Nippon Sushi: Mencuba Shoyu Ramen dan Nasi Bersama Sashimi dan Tori Karubi
Sejak Sushi King peroleh sijil halal daripada Jakim pada tahun 2017 yang lalu, itulah tempatnya bila penulis craving nak makan sushi atau bento. Lagipun agak susah nak dapatkan makanan Jepun yang halal pada waktu tu.
Tak lama kemudian, tumbuhlah gerai-gerai sushi bagai cendawan di tepi-tepi jalan, pasar malam dan pusat membeli-belah. Tetapi, rasanya masih tak dapat menandingi Sushi King.
Walaupun penulis sukakan sushi di Empire Sushi dan Sushiwak, masih ada rasa yang sedikit kurang kalau dibandingkan dengan Sushi King.
Restoran Makanan Jepun Halal, Nippon Sushi
Sehinggalah penulis cuba makan di Nippon Sushi, sebuah restoran masakan Jepun milik bumiputra yang juga disahkan halal oleh Jakim. Dari segi menu dan sistem, hampir sama dengan Sushi King.
Sejak pembukaan cawangan pertama Nippon Sushi di Bandar Baru Bangi pada November 2018, Nippon Sushi sudah membuka 17 cawangan di 6 negeri di semenanjung sehingga Jun 2022.
Menggunakan Conveyor Belt dan Kod Warna
Sama seperti di Sushi King, sushi diletakkan dan boleh dipilih dari conveyor belt. Bergantung pada warna piring, sushi dijual pada harga antara RM2.10 dan 5.40 sepiring.
Ada lebih kurang 65 pilihan sushi di Nippon Sushi. Rasanya lebih banyak berbanding pilihan sushi di Sushi King, jadi kalau ada yang tak dapat dari conveyor belt boleh lakukan pesanan.
Pelbagai Pilihan Menu
Tak terhad kepada sushi, Nippon Sushi juga menyediakan hidangan Jepun seperti sashimi, agemono, yakimono, ramen, soba, udon, bento, dan teppanyaki. Boleh tengok menu Nippon Sushi di sini.
Menariknya, ada 6 pilihan sashimi di sini. Selain sashimi salmon, ada juga sashimi salmon toro, tako, mekajiki, maguro, dan hamachi. Sashimi juga disediakan secara ala carte atau set.
Untuk kunjungan pertama kali ke Nippon Sushi, penulis cuba Shoyu Ramen dan set nasi bersama Sashimi dan Tori Karubi.
Shoyu Ramen Ayam Panggang
Dari segi persembahan, boleh lebih baik lagi — hirisan ayam panggang boleh disusun lebih rapi. Dari segi rasa, sedikit berbeza daripada ramen yang penulis makan di ichiban ramen.
Rasa shoyu ramen lebih cenderung ke arah masin, lada putih dan pati ayam tanpa ada sedikit pun rasa miso. Kamabokonya sedap, telurnya pun dimasak elok, kuning telurnya masih basah.
Set Sashimi dan Tori Karubi
Untuk set ni, kita akan dapat satu set sashimi salmon dan maguro yang dihidang bersama salad, lemon, dan lobak putih daikon yang diracik helai; satu tauhu lembut; sepinggan tori karubi; semangkuk nasi putih; dan semangkuk sup miso.
Rasa tori karubi atau ayam kalbi agak manis. Perapan kalbinya berempah tetapi tak pedas, makan dengan nasi putih tanpa lauk lain pun dah sedap. Kalau tak cukup semangkuk nasi, boleh pesan satu lagi.
Sashimi Salmon dan Maguro
Penulis dah biasa makan sashimi salmon, tapi ni pertama kali penulis makan maguro atau tuna. Potongan salmon dan maguro lebih tebal berbandingan potongan yang digunakan pada sushi nigiri.
Antara salmon dan maguro, penulis lebih sukakan salmon. Mungkin sebab dah biasa dengan bau dan rasa salmon, kedua-duanya memang mempunyai bau, tekstur, dan rasa yang berbeza.
Harga Makanan Nippon Sushi
Harga sushi di sini agak berpatutan juga. Cuma untuk makanan yang dijual secara set, mungkin boleh disemak semula menu dan harganya untuk masukkan lebih banyak pilihan yang lebih murah bagi setiap jenis protein. Boleh tengok harga makanan yang penulis makan dibawah:
Menu | Harga |
---|---|
Sashimi to Tori Karubi Set | 32.00 |
Shoyu Ramen | 19.10 |
Sushi (Pink) | 2.10 |
Sushi (Orange) | 3.20 |
Sushi (Red) | 4.30 |
Sushi (Purple) | 5.40 |
Plain Rice | 2.80 |
Sebagai peminat bento, penulis harap lebih banyak pilihan bento dibawah harga RM20 atau RM25 diperkenalkan pada menu.
Pesaing Utama Sushi King?
Sebagai sebuah restoran masakan Jepun yang halal, Nippon Sushi sangat berpotensi untuk menjadi pesaing utama Sushi King kalau momentum dan servis sedia ada dapat dikekalkan atau, lebih baik lagi; dinaiktaraf.
Sebagai perbandingan, Sushi King mempunyai lebih daripada 121 cawangan. Nippon Sushi, untuk menjadi pesaing utama; perlukan sekurang-kurangnya 30 cawangan di bandar-bandar utama dan pusat membeli-belah.
Buat masa ni, tak ada satu cawangan Nippon Sushi pun dibuka di pusat membeli-belah. Mungkin suatu hari nanti kita akan nampak Nippon Sushi dan Sushi King di tingkat yang sama di sebuah pusat membeli-belah.
Pilihan yang ada di Nippon Sushi memang banyak, cuma masalahnya penulis tak jumpa kombinasi bento yang penulis selalu makan di Sushi King. Mungkin penulis akan cuba Don atau Jyu pula kalau ke Nippon Sushi selepas ni.
Post a Comment