Barbeku Cara Texas, Smoked Beef Ribs di Texas BBQ Barn, Cyberjaya

Fall off the bone ribs
Ingat lagi penulis tulis tentang daging Wagyu di Don Don Donki Bukit Bintang? Itupun dah RM15.80 secucuk, harga daging wagyu memang premium. Tapi bukan jenis lembu je yang mempengaruhi harga.

Makanan western atau barat ni ada darjatnya yang tersendiri bergantung pada jenis perapan, bahagian daging, dan cara penyediaannya. Sebab tulah harganya boleh jadi serendah RM10 ataupun setinggi RM500 walaupun untuk daging yang bukan Wagyu.

Tambah pula kalau penyediaannya memakan masa sehinga berjam-jam, mestilah harganya lebih mahal berbanding lamb shoulder yang siap diperap dan hanya memerlukan masa 5 minit untuk dibakar.

Tempat salai daging
Contohnya daging lembu bahagian brisket dan rusuk yang, masing-masing; dimasak secara salai atau 'smoke' selama 22 dan 16 jam, tak banyak restoran yang sediakan makanan barat macam ni.

Kalau kita ada modal untuk sediakan masakan yang sama pada harga yang lebih murah sekalipun, belum tentu kita ada kepakaran dan dapur yang sesuai.

Texas BBQ Barn

Restoran Texas BBQ Barn
Tapi kalau korang tinggal berhampiran Cyberjaya, korang boleh pergi je ke restoran Texas BBQ Barn yang terletak di Jalan Perdana, Cyber 12, Cyberjaya. Dekat je dengan Malakat Mall dan D'Pulze Cyberjaya.

Texas BBQ Barn menyediakan makanan barat berasaskan barbeku cara salai ala Texas yang menggunakan kaedah 'low and slow'. Apa itu 'low and slow'? Maksudnya daging dimasak pada suhu yang rendah untuk masa yang lama.


Alamat: F-LG, 3A, Jln Perdana, Cyber 12, 63000 Cyberjaya, Selangor.
Waktu: Isnin - Ahad (11AM - 11PM).

Berbeza dengan membakar yang dilakukan pada suhu lebih kurang 232 darjah celsius, menyalai dilakukan pada suhu kurang daripada 138 darjah celsius.

Brisket dan Ribs

Pelanggan di Texas BBQ Barn
Walaupun Texas BBQ Barn menyediakan ayam dan lamb shoulder yang juga disalai, keistimewaannya di sini ialah brisket dan ribs. Sangat rugi kalau korang datang ke sini tapi tak cuba salah satu.

Selain brisket dan ribs, ada juga daging salai seperti 'pulled beef' yang penulis tak pasti diambil dan dicarik daripada bahagian mana.

Toast With Fries

Pulled Beef Sandwich
Sebelum pergi ke menu utama kita tengok dulu cara penyediaan sandwich di sini. Untuk sandwich, penulis cuba Deli Smoked Beef Toast with Fries yang menggunakan roti oblong.

Dikapit di antara dua bahagian roti oblong ialah pulled beef yang dicampurkan dengan sos barbeku atau lada hitam. Memang sedap dan lembut, tambah pula rasa lemak daripada keju cheddar.

Penulis lebih suka kalau kejunya sedikit cair. Hidangan ni mengingatkan penulis kepada Philly Cheese Steak walaupun roti dan cara penyediaannya berbeza.

Mushroom Soup & Garlic Bread

Sup cendawan bersama roti
Menu wajib sebagai pembuka selera setiap kali ke kedai makanan barat. Garlic breadnya macam biasa, sama macam yang penulis makan di luar. Cuma sup cendawannya sedikit berbeza.

Sup cendawannya likat, cuma penulis tak pasti sama ada ianya homemade ataupun instant yang dah diolah. Warnanya sedikit gelap, rasanya pula boleh dibandingkan dengan sup cendawan campbell.

Smoked Pulled Beef Pilaf Rice

Nasi pilaf bersama pulled beef dan air asam
Nasi pilaf bersama pulled beef salai pula, rasanya lebih kepada nasi daging dari utara berbanding nasi beriani. Istimewanya menu ni, sama seperti nasi daging; ada air asam.

