HG RX-78-2 (Beyond Global): Gunpla Pertama Untuk 'Beginner'

RX-78-2 Gundam di hadapan laptop
Minat penulis terhadap Gundam bermula bukanlah daripada anime, tetapi sejak penulis bermain permainan video Mobile Suit Gundam: Char's Counterattack terbitan Bandai pada PlayStation 1.

Dalam permainan Gundam yang dikeluarkan pada tahun 1998 tadi, penulis bermain sebagai Amuro Ray yang memandu robot mekanikal jenis Gundam RX-78-2 dan Gundam RX-93 ν Gundam (Nu Gundam).

RX-78-2 merupakan Gundam pertama yang diperkenalkan melalui siri anime Mobile Suit Gundam yang ditayangkan bermula tahun 1979 di Jepun. Ia juga Gundam pertama yang dipandu oleh Amuro Ray.

Gunpla

Manual cara pasang RX-78-2 Beyond Global
Selain daripada anime dan permainan video, Gundam juga mempunyai permainan berupa model plastik yang dipanggil sebagai Gunpla, singkatan kepada Gundam Plamo ataupun Gundam Plastic Model.

Setiap Gunpla perlu dipasang sendiri, dan kerumitan pada pemasangannya bergantung pada gred — antaranya High Grade (HG), Real Grade (RG), Master Grade (MG), dan Perfect Grade.

Saiz atau skala Gunpla juga bergantung pada gred, contohnya Gunpla bergred HG dan RG mempunyai skala 1:144, MG pula 1:100, dan akhir sekali PG dengan skala 1:60.

HG RX-78-2 Gundam Untuk Pemula

Gundam RX-78-2
Kalau korang pun beginner atau pemula macam penulis dalam bermain Gunpla, penulis cadangkan untuk mula dengan Gundam RX-78-2 bergred HG. Tak rumit, dan tak banyak gunakan alat.

Untuk RX-78-2 gred HG, ada beberapa jenis antaranya Revive, Beyond Global, dan Origin. Yang penulis pasang, Beyond Global; dikeluarkan pada tahun 2020 bersempena ulang tahun Gundam yang ke-40.

HG RX-78-2 Gundam (Beyond Global)

RX-78-2 Gundam Beyond Global
Artwork atau ilustrasi pada kotak sangat menarik, memaparkan RX-78-2 yang sedang berada di angkasa berlatar belakangkan letupan dan objek yang penulis percaya sebagai bumi.

Di dalam kotak pula ada 9 bingkai yang dipanggil sebagai "runner" yang menempatkan bahagian-bahagian Gunpla. Penyepit boleh digunakan untuk asingkan bahagian tersebut dengan lebih kemas.

Bingkai bahagian RX-78-2
Selain bingkai tadi, ada juga sekeping stiker hanya untuk bahagian mata RX-78-2, dan satu manual yang menunjukkan langkah-langkah pememasangan Gunpla.

Warna yang Pusam dan Fizikal yang Langsing

RX-78-2 bersama perisai
Warna RX-78-2 (Beyond Global) ni lebih kepada matte atau pusam, tak terlalu vibrant atau terang. Warna putih pada badannya juga tak terlalu putih, sedikit kelabu.

Fizikalnya agak langsing, nampak lebih lincah berbanding RX-78-2 yang lain. Rupa yang langsing ni agak berbeza dengan rupa asal RX-78-2 yang mempunyai badan yang lebih "bulky".

Pergerakan Bebas Bersama 2 Senjata

RX-78-2 Beyond Global boleh berdiri dengan stabil
Artikulasi atau pergerakannya agak bebas, dan model ni, sama seperti model-model lain; boleh digayakan dengan pelbagai gaya, khususnya seperti yang ditunjukkan pada sisi kotak dan manual.

Selain daripada perisai, model RX-78-2 (Beyond Global) ini juga dibekalkan dengan dua beam saber dan satu beam rifle. Kalau digayakan dengan betul, model ni agak stabil.

Yang penting setiap sendi tak haus, jadi kalau digayakan macam mana pun akan kekal dalam gaya tu. Tak ada bahagian tangan atau kaki yang turun atau tertanggal.

Kit Alat Gunpla

Alatan memasang Gunpla
Walaupun cuma perlukan "nipper" atau penyepit untuk pasang model RX-78-2 (Beyond Global), tak ada salahnya dapatkan kit permulaan alat pemasangan Gunpla. Dalam kit ni ada penyepit, pisau kraftangan, tweezers, marker, pemisah, dan kertas pasir.

Boleh dapatkan dalam RM20 ke RM25, penulis syorkan kepada korang yang nak menceburi hobi ni dengan lebih mendalam. Alat-alat ni boleh digunakan untuk memasang stiker yang kecil, dan memisahkan bahagian yang tersalah pasang.

Pengalaman yang Terapeutik

Pandangan sisi badan Gunpla RX-78-2
Ada kepuasan dalam memasang Gunpla. Pemasangan model ni, daripada awal sehingga akhir; memakan masa hampir separuh hari. Namun, ketekunan dan fokus ketika memasangnya membuatkan penulis tak kisah berapa lama pun masa yang diambil.

Melihat hasilnya pula, walaupun ada sedikit calar; penulis sangat berpuas hati. Walaupun plastik yang digunakan adalah jenis polystyrene (PS), ia tetap rasa berkualiti pada sentuhan.

Jadi, adakah penulis akan cuba pasang Gunpla gred RG pula selepas ni? Mungkin penulis akan pasang beberapa model gred HG terlebih dahulu, lagipun harga Gunpla lebih mahal untuk gred yang lebih tinggi.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top