Nasi Putih Ayam Lemon di Restoran Mama Nor, Tampin

Nasi ayam lemon
Bermain di Taman Tema Air A'Famosa sangatlah meletihkan, dan dalam masa yang sama membuatkan penulis berasa lapar. Walaupun ada banyak makanan dijual di taman tema, harganya agak mahal.

Jadi penulis pun, sama seperti ramai yang lain; memilih untuk makan selepas keluar dari taman tema. Makan di taman tema cukuplah sekadar mengalas perut, bukan untuk kepuasasn.

Pekan Tampin
Walaupun A'Famosa terletak di daerah Alor Gajah, pekan atau bandar yang lebih dekat ialah Tampin di Negeri Sembilan — dalam 8 kilometer. Di Tampin ada banyak kemudahan seperti bank, pasaraya, dan restoran.

Restoran Mama Nor, Tampin

Kaunter Restoran Mama Nor Tampin
Untuk makan malam, penulis ke restoran Mama Nor di Tampin Square, hanya 800 meter dari pasaraya Mydin. Kepakaran mereka sebenarnya Yong Tau Fu dan Ikan Bakar,tetapi penulis ke sini untuk cuba makanan lain.

Penulis tertarik dengan menu nasi putih bersama ayam lemon, sebab menu ni jarang ada di restoran. Setiap kali penulis ke restoran Sri Pinang atau Mohd Chan, wajib pesan ayam lemon.

Nasi Ayam Lemon

Nasi putih ayam lemon
Dalam sepinggan nasi ayam lemon ada semangkuk nasi putih, sebiji telur, ayam lemon yang dimasak bersama bawang, dan daun bawang bersama sehiris lemon sebagai perhiasaan.

Rasanya agak tawar dan rasa lemonnya tak begitu kuat, mungkin perlukan lebih banyak lemon dan gula, atau madu; lagi. Rasa sos lemon perlu lebih manis dan lebih berasid.

Kalaulah ada nasi ayam, mesti lagi sedap. Rasa pada nasi ayam boleh menaikkan lagi rasa sos lemon disebabkan oleh rasa manis daripada nasi ayam.

Ayam digoreng dengan elok dan rangup. Bagi penulis, nasi ayam lemon disini masih sedap walaupun kurang manis, lagipun ada orang yang tak suka manis atau kawal pengambilan gula.

Nasi Goreng Chicken Chop

Nasi goreng chicken chop
Walaupun penulis sangat sukakan ayam lemon, penulis terpaksa mengaku; nasi goreng chicken chop di restoran Mama Nor adalah lebih sedap. Nasi gorengnya cukup dengan rasa.

Chicken chopnya pun tebal, rangup, berjus, dan sedap, restoran Mama Nor memang pandai goreng ayam agaknya. Disampingnya pula ada sebiji telur bersama kacang panggang, coleslaw, dan sos lada hitam.

Menu-menu Lain

Otak-otak Gelang Patah
Di Mama Nor juga ada otak-otak dan pepes ayam. Pepes ayam di sini berbeza dengan pepes ayam sejuk beku berjenama Mamart yang penulis makan selama ni. Sos keju untuk dimakan bersama pepes pun dijual.

Boleh juga cuba sotong kangkung dan sengkuang calit, kedua-duanya sedap — sotongnya banyak, sengkuangnya pula rasa segar. Kuetiau Goreng Kerang pun sedap juga.

Harga Makanan di Mama Nor

Fresh orange Mama Nor
Terus terang, taklah murah seperti di warung, harganya lebih ke arah kafe. Tetapi, bilangan pekerjanya ramai, dan servisnya juga baik dan cepat. Boleh datang dan nilai sendiri.

Menu Harga
Nasi Putih Ayam Lemon 10.00
N. Goreng Chicken Chop 18.90
Kuetiau Goreng Kerang 9.00
Sengkuang Calit 5.00
Sotong Kangkung 10.00
Otak-otak 1.20
Fresh Orange
Epal
5.00
Teh Ais 3.00

Jauh lebih murah berbanding di taman tema, air kosong pula disediakan percuma secara layan diri.

Luas dan Selesa

Restoran Mama Nor Tampin
Restoran Mama Nor mempunyai ruang makan luar, berbumbung dan tak berbumbung; yang luas dan selesa. Kalau nak lebih cerah boleh ke ruang makan berbumbung. Parkir pun ada banyak di sini.

Daripada kesemua yang penulis makan tadi, penulis syorkan korang cuba chicken chop, kuetiau goreng kerang, dan sengkuang calit. Sotong kangkung pun sedap juga, cuma kuah rojak pada sengkuang calit lebih sedap.


Kalau datang ke Tampin atau A'Famosa resort, jangan lupa singgah di Restoran Mama Nor. Dibuka setiap hari bermula 4 petang sehingga 12 tengah malam. Kalau ada rezeki lagi ke sini penulis nak cuba Yong Tau Foo.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top