Cumanya, air asamnya ada sedikit twist sebab ianya disediakan agak likat. Cuba bayangkan mayonis tambah perahan limau, sedikit cair; tapi rasanya seperti air asam, macam tu lah likatnya air asam di sini.

Kombinasi nasi, air asam, dan daging di sini memang kena, tak pelik walaupun air asamnya pekat. Penulis syak pemilik restoran ni datang dari utara.

Ribs Platter

Ribs platter jumbo
Ini lah menu yang penulis paling tak sabar nak cuba di Texas BBQ Barn, sebab penulis cuma pernah makan rusuk kambing je sebelum ni. Kalau ada makan rusuk lembu pun bukan sebagai barbeku tapi bersama mi kuah.

Isinya bak kata orang inggeris, "fall off the bone". Kalau kita cuba tarik tulang rusuknya, senang je tertanggal daripada isi. Tak perlu makan pun dah tahu yang isinya lembut.

Walaupun disediakan bersama sos barbeku dan sos lada hitam yang dihidang asing, daging rusuknya dah cukup rasa. Penulis tak perlu dah nak makan dengan sos.

Paling best bila makan bahagian yang sedikit berlemak, walaupun lemaknya tak setebal lamb shoulder. Boleh juga makan bersama tortilla dan nachos yang disediakan sebagai hidangan sampingan.

Hidangan Sampingan

Tortilla, nachos, jagung, nasi pilaf, kentang putar, dan fries
Kalau beli set, kita akan dapat beberapa hidangan sampingan. Contohnya seperti jagung bakar, nachos, kentang goreng, kentang putar, tortilla, dan nasi pilaf.Hidangan ni juga boleh dibeli secara a la carte.

Menggunakan tortilla, kentang goreng, dan nachos, penulis dapat hasilkan shawarma daging. Cecah pula dengan air assam, syahdu. Nak cecah kentang goreng dengan air asam pun tak ada masalah.

Kentang putarnya pula memang 'buttery', yang ni memang rasa seperti homemade.

Harga Menu Texas BBQ Barn

Harga set makanan seperti ribs platter bergantung pada berat daging ataupun rusuk. Boleh tengok di bawah untuk harga menu yang penulis cuba tadi:

Menu Harga
Mushroom Soup with Garlic Bread RM9.00
Deli Smoked Beef Toast with Fries RM14.80
Smoked Beef Pilaf Rice for 2 Pax RM29.90
Ribs Platter M (700g - 900g) RM139.50
Ribs Platter L (901g - 1.3kg) RM189.00
Ribs Platter Jumbo (lebih 1.3kg) RM269.00

Ada banyak lagi menu lain seperti spaghetti, burritos, mi segera, nasi butter, dan nasi goreng. Boleh tengok menu penuh Texas BBQ Barn di sini.

Mewarna dan Melukis Sambil Menunggu

Mewarna di atas kertas
Satu lagi keistimewaannya di sini, sambil-sambil menunggu kita boleh dapatkan kertas dan krayon untuk kita, atau lebih tepat lagi kanak-kanak; melukis dan mewarna.

Jadi ada jugalah aktiviti sementara menunggu makanan. Dah datang makanan boleh dijadikan pula sebagai alas meja, kalau ada kanak-kanak yang makan comot pun meja tak kotor.

A+ Untuk Rasa dan Kualiti

Nasi pilaf bersama pulled beef
Penulis boleh bagi markah A+ dari segi rasa, kualiti, dan juga harga. Air di sini tak terlalu mahal, teh dan kopi o panas hanyalah RM2. Harga minuman yang paling mahal pun cumalah RM8.

Dengan harga serendah RM140, kita boleh dapatkan satu set ribs platter yang boleh dimakan sehingga 3 orang. Untuk rusuk seberat 700 ke 900 gram, sekali dengan hidangan sampingan kentang putar, tortilla, dan jagung bakar, bagi penulis berbaloi.

Ruang makan Texas BBQ Barn
Yang penulis makan tadi set untuk 5 orang, datang dengan sekeping rusuk seberat sekurang-kurangnya 1.3 kilogram. Kalau nak puas, boleh ambil set ni. Tapi kalau sekadar mencuba, set yang 3 orang tadi pun cukup dah.

Cuma satu perkara penulis tak sangka penulis akan suka, air asam. Korang kena cuba cecah kentang goreng dengan air asam di Texas BBQ Barn.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top