Burger Brisket dengan Bawang Goreng dan Vanilla Milkshakes di Woodfire
Walaupun masih dibahaskan sama ada ia berasal dari Amerika Syarikat ataupun German, burger merupakan antara menu yang paling diraikan selain ayam goreng di Malaysia. Ia dimakan tak kira masa baik pagi, tengah hari ataupun malam.
Tanpa mengambil kira definisi sebenar burger pula, ia merupakan menu yang sangat versatil. Ia boleh disediakan menggunakan daging ayam, lembu, ikan, ataupun hanya cendawan bagi mereka yang mengawal kalori.
Bergantung pada cara penyediaan, jenis bahan, dan tempat ia dijual, harga sebiji burger boleh dijual pada harga serendah RM1.50 ataupun setinggi RM40. Malah lebih mahal lagi kalau ia menggunakan bahan yang jauh lebih premium seperti daging Wagyu.
Burger yang lebih mahal dengan bahan yang lebih berkualiti, tak kiralah dijual di tepi jalan ataupun di restoran; dikenali sebagai burger gourmet. Harganya pula, jauh lebih mahal berbanding burger Ramly.
Woodfire Gourmet Burger
Untuk dapatkan pengalaman mencuba burger gourmet, penulis ke restoran Woodfire. Restoran ni terkenal dengan burger brisket dan juga milkshakenya yang datang dengan pelbagai perisa.
Harga burger di sini bermula daripada RM19.90 sehingga RM38.90 ala carte. Milkshake pula RM16.90 untuk kesemua perisa vanilla, cokelat, oreo, biscoff, dan nutella.
Ini kali kedua penulis ke Woodfire. Sebelum ni penulis cuba smoked burger, kali ni penulis nak cuba burger lain pula, yang jauh lebih besar dan ganas seperti burger brisket.
Burger Brisket Woodfire
Selain brisket lembu yang disalai, burger brisket di Woodfire juga disediakan menggunakan lapisan daging yang juga disalai, jeruk timun, bawang goreng, dan lettuce. Sos yang digunakan juga istimewa.
Sangatlah digalakkan memakai sarung tangan plastik yang disediakan untuk mengelakkan tangan menjadi comot ketika makan burger di Woodfire. Kalau burger tak dipegang dengan kemas, ada bahan atau sos yang akan tumpah.
Daging brisket sangat lembut, dan rasanya seperti daging yang penulis makan di Texas BBQ Barn. Lapisan daging atau beef bacon pula disalai tidak sehingga kering, masih sedikit kemerahan.
Namun, yang membuatkan burger brisket lebih sedap sebenarnya bawang goreng dan sos yang digunakan. Rasa sosnya ada iras-iras sos bigmac.
Vanilla Milkshake
Untuk milkshake pula, penulis cuba vanilla. Sebelum ni dah pernah cuba milkshake biscoff, sedap cuma terlalu manis. Rasa milkshake vanilla lebih asli dan kurang manis.
Boleh diminum dua orang kalau nak jaga pengambilan gula. Berbanding ice blended, milkshake jauh lebih likat dan lebih mengenyangkan. Pada penulis, lebih sukakan milkshake biscoff kalau manisnya dikurangkan.
Kualiti dan Rasa yang Memuaskan
Walaupun harganya lebih kayangan, penulis sangat berpuas hati dengan kualiti bahan dan rasa burger di Woodfire — kedua-dua burger brisket dan smoked burger.
Cuma, kalau penulis ke Woodfire lagi selepas ni kemungkinan besar penulis tak akan pesan burger brisket. Penulis akan pesan burger yang lebih simple, mungkin yang paling murah seperti "Gourmet Burger" dan "Stuffed Cheese".
Peminat cendawan pula, boleh cuba "Mushroom Burger". Bukan sahaja dapat makan burger daging atau ayam bersama cendawan, sekeping hash browns juga diletakkan pada burger.
Post a Comment