, kek ikan, dan seketul ayam yang dipotong suku — selalunya akan dapat bahagian paha. Hidangannya juga dihias dengan taugeh, potongan cili dan daun bawang.

Rasa Yang Manis

Kuetiau sup special di gerai Sup Ketapang, Gelugor
Rasa supnya lebih manis berbanding sup gaya utara, dan rasa bawang putihnya sangat menonjol. Walaupun ada potongan cili, rasa supnya tak pedas. Kalau nak lebih pedas, boleh gunakan sambal yang disediakan.

Penulis memang sukakan minyak bawang putih yang digunakan, itulah keunikan pada kuetiau sup ala cina ni. Kalaulah minyak bawang putih tu disediakan atas meja, memang penulis akan tambah lagi.

Pilihan Mi dan Bihun

Tak suka kuetiau, tapi masih nak cuba sup ala cina? Boleh je pesan sup dengan mi atau bihun. Nak sup sahaja tanpa ayam pun boleh. Nak tambah kaki ayam, atau spare part ayam pencen pun boleh.

Penulis tak tahulah apa sebenarnya spare part tu, mungkin telur ayam pencen campur bahagian-bahagian lain seperti pedal dan leher — mungkin juga telur ayam pencen je.

Harga di Sup Ketapang D'Gelugor

Menu Gerai Sup Ketapang Gelugor
Walaupun ayam pencen lebih murah, proses memasaknya sangat renyah dan memakan masa yang lama untuk pastikan ayamnya cukup lembut untuk dimakan. Memang sesuailah dengan harganya, walaupun mungkin akan ada yang rasa sedikit mahal.

Boleh tengok harga menu di bawah:

Menu Harga
Kuetiau/Mi/Bihun Sup Biasa 6.00
Kuetiau/Mi/Bihun Special 10.00
Sup Ayam 6.00
Kaki Ayam 2.00
Spare Part 3.00
Kuetiau/Mi/Bihun Biasa Tanpa Ayam 4.00
Kuetiau/Mi/Bihun Special Tanpa Ayam 6.00
Tambah Kuetiau/Mi/Bihun 1.00
Tambah Ayam 4.00

Singgah dan Pesan Special

Sesiapa yang datang ke Pulau Pinang, jangan lupa singgah untuk rasa kuetiau sup atau kuetiau th'ng di gerai Sup Ketapang D'Gelugor. Tak jauh dari USM, bersebelahan je dengan Maybank Gelugor.


Kalau singgah, pesan je special mesti puas hati. Kalau datang lambat akan habis, lagipun gerai Sup Ketapang cuma dibuka pada waktu pagi bermula pukul 7 sehingga 11 pagi.

Warna jernih supnya nampak lebih kurang sama dengan kuetiau sup Tengkera, tetapi rasanya sangat berbeza. Jadi walaupun dah cuba kuetiau sup Tengkera, kena juga cuba kuetiau theng di gerai Sup Ketapang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top