Bukan Hanya Lembu Tenusu, Banyak Lagi Tarikan di Ladang Farm Fresh UPM

Papan tanda ladang Farm Fresh
Walaupun ditubuhkan pada 2009, Farm Fresh mula menempa nama ketika susu kurmanya menjadi fenomena atau trend di Malaysia bermula tahun 2016, sehinggakan ramai pengeluar produk tenusu lain pun sama ikut mengeluarkan susu kurma.

Syarikat tenusu yang terkenal dengan tagline "ini barulah susu segar" ini bermula dengan hanya 60 ekor lembu, sekarang sudah pun mempunyai 6 buah ladang termasuk satu yang berada di Australia.

Lembu di ladang Farm Fresh
Lembunya pula jangan cakaplah, dah ada lebih kurang 9,960 ekor, dan 3,748 daripadanya ialah lembu tenusu. Ini semua untuk menampung pengeluaran lebih daripada 200 juta liter susu setahun.

Jadi mesti ada yang tertanya, macam manalah lembu-lembu ni semua dibela, dijaga, dan diambil susunya kan? Semua tu akan terjawab selepas kita ke Ladang Farm Fresh di UPM Serdang.

Pengunjung Ladang Farm Fresh
Gambar-gambar yang penulis masukkan dalam blog kali ni tak disunting, jadi akan nampak agak gelap. Waktu penulis sampai pun dah 6 petang, cuaca pulak agak mendung sebab baru lepas hujan.

Ladang Farm Fresh @ UPM

Kaunter bayaran Ladang Farm Fresh
Dibuka sejak April 2022 sebagai sebuah ladang agrotourism, ia memenuhi permintaan ramai yang hendak melawat ladang tenusu Farm Fresh. Tambah pula, ladang di Muadzam, Pahang tak dibuka kepada umum.

Parkir disediakan secara percuma, tetapi untuk masuk ke sini kita perlu membayar tiket pada harga yang ditetapkan seperti dalam jadual di bawah:

Warganegara
Umur Bayaran
13 Tahun ke Atas Selasa-Jumaat:
RM10

Sabtu-Ahad & Cuti Umum:
RM15
4 ke 12 Tahun Selasa-Jumaat:
RM5

Sabtu-Ahad & Cuti Umum:
RM10
Bawah 4 Tahun Percuma

Bukan Warganegara
Umur Bayaran
13 Tahun ke Atas Selasa-Jumaat:
RM20

Sabtu-Ahad & Cuti Umum:
RM30
4 ke 12 Tahun Selasa-Jumaat:
RM10

Sabtu-Ahad & Cuti Umum:
RM20
Bawah 4 Tahun Percuma

Ladang Farm Fresh di UPM dibuka pada setiap hari kecuali Isnin. Pada hari Selasa hingga Jumaat, ladang dibuka bermula 10 pagi sehingga 7 malam, namun kemasukan akhir adalah pada 5 petang.


Untuk hujung minggu pula, ladang dibuka pada 10 pagi sehingga 10 malam, kemasukan akhir adalah pada 7 malam. Cuma, walaupun dibuka sehingga 10 malam, kita hanya boleh berkeliaran sehingga 7 malam atas faktor keselamatan.

Tractor Ride

Pengunjung beratur untuk tractor ride
Selesai parking kereta, dalam perjalanan ke pintu masuk ladang Farm Fresh kita akan perasan ada ramai orang beratur menunggu giliran untuk naik traktor. Waktu terakhir untuk naik traktor ialah 6:30PM.

Ke mana? Penulis sendiri tak pasti. Tapi rasanya traktor tersebut akan bawa kita ke atas bukit berseberangan dengan ladang lembu, pemandangan di sana seharusnya cantiklah.

Penulis tak sempat naik traktor sebab sampai agak lewat.

Kandang Lembu Farm Fresh

Laluan kandang lembu Farm Fresh
Sebaik je kita melepasi pintu masuk, kita akan nampak ladang dan kandang lembu di sebelah kiri. Di sinilah tempatnya lebih daripada 200 ekor lembu tenusu Farm Fresh. Ada yang berkeliaran di ladang, ada juga yang diberi makan di kandang.

Lembu yang ada di sini ada yang berwarna hitam putih dan ada juga yang keperangan, mungkin daripada jenis Holstein atau Jersey atau kacukan kedua-duanya. Cuma penulis tak pasti sama ada lembu jantan pun ada di sini.

Lembu di kandang
Ada tiga buah kandang di sini, dan sepanjang laluan kawasan sini kita bukan sahaja akan tengok lembu makan dan berehat, kita juga akan menghidu bau lembu yang agak kuat. Eloklah pakai pelitup muka.

Tempat pemerahan susu lembu
Di penghujung laluan pula ada sebuah tempat pemerahan susu lembu yang boleh menempatkan sehingga 36 ekor lembu dalam satu masa. Susu yang diambil dari sini akan diproses di kilang untuk menjadikan ia selamat untuk diminum.

