Nasi Lemak di Restoran AA, Taman Paroi Jaya, Seremban
Kali terakhir ke Melaka penulis bersarapan di restoran Selera Nogori di Seremban. Kali ni, penulis bersarapan di Seremban juga cuma di restoran lain yang juga menyediakan nasi lemak.
Sarapan kali ni bukanlah dirancang. Dalam perjalanan memintas ke Lebuhraya LEKAS dari PLUS yang sesak disebabkan kemalangan treler, penulis singgah di sebuah restoran di Taman Paroi Jaya.
Memandangkan penulis dalam perjalanan ke A'Famosa Water Park. Jadi ada baiknya makan dulu, supaya kurang lapar di taman tema nanti. Makanan di taman tema, seperti yang kita semua tahu; agak mahal.
Restoran AA Taman Paroi Jaya
Penulis singgah di Restoran AA sebab itu restoran pertama yang buka dan nampak menarik pada waktu tu, selain daripada sebuah lagi restoran mamak. Walaupun tak sebanyak Selera Nogori, pilihan sarapan di sini masih pelbagai.
Walaupun penulis nampak roti canai di laluan masuk ke restoran, penulis lebih tertarik dengan nasi lemak yang dah siap dibungkus dan tersusun bersebelahan dengan kaunter bayaran.
Nasi Lemak Bungkus
Ada pilihan antara nasi lemak bungkus bersama sambal ataupun tanpa sambal. Dalam masa yang sama kita memilih nasi lemak, boleh tengok cara pekerja membungkus nasi lemak — banyak juga sambal.
Penulis suka nasi lemak yang bersambal, tak suka yang kering. Menariknya di sini, telur rebusnya tersorok di bawah timbunan nasi lemak. Jadi jangan terkejut kalau tak jumpa telur waktu buka bungkusan nasi lemak.
Setiap bungkus nasi lemak juga dibungkus menggunakan daun pisang. Untuk nasi lemak yang penulis makan, ada dua ke tiga helai daun pisang. Aroma daun pisang dapat menaikkan selera makan.
Nasi Lemak Rendang Ayam
Kalau nak nasi lemak berlauk, pun ada. Tapi kalau masih mahukan aroma daun pisang, ambil je nasi lemak bungkus, hidang lauk secara berasingan. Ayam rendang di sini pun sedap tau.
Isi ayam lembut, rendangnya likat, sambal nasi lemak pula manis, tak terlalu pedas, dan gunakan banyak bawang. Secara keseluruhannya memang sedap.
Sarapan Lain Pun Ada
Selain daripada nasi lemak dan roti canai, ada juga makanan lain seperti kuih-muih, soto, yong tau foo, mi kari, dan lontong. Yong Tau Foo di sini sedap juga, cuma sedikit pedas.
Rasanya klau ke sini untuk makan nasi lemak bungkus sahaja pun dah puas hati, tak rugi penulis singgah di sini. Cuma mungkin agak ramai kalau datang pada pagi hari cuti sebab restorannya kecil dan sempit.
Sesiapa yang lalu di kawasan berdekatan Taman Paroi Jaya, bolehlah singgah di Restoran AA. Restoran dibuka pada setiap hari bermula 7:30 pagi sehingga 2:30 petang, kecuali ahad tutup awal sikit, 12:30 tengah hari.
Post a Comment