Tudia!! Nasi Kandar Bendi Gani Maju di Bukit Jalil, Memang Surr!!

Nasi kandar ayam bawang
Pemburuan nasi kandar bermula lagi, kali ni di Bukit Jalil. Kebetulan penulis berada di Stadium Bukit Jalil, rasa rugi pula kalau tak ke sebuah restoran nasi kandar yang terkenal di Bukit Jalil.

Tambah pula, ada yang mempelawa penulis untuk ke sana dengan menaiki grab dari stadium — dalam 3 kilometer je. Tempat ni terkenal dengan slogan "Tudia!!" dan "Surr!!", dah boleh teka ke restoran apa?

Nasi Kandar Bendi Gani Maju

Restoran Nasi Kandar Bendi Gani Maju, Bukit Jalil
Rasanya di Bukit Jalil cuma ada satu restoran je yang mamaknya mencedok kuah ke nasi sambil melaungkan kedua-dua tagline tadi dengan penuh bersemangat, restoran Nasi Kandar Bendi Gani Maju.

Dengar cerita kalau datang ke sini kena beratur panjang, tapi waktu penulis sampai ke sini keadaannya sedikit lengang walaupun pada hari Sabtu. Mungkin ramai yang balik kampung sebab esoknya Maulidur Rasul.


Alamat: 28, Jalan Jalil 1, The Earth @ Bukit Jalil, 43300 Kuala Lumpur.
Waktu: Isnin - Ahad (12PM - 7PM).

Pilihan lauk yang banyak di Nasi Kandar Bendi
Restorannya agak sempit, kalau ramai orang memang terpaksa bungkuslah. Cuma yang bestnya di sini, lauknya banyak, dan yang mencedokkan nasi, kuah dan lauk ialah pemilik restoran sendiri.

Campur Kuah Ikut Citarasa

Mamak nasi kandar cedok kuah
Cara membuat pesanan nasi kandar di sini lain sikit. Selalunya penulis akan pesan kuah campur banjir dan pilih lauk, tapi di restoran Nasi Kandar Bendi kita kena beritahu apa rasa yang kita nak.

Nak manis ke? Nak pedas ke? Penulis pesan manis, pedas, dan banjir, jadi mamak akan campurkan kuah supaya rasanya nanti manis dan pedas. Lauk pula semestinya ayam bawang, bersama dengan sayur kubis dan bendi.

Cili hijau, kubis, bendi, tauge, dan telur masin
Nasi kandar yang penulis makan, sama macam yang penulis pesan tadi; ada rasa pedas dan juga manis. Antara kuah yang tersedap penulis pernah makan, walaupun tak dinafikan ada kuah yang lebih likat di tempat lain.

Lebih istimewa lagi ada sambal kelapa sama macam nasi ganja di Ipoh. Memang berlemak rasanya bila makan sambal kelapa dengan nasi kandar yang kuahnya sendiri pun dah cukup berempah.

Nasi Kandar Ayam Bawang

Nasi kandar ayam bawang bersama kubis dan bendi
Ayam bawangnya dipotong lapan, rasanya sedap dan tak terlalu kering. Cuma penulis lebih suka kalau ada lebih banyak bawang seperti yang penulis makan di restoran Nasi Kandar Che Pol.

Bendinya pula? Rangup, kurang berlendir, dan tak lembik. Penulis cuma pernah datang ke sini sekali, jadi tak tau sama ada memang bendinya macam ni. Penulis memang sukakan bendi yang rangup macam ni.

Harga penulis tak pasti sebab ada yang belanja, tapi rasanya untuk nasi dengan ayam bawang, kubis dan 2 batang bendi tak sampai RM9.

Ayam Masak Ros Pun Ada

Nasi kandar ayam masak ros
Selain ayam bawang, ada juga ayam masak ros. Untuk ayam masak ros, saiz ayamnya lebih besar berbanding ayam bawang sebab ianya dipotong empat. Ayam masak ros di sini pun sedap juga.

Cuma rasa cinta penulis terhadap ayam bawang cukup mendalam, jadi penulis tetap akan pilih ayam bawang. Untuk ayam masak ros, penulis lebih suka makan dengan nasi tomato.

Kalau ada benda yang penulis kurang suka, cumalah plastik yang digunakan pada pinggan walaupun akan memudahkan dan mempercepatkan kerja pembersihan. Makan ruang dan kurang kemas — tompokan kuah pada plastik mudah terkena lengan atau baju.

Memang Sedap atau Sekadar Viral?

Nasi kandar yang sedang diisikan lauk
Antara nasi kandar yang sedap penulis pernah makan, tetapi ada yang lebih sedap. Kalau perlu beratur penulis akan makan lagi ke? Boleh je, cuma tak lebih dari 30 minit.

Kalau datang ke Bukit Jalil bolehlah cuba singgah di restoran Nasi Kandar Bendi Gani Maju. Nak tahu juga apa pendapat korang, sebab ada yang kata nasi kandarnya biasa-biasa je. Ikut tekak masing-masinglah kan?

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top