A'Famosa Water Theme Park: Panduan Kepada Setiap Permainan, Penyewaan dan Kemudahan

A'Famosa Water Park
Taman Tema Air A'Famosa ataupun A'Famosa Water Theme Park merupakan tarikan utama di A'Famosa Resort sejak pembukaanya pada tahun 1996, empat tahun selepas pembinaan A'Famosa Resort.

Namun sebagai tempat peranginan, antara yang terkenal; di Melaka, A'Famosa Resort bukanlah tempat yang kita boleh kaitkan dengan percutian bajet. Sesuailah dengan status 4-bintangnya.

Taman Tema Air A'Famosa

We Love A'Famosa Water Park
Tetapi, sejak bukanya banyak taman tema air yang lebih baru di Malaysia, harga tiket RM45 yang ditawarkan Taman Tema Air A'Famosa yang sudah berusia lebih 25 tahun ini kelihatan lebih mampu milik.

Walaupun dah lama, taman tema air seluas 20 ekar ni masih berbisa. Permainan air yang ada di Taman Tema Air A'Famosa juga direka untuk kanak-kanak, keluarga, dan mereka yang mahukan lebih cabaran.

Lokasi dan Waktu Operasi

Peta Taman Tema Air A'Famosa
Taman Tema Air A'Famosa terletak di Jalan Kemus, Simpang Ampat, 78000 Alor Gajah, Melaka. Hanya 7 Kilometer dari Plaza Tol Simpang Ampat, 8 kilometer dari Stesen KTM Tampin/Pulau Sebang atau Terminal Bas Tampin.

Waktu operasi Taman Tema Air A'Famosa adalah antara 10 pagi dan 6 petang, dibuka bermula hari Rabu sehingga Isnin. Taman tema air ditutup pada hari Selasa kecuali waktu cuti sekolah atau cuti umum.

Harga Tiket

Orang ramai bermain di Wave Pool
Harga tiket untuk dewasa ialah RM45, untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah pula RM38. Kemasukan untuk kanak-kanak dengan ketinggian kurang daripada 90cm pula adalah percuma.

Tiket boleh dibeli secara walk-in ataupun dalam talian melalui laman sesawang A'Famosa. Boleh juga dapatkan di Klook ataupun Shopee untuk harga yang lebih murah.

Untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan OKU, penulis syorkan beli tiket secara walk-in untuk dapatkan diskaun 50% — atau harga istimewa untuk pemegang kad OKU.

Kemudahan dan Kos Sewaan

Pelampung atau tubes A'Famosa Water Park
Kemudahan seperti tempat menukar pakaian, tandas, bilik mandi, surau, dan kebanyakan bangku disediakan secara percuma. Tetapi, untuk menggunakan pelampung, locker, dan pondok kabana, kita perlu menyewa.

Boleh semak kos sewaan dalam jadual di bawah:

Sewaan Harga Depo
Locker Kecil 25 20
Locker Sederhana 45 20
Locker Besar 60 40
Pelampung 1-orang 17 17
Pelampung 2-orang 25 25
Cabana Weekdays 90 50
Cabana Weekend/Public or School Holidays 150 50
Cabana VIP Weekdays 120 50
Cabana VIP Weekend/Public or School Holidays 180 50

Cabana VIP di A'Famosa Water Park
Ada beberapa perbezaan antara cabana biasa dan VIP. Pondok atau cabana VIP terletak berhadapan dengan kawasan Sandy Beach dan Wave Pool, dan mempunyai langsir untuk lebih teduhan dan privasi.

Di hadapan setiap cabana VIP juga ada bangku, bagi penulis sesuai disewa kalau datang bersama wanita atau orang yang berumur.

Harga Minuman dan Makanan

Gerai makanan dan minuman di A'Famosa Water Park
Di Taman Tema Air A'Famosa ada beberapa kiosk menjual minuman dan makanan — Stall A, Side Walk Cafe dan Food Court. Pengunjung juga boleh membeli makanan tengah hari pada harga RM18 sewaktu membeli tiket.

Berikut adalah harga minuman yang ada di sini:

Minuman Harga
Air Mineral 2.90
Air Tin F&N 3.50
Air Sejuk 5.00
Air Panas 4.00

Bawah ni pula harga makanan. Walaupun set nasi boleh dibeli bersama tiket secara walk-in atau dalam talian, kita boleh juga beli di Side Walk Cafe atau Food Court taman tema air selagi stok masih ada.