Taman Haiwan

Rusa di Furry Friend's Playground
Jangan ingat di Ladang Farm Fresh UPM ni cuma ada lembu je, ada juga haiwan lain seperti ayam, ikan laga, kuda, rusa, arnab, dan ayam guinea. Dah macam zoo mini pula rasa datang ke sini.

Furry Friend's Playground
Di 'Furry Friend's Playground' contohnya, kita boleh tengok rusa, ayam, arnab, dan ayam guinea ditempatkan di kawasan yang sama. Agak-agak mereka akan bergaul atau cuma berkumpul dengan jenis masing-masing?

Kalau bernasib baik, boleh bergambar dengan rusa dari jarak yang dekat. Cuma kita tak boleh sentuh haiwan atau beri apa-apa makanan selain daripada 'animal feed' yang disediakan oleh ladang Farm Fresh.

Barrel ride
Berhadapan dengan 'Fighting Fish', yang menempatkan ikan laga; ada sebuah trektor yang menunggu kanak-kanak yang ingin mencuba barrel ride. Mereka akan dibawa mengelingi taman haiwan, pasti menyeronokkan!

Taman Bunga & Sayur

Bunga Petunia
Selain haiwan, di sini juga ada tanaman bunga seperti petunia dan kemunting cina (madagascar periwinkle), dan juga sayuran seperti labu dan terung.

Labu
Kita dibolehkan bergambar, tetapi dilarang untuk memetik bunga atau sayuran di sini. Kalau teringin sayuran yang ditanam di Ladang Farm Fresh ni, boleh beli di kedai 'Fresh Picks'.

Produk Farm Fresh

Susu pisang dan minuman yogurt
Di sini juga kita boleh dapatkan produk Farm Fresh seperti susu kurma, susu pisang dan minuman yogurt. Terus terang ini kali pertama penulis cuba susu pisang Farm Fresh, memang sedap.

Penulis dapat tahu, kita juga boleh dapatkan susu segar yang baru diperah sehari sebelum, penuh krim atau kurang lemak; dengan botol kaca yang eksklusif. Lebih menarik lagi, susu tersebut kita boleh isi sendiri.

Selain susu, ada juga produk-produk lain seperti aiskrim dan minuman boba yang penulis belum pernah nampak lagi di luar. Semuanya kita boleh dapatkan di kawasan yang sama.

Cream Hauz

Cream Hauz
Untuk mencuba aiskrim, boleh ke kedai 'Cream Hauz'. Boleh dapatkan aiskrim kon berperisa susu kurma farm fresh pada harga RM3 satu kon. Lebih menarik kalau ada juga aiskrim berperisa pisang, atau aisrkrim yogurt seperti di Llaollao.

Jom Cha

Jom Cha
Susu boba pula boleh didapati dari kedai 'Jom Cha'. Harga minuman seperti boba gula perang bersama susu segar atau susu kurma Farm Fresh masing-masing berharga RM9.80 dan RM10.80.

Antara minuman lain yang ada di Jom Cha ialah latte, teh, yogurt, dan matcha. Penulis tak tahu kenapa di Jom Cha pun ada aiskrim walaupun Farm Fresh dah jual aiskrim di Cream Hauz.

The Acre by Farm Fresh

The Acre by Farm Fresh
Di Ladang Farm Fresh ni juga terdapat sebuah restoran yang diberi nama The Acre, kadang penulis keliru sama ada The Acre tu nama kepada Ladang Farm Fresh di UPM ataupun cuma nama restorannya.

Di sini kita boleh dapatkan makanan barat seperti pasta dan pizza. Kelebihannya di sini, pizza dimasak menggunakan dapur kayu api. Pada waktu malam, restoran ni dikelilingi cahaya lampu yang cantik.

Jaga Seperti Ladang Sendiri

Dilarang memetik tumbuhan
Memang seronok datang ke Ladang Farm Fresh di UPM, lebih seronok kalau datang bersama keluarga. Cuma kita kena peka dengan adab dan syarat-syarat yang kita perlu ikut di ladang ni, antaranya:
  • Dilarang membuang sampah merata-rata;
  • Dilarang membawa makanan, minuman, dan barang untuk berkelah dari luar.
  • Dilarang memetik bunga atau tumbuhan.
  • Dilarang memberi makan atau menyentuh lembu.
  • Dilarang Merokok

Tanah merah di parkir Ladang Farm Fresh UPM
Kalau nak datang ke sini, datanglah awal sikit. Ada masa yang cukup untuk tractor ride dan pusing seluruh ladang. Penulis datang lewat, jadi ada tempat yang penulis tak sempat tengok.

Pastikan juga pakai kasut yang sesuai, dan sediakan surat khabar untuk elakkan karpet kereta kotor sewaktu balik. Kawasan parkir menggunakan tanah merah, kalau basah memang akan melekat di tapak kasut.

Ladang Farm Fresh
Bagus juga sebenarnya untuk Farm Fresh mengembangkan model bisnes mereka kepada menjual minuman boba dan aiskrim. Cuma penulis harap dimudahkan juga untuk orang ramai mencari maklumat tentang Jom Cha dan Cream Hauz.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top