Review Sambal Nyet Berapi Khairul Aming, Sedap Sangat ke Sampai Selalu 'Out of Stock'?
Selang setahun sejak penulis tulis tentang kejayaan Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman; menjual 10,000 botol Sambal Nyet dalam masa hanya 3 minit, barulah penulis berpeluang untuk cuba produk viral ni.
Sedih, tapi apa boleh buat. Lagipun penulis ni bukannya jenis yang suka berebut-rebut nak membeli barang viral yang selalu 'out of stock', walaupun ada reseller yang menjual Sambal Nyet — tetapi pada harga yang lebih mahal.
Selang setahun, apa yang berbeza? Sebelum ni cuma boleh beli maksimum 2 botol Sambal Nyet, sekarang boleh beli 4 (kemaskini: 6 botol). Sambal Nyet juga lebih kerap distok semula sekarang ni, mungkin sebab dah ada dua buah kilang.
Sambal Nyet Berapi dari Khairul Aming
Masa yang ditunggu-tunggu dah tiba, apa pendapat penulis tentang Sambal Nyet? Dari segi bungkusan, biasa je. Tetapi dibalut dengan kemas menggunakan 'bubble wrap'.
Tak ada sambal yang tumpah ataupun terkeluar daripada penutup botol, walaupun dah ditunggang-terbalikkan sepanjang proses penghantaran. Waktu penulis dapat pun penulis tak pasti mana atas mana bawah.
Warna label pada botol ringkas, merah dan tak terlalu banyak corak yang rumit. Tulisan 'Sambal Nyet Berapi' pula boleh dilihat dengan jelas walaupun dari jauh.
Pedas Yang Tak Menyakitkan
Rasa sambal agak pedas, tetapi bukanlah pedas yang menyakitkan macam mi Samyang 2x pedas ataupun Maggi Pedas Giler. Rasa pedasnya macam makan cili, penulis perasan ada banyak biji cili pada sambal.
Sambal dimasak elok, pecah minyak. Jadi akan ada lapisan minyak di bahagian atas sambal. Sambalnya lebih halus berbanding sambal ayam penyet atau geprek yang kita makan di restoran, jadi takdelah nak tersekat di tekak.
Manis dan Pedas
Penulis memang suka sambal yang pedas dan manis, lebih-lebih lagi yang banyak gunakan bawang. Untuk Sambal Nyet Berapi ni, ada rasa manis tapi bukan macam gula.
Tak ada rasa masam, dan tak terlalu masin. Sedap dimakan dengan nasi putih bersama ayam, ikan, udang, atau sotong goreng kunyit. Nak gunakan dalam masakan seperti nasi goreng dan sambal petai pun boleh.
Antara bahan yang digunakan, seperti yang tertulis pada label; ialah bawang merah, cili, bawang putih, minyak masak, gula, garam, lada berperisa, dan MSG.
Cara Jaga dan Simpan
Setiap botol Sambal Nyet bertahan selama 5 bulan dari tarikh ia dibuat, dan untuk menjaga kualiti sambal kita perlu cedok dengan sudu kering. Selepas dibuka buat pertama kali, perlu simpan dalam peti ais.
Sambal boleh terus dimakan, tak perlu masak; tapi seeloknya panaskan dulu selepas keluarkan dari peti ais. Penulis akan cedok sambal yang sejuk ke atas nasi, kemudian panaskan dalam 1 minit dengan microwave.
Kalau nasi masih panas, ayam pula baru digoreng, letak je sambal atas nasi atau ayam tu. Biarkan haba dari makanan yang panaskan sambal, cuma perlu keluarkan sambal lebih awal untuk cairkan minyak.
Cuma Naik 9 Sen
Sejak kali terakhir penulis tengok Sambal Nyet di Shopee, harganya cuma naik 9 sen. Kalau sebelum ni RM13.90 sebotol, sekarang dijual RM13.99 sebotol. Bagi penulis harga ni munasabah.
Sebagai perbandingan, sambal penyet Sambaleena dijual pada harga RM15, sambal gesek PYORR pula RM13.90, dan sambal penyet Nasi Kukus Boss RM14.90.
Produk Tunggal Khairul Aming
Buat masa ni, cuma ada satu produk je dari Khairul Aming atau Minmin, Sambal Nyet Berapi. Mungkin suatu hari nanti akan keluarkan produk lain pula, macam sambal hijau, sambal kicap, dan sambal tempoyak.
Penulis tak pasti sama ada Khairul Aming buka tempahan untuk kita beli secara pukal, dan berkotak; untuk dijadikan cenderahati kenduri — seperti yang dilakukan Gardenia. Kalau boleh, menarik juga.
Bagi penulis Sambal Nyet Berapi dari Khairul Aming ni memang sedap. Walaupun pedas, cuma pada skala 5 daripada 10, tak terasa pun kalau korang ni jenis makan pedas.
Kalau berminat, boleh dapatkan di Shopee. Untuk makluman, Khairul Aming tak pernah lantik mana-mana reseller ataupun ejen, pastikan beli dari Shopee 'khairulaming Brand'.
Post a Comment