Makanan Harga
Set Nasi
  • Ayam Rendang
  • Ayam Kari
  • Ayam Pongteh
18.00
Set Kombo
  • Nuget Ayam
  • Tauhu Seafood
  • Bebola Ikan Salmon
  • Bebola Ikan
12.90
Set Kombo Burger Ayam 17.90
Jagung Cawan 4.00

Setiap set kombo akan disekalikan dengan air tin, tetapi set nasi tiada air. Harga juga mungkin lebih mahal berbanding di atas disebabkan pengemaskinian harga oleh Taman Tema Air A'Famosa.

Ais Krim Cornetto
Gerai aiskrim pun ada di sini, dijual dalam RM3 lebih mahal dari kebiasaannya di luar. Cuma perlu pastikan yang aiskrim berada dalam keadaan sejuk, penulis malangnya dapat aiskrim cair.

Harga aiskrim yang ada disini seperti Cornetto dan Magnum masing-masing berharga RM5.50 dan RM6.50

Set Nasi Ayam Kari dan Pongteh

Set nasi di A'Famosa Water Park
Untuk makan tengah hari, penulis cuba set nasi bersama kari ayam dan pongteh. Dalam satu bekas ada nasi, sayur kubis, dan lauk ayam yang kita pilih. Satu bekas boleh dimakan sehingga dua orang.

Nasi dimasak dengan elok, kubisnya rangup, ayamnya tak kering, dan kuahnya likat dan banyak. Penulis lebih sukakan ayam pongteh, rasanya sedikit manis, seperti ayam kicap yang ditambah sedikit sos tiram.

Permainan Untuk Kanak-Kanak

Walaupun kebanyakan tarikan atau permainan di sini direka untuk orang dewasa, kanak-kanak juga tak ketinggalan. Ada beberapa kawasan permainan yang dikhaskan kepada kanak-kanak.

1) Kids Adventure

Kids Adventure A'Famosa Water Park
Khas untuk kanak-kanak, kawasan ni bagaikan taman permainan di atas air. Bertemakan hidupan laut, taman permainan ini mempunyai gelongsor bersaiz mini dan pancuran air dari sekawan dolphin.

Ada sebuah baldi yang sentiasa diisi air, baldi ni akan melimpahkan air yang banyak dan deras apabila penuh. Ramai juga kanak-kanak berkumpul di sini, menunggu saat baldi penuh.

2) Arabian Village

Arabian Village A'Famosa Water Park
Juga sebuah taman permainan, tetapi bertemakan istana dari timur tengah. Kali terakhir penulis ke sini, pada September 2022; kawasan ni sedang diselenggara dan tak boleh digunakan.

Bersama Keluarga

Datang bersama keluarga? Di sini juga ada tarikan atau permainan yang sesuai untuk kita luangkan masa berkualiti bersama keluarga. Datang bersama kanak-kanak? Tak perlu risau, masih boleh enjoy.

1) Wave Pool

Wave Pool A'Famosa Water Park
Seperti di laut, kawasan ni berhadapan dengan sebuah pantai buatan. Semakin jauh dari pantai semakin dalam, dan setiap kali siren dibunyikan akan ada ombak seolah-olah di laut.

Dengan pemantauan orang dewasa, kanak-kanak juga boleh bermain di sini. Jauh lebih selamat berbanding di laut.

2) Lazy River

Lazy River A'Famosa Water Park
Sungai ni mengelingi taman tema air. Boleh mandi sambil melalui sungai, lebih seronok lagi kalau ada pelampung — baring je atas pelampung dan biarkan diri kita dibawa arus sungai.

3) WAHAHA

WAHAHA A'Famosa Water Park
Dapatkan pengalaman ditolak ombak seakan-akan tsunami di Lazy River. Cari sebuah tempat yang mempunyai sebuah topeng gergasi, setiap beberapa minit akan keluar ombak yang kuat selama lebih kurang 5 saat.

Tempat ni memang meriah, ramai akan berkumpul untuk mencabar ombak. Akan ada yang tewas dan tergolek daripada pelampung masing-masing, lebih-lebih lagi yang berada paling hadapan.

4) Family Raft

Family Raft A'Famosa Water Park
Gelongsor yang lebih lebar dan santai untuk seisi keluarga, boleh dinaiki antara tiga ke empat orang. Boleh juga naik bersama kawan-kawan, tak perlu susah-susah bawa pelampung ke atas — pelampung dibawa naik menggunakan penghantar khas.

Dah selesai turun, letakkan pelampung di penghantar.

