Saf Street Pasta: Fettuccine Salted Egg Yolk Bersama Smoked Duck di Batu Ferringhi, Pulau Pinang

Pasta di Saf Street Pasta, Batu Ferringhi
Pasta merupakan antara makanan barat kegemaran rakyat Malaysia selain daripada burger, pizza, dan steak. Bukan sahaja sangat mudah untuk kita dapatkan pasta di restoran makanan barat, di pasar malam pun ada.

Namun, siapa sangka pasta terbaik yang penulis pernah makan bukanlah dari restoran ataupun hotel 5 bintang, tetapi dari sebuah gerai kecil di tepi jalan bersebelahan sebuah stesen minyak.

Saf Street Pasta

Gerai Saf Street Pasta
Kalau korang bercuti ke Batu Ferringhi, Pulau Pinang, dan korang peminat pasta seperti bolognese dan carbonara, adalah wajib untuk korang cuba makan di gerai Saf Street Pasta.

Lokasinya berhampiran dengan Petronas dan McDonald's Batu Ferringhi, dalam 150 meter je dari hotel Shangri-La Golden Sands. Ada banyak juga gerai di kawasan ni, cuma masalahnya tak banyak tapak parkir.

4 Jenis Masakan Pasta

Pasta Salted Egg Yolk dan Aglio Olio di Saf Street Pasta
Di Saf Street Pasta ada empat jenis masakan pasta seperti bolognese, aglio olio, creamy carbonara, dan menu istimewanya salted egg yolk. Pasta yang digunakan ialah jenis fettuccine atau spaghetti.

Untuk salted egg yolk dan creamy carbonara, pasta yang digunakan ialah fettuccine. Spaghetti pula akan digunakan untuk aglio olio dan bolognese. Ataupun, minta je jenis pasta yang kita nak ketika membuat pesanan.

Sehingga 7 Pilihan Protein

Bergantung pada pilihan masakan, kita akan diberikan beberapa pilihan protein seperti ayam, ayam panggang, kambing panggang, bebola daging, makanan laut, ham ayam belanda, dan itik salai.

Penulis sangat tertarik dengan itik salai, bukan senang nak jumpa pasta yang disediakan bersama itik salai walaupun di restoran makanan barat.

Salted Egg Yolk Smoked Duck

Salted Egg Yolk Smoked Duck di Saf Street Pasta
Hiasan dan persembahan pada penyediaan pasta telur kuning masin sangatlah teliti, seolah-olah ianya disediakan di hotel 5 bintang dan bukannya di tepi jalan. Tengok je lah kuahnya, likat betul.

Isi itik salai tersusun elok di atas fettuccine — dalam 10 hirisan. Pertama kali makan itik salai yang dihiris dengan bahagian luarnya sedikit berlemak. Dagingnya lembut, dan rasanya lebih manis berbanding ayam.

Aglio Olio Turkey Ham

Aglio Olio Turkey Ham di Saf Street Pasta
Kalau nakkan pasta yang lebih sihat dan kurang lemak, boleh cuba aglio olio. Hidangan ni lebih ringkas dari segi penyediaan dan persembahan, tetapi mempunyai rasa yang cukup masin dan manisnya.

Rasa lada dan herba lebih kuat dan menonjol pada aglio olio. Lebih sedap apabila makan dengan hirisan ham ayam belanda, tambah rasa masin dan umami.

Menggunakan Bahan Berkualiti

Bahan-bahan yang digunakan agak berkualiti dan banyak, menyumbang bukan sahaja pada rasa, tetapi pada rupa juga. Antara bahan yang digunakan ialah buah zaitun, cendawan, cili benggala, herba campuran, lada, dan serpihan cili.

Sambil menunggu makanan di meja ada juga penulis bau mentega bersama bawang putih, menggiurkan. Cuma, penulis tak sangka kedua-dua menu pasta tadi, terutamanya salted egg yolk; agak pedas.

Harga dan Menu Saf Street Pasta

Sesuailah dengan motonya, rasa mewah harga jalanan; harga pasta di sini adalah antara RM14 berlaukkan ayam ke RM24 berlaukkan kambing panggang. Bagi penulis sangat berbaloi dengan kualiti bahan dan masakan.

Menu Harga
Salted Egg Yolk
Chicken/Smoked Duck/Seafood
16/16/18
Aglio Olio
Chicken/Meatball/Turkey Ham/Smoked Duck/Seafood
14/14/14/15/17
Creamy Carbonara
Chicken/Meatball/Turkey Ham/Smoked Duck/Seafood
14/14/14/15/17
Bolognese
Chicken/Chicken & Meatball/Chicken & Lamb Grill
14/16/24
Mushroom Soup 4
Garlic Bread 6pcs 4
Bruschetta 5pcs 8

Dari segi saiz hidangan, sepinggan pasta boleh dimakan sehingga dua orang.

Creamy Carbonara Bungkus Pun Sedap

Creamy Carbonara Smoked Duck bungkus dari Saf Street Pasta
Selain daripada pasta salted egg yolk dan aglio olio, penulis cuba juga creamy carbonara. Untuk creamy carbonara, penulis pesan bersama itik salai untuk dibungkus dan makan di rumah.

Walaupun dibungkus, kualiti bahan dan persembahan masih bagus. Penulis makan selepas 5 jam, masih elok dan sedap walaupun fettuccine-nya mungkin sedikit kembang.


Kalau datang ke Saf Street Pasta, penulis syorkan untuk cuba pasta dengan itik salai. Gerai Saf Street Pasta dibuka pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 3 petang sehingga 10 malam.

Antara ketiga-tiga yang penulis cuba, penulis paling sukakan pasta salted egg yolk. Kalau korang tak makan pedas, boleh bagitahu ketika membuat pesanan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top