Syarat-syarat:
  • Kanak-kanak perlu diiringi orang dewasa.
  • Ketinggian sekurang-kurangnya 3 kaki.
  • Pelampung sendiri tak dibenarkan.

Yang Lebih Mencabar

Tak puas dengan semua yang penulis sebutkan tadi? Nak sesuatu yang lebih mencabar, yang direka khas untuk orang dewasa yang mahukan lebih cabaran dan keterujaan? Boleh cuba keempat-empat permainan ni:

1) Big Ice Cream

Big Ice Cream A'Famosa Water Park
Seperti Vuvuzela di Sunway Lagoon dan Tornado di WaterWorld i-City, pengunjung berpeluang merasai pengalaman mendebarkan apabila bergelongsor keluar ke ruang terbuka berbentuk kon — dipanggil Ice Cream.

Antara yang terbesar di Asia Tenggara, diameternya sepanjang 18.3 meter. Perlu naik sekumpulan empat orang, kalau datang berdua kena cari lagi dua orang. Pelampung disediakan.

Syarat-syarat:
  • Tinggi sekurang-kurangnya 140cm.
  • Berat antara 35 ke 85 kilogram.
  • Pelampung sendiri tak dibenarkan.

2) Hula-Hula

Hula-Hula A'Famosa Water Park
Bermula agak santai, tetapi semakin turun menjadi semakin laju. Paling laju di laluan yang curam di penghujungnya, sebelum momentum mengangkat kita ke sebuah selekoh yang agak tinggi dan jatuh semula.

Lagi berat lagi tinggilah kita terbang di selekoh tu. Permainan ni perlukan pelampung 2-orang.

Syarat-syarat:
  • Tinggi sekurang-kurangnya 4 kaki.
  • Berat antara 50 ke 80 kilogram.
  • Hanya pelampung 2-orang dibenarkan.

3) High Speed

High Speed A'Famosa Water Park
Bagi penulis, permainan yang paling menakutkan dan mencabar di Taman Tema Air A'Famosa. Tanpa sebarang pelampung, kita berpeluang untuk menuruni gelongsor sepanjang 30 meter yang sangat curam dari Ketinggian 7 tingkat.

Ada dua gelongsor, satu terbuka, dan satu lagi yang lebih curam bermula secara tertutup. Sanggup ke panjat tangga setinggi 7 tingkat? Melihat gelongsor dari bawah pun sudah menakutkan, apatah lagi dari atas.

Syarat-syarat:
  • Ketinggian sekurang-kurangnya 140cm.
  • Pelampung tak dibenarkan.

4) Inner Tube

Inner Tube A'Famosa Water Park
Mungkin yang paling santai antara keempat-empat permainan, asalnya ada empat tetapi sekarang nampak macam cuma dua gelongsor terbuka yang masih berfungsi. Boleh gunakan pelampung 1 atau 2-orang.

Syarat-syarat:
  • Ketinggian sekurang-kurangnya 4 kaki.
  • Berat antara 35 ke 80 kilogram.

Syarat Pelampung, Ketinggian & Berat

Penyelamat di A'Famosa Water Park
Secara ringkasnya, permainan seperti Lazy River, Wave Pool, WAHAHA, Hula-Hula, dan Inner Tube memerlukan pelampung. Namun, hanya pelampung 2-orang dibenarkan untuk Hula-Hula.

Pelampung khas disediakan untuk permainan seperti Big Ice Cream dan Family Raft. Untuk High Speed, Kids Adventure, dan Arabian Village pula, pelampung tak dibenarkan.

Jadi, kalau nak main kesemua sepuluh permainan, kita perlulah menyewa pelampung 2-orang, mempunyai ketinggian melebihi 140cm, dan berat antara 50 ke 80 kilogram.

Berusia Tetapi Masih Relevan

Pengunjung di A'Famosa Water Park
Walaupun sudah berusia lebih 25 tahun, Taman Tema Air A'Famosa telah membuktikan yang ia masih boleh bersaing untuk kekal relevan. Masih ramai yang memilih untuk ke sini walaupun sudah banyak taman tema air dibuka di Melaka.

Namun persoalannya, adakah Taman Tema Air A'Famosa masih yang terbaik di Melaka? Adakah ia juga masih taman tema air terbesar di Malaysia? Mungkin korang boleh komen di bawah.

Sebagai alternatif, korang boleh cuba ke taman tema air Melaka Wonderland di Ayer Keroh ataupun Bayou Lagoon di Bukit Katil.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top